~ PENANG WASABI ~
FEEL THE HEAT
Monday, May 31, 2010
Kekejaman DAP ala Zionis di Penang : Kafe Do Re Mi akhirnya diroboh!
Selepas hampir lima bulan cuba mempertahankan perniagaan Kafe Do Re Mi miliknya, Johar Ismail akhirnya terpaksa akur apabila kerajaan negeri merobohkan premis tersebut hari ini.
Bagaimanapun, kerja merobohkan kafe itu oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dengan kerjasama Pejabat Daerah dan Tanah Timur Laut, polis dan bomba yang sepatutnya bermula pukul 9 pagi terpaksa ditangguh seketika ekoran berlaku sedikit kekecohan.
Ia berikutan Johar, 34, isterinya, ibu mertua dan dua rakan lagi yang berada di dalam kafe atas pokok itu enggan keluar bagi membolehkan kerja-kerja merobohkan premis itu dilakukan.
Ibu mertua Johar dengan linangan air mata berkata: ''Awak semua kejam kerana bersekongkol dengan pakatan jahat. Masa pilihan raya lalu Wan Azizah (Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail) datang jumpa minta kita undi mereka, tapi ini pula balasan yang kami terima''.
Pada masa sama, di luar premis itu, ahli-ahli Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Pulau Pinang (DPMMPP), Persatuan Anak Jati Melayu Pulau Pinang (Pijam) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengadakan sembahyang hajat dan bacaan Yasin.
Malah, Naib Yang Dipertua Pajim, Jaafar Osman yang sebelum itu dilihat memakai baju T PKR yang tertera gambar Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak membakar bendera parti itu serta baju T yang dipakainya.
Beliau serta beberapa ahli NGO lain turut melaungkan 'Anwar Ibrahim dayus', 'Timbalan Ketua Menteri I, Mansor Othman dayus' dan 'di mana keadilan dan pembelaan untuk orang Melayu'.
Kira-kira 50 minit kemudian, Johar dan keluarganya akhirnya keluar dari kafe yang dibinanya lapan tahun lalu dengan kos lebih RM200,000 dan memberi kerjasama selepas Yang Dipertua DPMMPP, Reezal Faris Mohideen Abdul Kader berjaya memujuk dan menenangkan mereka.
Beliau yang sebelum itu berada di tingkat paling atas premis perniagaan yang juga menjadi rumahnya sempat melaungkan azan untuk mencari ketenangan.
Ketika ditemui selepas itu, Johar dengan sinis mengucapkan tahniah kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng kerana berjaya 'menumbangkan' peniaga Melayu sepertinya dan berjanji akan bangkit selepas ini.
''Kerajaan negeri yang memegang prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT) dengan pemimpin hebat seperti Guan Eng, saya cabar tindakan sama diambil kepada pemilik rumah berdekatan dipercayai membina kawasan tambahan haram," katanya.
Sementara itu, Pemuda UMNO negeri yang mengecam tindakan kerajaan negeri merobohkan Kafe Do Re Mi menyifatkannya satu kekejaman dan penindasan terhadap peniaga Melayu.
Ketuanya, Norman Zahalan berkata, tindakan itu langsung tidak menggambarkan kepemimpinan kerajaan negeri seperti Khalifah Umar Abdul Aziz yang sering dilaung- laungkan oleh Guan Eng.
''Pada masa sama, saya juga ingin menasihatkan golongan muda seperti saya ini supaya jangan terlalu taksub menyokong individu tertentu sekali gus mengambil iktibar kejadian yang menimpa saya," katanya.
Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Johar berkata, beliau akan membina sebuah restoran di sebuah pulau kecil berdekatan kawasan itu kerana jika kafe itu hendak dirobohkan, pihak berkenaan perlu menggunakan bot.
Penang Wasabi..