~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Saturday, May 29, 2010

Kesal UM jadi lokasi aibkan Dr. Mahathir!

Majlis Perundingan Melayu (MPM) kesal dengan tindakan pengurusan Universiti Malaya (UM) yang membenarkan kampus itu dijadikan lokasi penganjuran syarahan umum bagi mengaibkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Setiausahanya. Dr. Hasan Mad berkata, majlis itu yang pada asalnya bertujuan membincangkan buku bertajuk Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times karya Barry Wain telah dijadikan medan untuk menghentam Dr. Mahathir, UMNO dan orang Melayu.

''Nampaknya Naib Canselor (Datuk Dr. Ghauth Jasmon) bersikap liberal untuk membenarkan UM dijadikan platform bagi mengejek kepimpinan Melayu dengan berselindung di sebalik usaha-usaha bagi menggalakkan pemikiran terbuka," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Forum yang diadakan di Dewan Syarahan Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran universiti tertua di negara ini dianjurkan oleh Kluster Penyelidikan Sains Tingkah Laku dan Sosial (SBSRC) UM.

Dalam buku yang diluluskan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada April lalu untuk diedarkan di negara ini, Wain antara lain mendakwa Dr. Mahathir telah menyebabkan kerajaan kerugian sehingga RM100 bilion sepanjang era pentadbirannya.

Hasan turut menggesa kerajaan supaya menyiasat niat sebenar Wain menulis buku mengenai Dr. Mahathir.

''Wain sendiri mengaku ketika syarahan bahawa jika dia menulis buku mengenai Lee Kuan Yew (Menteri Mentor Singapura) seperti yang dibuatnya terhadap Dr. Mahathir, dia sudah pasti ditangkap pihak berkuasa negara itu," ujarnya.

Sementara itu, Ghauth yang dihubungi Mingguan Malaysia malam ini berkata, beliau perlu meneliti bantahan MPM itu terlebih sebelum memberikan komen lanjut.

Penang Wasabi

6 comments:

  1. itulah liberal kononnya.peeeraaaah.liberal ada makna tu.ramainya bangsat2 anti melayu sekarang ini.

    ReplyDelete
  2. Difahamkan dalam forum tersebut, Wain yang merupakan penulis buku Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbelent Times bersama dua lagi ahli panel menghentam mantan Perdana Menteri. Buku tersebut mencetuskan kontroversi kerana ia memuatkan penulisan yang menghina kepimpinan negara dan institusi Raja-Raja Melayu.

    Forum itu yang berselindung atas nama wacana ilmiah dan menganalisis buku, menjadi medan menyerang Mahathir, Melayu dan kerajaan. Khabarnya beberapa ahli akademik terkejut dengan pengisian forum itu yang dihadiri kebanyakannya peserta bukan Melayu. Persoalan yang ingin bangkitkan adalah mengapa forum seperti itu diadakan di universiti awam? Kenapa Universiti Malaya begitu liberal kepada pihak yang kita tahu kecenderungannya memperlekehkan sistem yang ada? Awang geleng kepala. Melayu makin ditekan dari semua penjuru.

    ReplyDelete
  3. Salam..

    Kementerian Pengajian Tinggi harus bertanggungjawab tentang apa yang sudah berlaku. Tindakan sepatutnya diambil terhadap VC UM kerana telah mencalar imej Tun sebagai Negarawan tanahair..
    Wallahuallam..

    ReplyDelete
  4. Forum ilmiah atau akademik tidak seharusnya dijadikan tempat untuk menghentam atau menghina individu tertentu kerana ia bertentangan dengan etika dan matlamat forum tersebut.

    Penganalisis politik, Profesor Madya Datuk Zainal Abidin Borhan berkata, perbincangan akademik memang bebas membincangkan apa sahaja tetapi harus melalui prosedur yang betul.

    "Pada pandangan saya, mereka berhak untuk membincangkan buku karya Barry Wain tersebut bagi mengkaji ideologi, dasar-dasar dan cara pengurusan sesebuah negara kerana perbincangan ilmiah tidak memihak kepada sesiapa.

    "Tetapi perbincangan tersebut perlu beretika dan membincangkan sesuatu yang membina. Perbincangan seperti ini dilakukan oleh semua universiti di dunia ini bagi mengkaji sesuatu bahan," katanya.

    Beliau mengulas mengenai forum anjuran Kluster Penyelidikan Sains Tingkah Laku dan Sosial (SBSRC) Universiti Malaya (UM) bagi membincangkan buku bertajuk Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times karya Barry Wain.

    Forum tersebut telah disalahgunakan oleh individu tertentu untuk dijadikan sebagai medan menghentam Dr. Mahathir, UMNO dan orang Melayu.

    Zainal Abidin berkata, jika perbincangan tersebut ada menyentuh atau menghentam keperibadian seseorang, ini adalah tidak betul dan boleh diambil tindakan.

    "Dr. Mahathir wajar mendengar rakaman sesi perbincangan tersebut sendiri kerana ia melibatkan nama baik beliau.

    "Beliau juga berhak untuk menjawab semula tuduhan yang dilemparkan kepadanya atau mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang terlibat,'' katanya.

    Tambahnya, orang ramai dinasihatkan jangan memandang serong dasar keterbukaan yang diamalkan universiti dalam membincangkan sesuatu isu kerana niat perbincangan adalah untuk mencari sesuatu yang terbaik.

    "Perbincangan adalah sesuatu yang baik cuma individu yang melaksanakannya sahaja yang akan mencorak arah tuju perbincangan tersebut sama ada baik atau pun buruk,'' jelasnya.

    Sementara itu Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Mohammad Noorizzuddin Nooh berkata, insiden menghentam individu tersebut mungkin disebabkan oleh faktor politik.

    Menurutnya, perbincangan akademik biasanya dijalankan secara aman dan terkawal kerana setiap pakar yang hadir tahu etika masing-masing.

    "Jika ada perbalahan sekalipun, biasanya bukannya hasil dapatan tetapi cara atau proses mendapatkan hasil tersebut.

    "Perbincangan adalah untuk memastikan proses mendapatkan hasil sesuatu kajian itu betul dan tidak mempunyai kekurangan yang boleh disanggah,'' tegasnya.

    Menurut beliau, mungkin forum yang dianjurkan di UM tersebut tidak dihadiri oleh golongan akademik sehingga berlaku insiden yang tidak sepatutnya berlaku dalam perbincangan akademik.

    ReplyDelete
  5. Biro Pengajian Tinggi Pemuda UMNO meminta Kementerian Pengajian Tinggi dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) mengkaji terlebih dahulu kandungan dan motif sesuatu diskusi buku sebelum membenarkannya dianjurkan.

    Pengerusinya, Syahrin Md. Jamaluddin berkata, perkara tersebut penting supaya kandungan buku dan diskusi itu tidak digunakan oleh golongan tertentu untuk mengecam, membidas dan memperlekehkan sewenang-wenangnya pemimpin negara.

    ''Kenapa naib canselor dan dekan fakulti boleh membenarkan perbuatan mengejek dan memperlekehkan kepimpinan Melayu

    oleh penganjur dengan berselindung di sebalik wacana ilmiah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas forum yang diadakan Kluster Penyelidikan Sains Tingkah Laku dan Sosial (SBSRC) Universiti Malaya (UM) yang mengaibkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Forum yang diadakan di Dewan Syarahan Fakulti Ekonomi itu pada mulanya bertujuan membincangkan buku bertajuk Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times karya Barry Wain telah dijadikan medan untuk menghentam Dr. Mahathir, UMNO dan orang Melayu.

    Buku yang diluluskan Kementerian Dalam Negeri pada April lalu itu antara lain mendakwa Dr. Mahathir telah menyebabkan kerajaan kerugian sehingga RM100 bilion sepanjang era pentadbirannya.

    Syahrin berkata, buku tersebut jelas mempunyai niat jahat dan merupakan satu usaha doktrinasi terhadap pemikiran masyarakat untuk membenci kepimpinan Melayu dan institusi raja-raja Melayu.

    Justeru, beliau meminta supaya KPT dan IPTA meneliti secara terperinci sebelum membenarkan forum seumpama itu yang kononnya diskusi ilmiah tetapi mempromosikan pemikiran liberal melampau di IPTA.

    Menurut Syahrin yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tebrau, pihaknya kesal dengan penganjuran dan forum yang diadakan itu.

    ''Pemuda tidak boleh terima apa yang berlaku. Mustahil golongan cerdik pandai tak tahu kandungan dan implikasi sekiranya buku itu dibincangkan.

    "Apakah kurang bahan intelektual lain yang boleh dibincangkan? Apakah untungnya buku tersebut dibincangkan dalam membina kerukunan negara. Kita mendesak supaya perkara begini tidak berulang dan berharap tidak ada lagi perbincangan sedemikian yang berselindung di sebalik forum ilmiah," katanya.

    Beliau turut meminta Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula kelulusan pengedaran buku tersebut.

    ReplyDelete
  6. Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Negeri Sembilan mahu Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula isi kandungan buku karya Barry Wain jika ia benar mengaibkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

    Setiausaha Kehormat MAYC negeri, Firdaus Aziz berkata, buku bertajuk Malaysian Maverick: Mahathir Mohamad in Turbulent Times yang mula diedarkan April lalu perlu dihentikan pengedarannya jika ada unsur fitnah dan memburukkan pemimpin negara itu.

    ''MAYC negeri juga mahu Kementerian Pengajian Tinggi mengadakan perjumpaan dengan pengurusan Universiti Malaya (UM) supaya kampus itu tidak digunakan oleh pihak yang mahu merosakkan pemikiran penuntut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

    Menurutnya, MAYC Negeri Sembilan kesal dan kecewa dengan pengurusan UM yang tidak serius dalam memastikan kampus itu bebas daripada sebarang anasir menghentam pemimpin negara.

    ''Sepatutnya kawasan universiti digunakan untuk penuntut mendalami ilmu dan membentuk golongan penuntut yang berkualiti," ujarnya.

    Katanya, sepatutnya program anjuran Kluster Penyelidikan Sains Tingkah Laku dan Sosial (SBSRC) UM itu digunakan untuk mengkaji dan mendalami kebolehan serta kejayaan yang telah diterajui oleh Mahathir.

    ''Sebagai golongan belia yang membesar dalam kepimpinan Dr. Mahathir, tentulah hati kami terguris apabila pemimpin idola ini dipersenda oleh pihak berkepentingan dan berniat jahat," ujarnya.

    Firdaus menegaskan, UM sepatutnya lebih fokus untuk menghasilkan tenaga pakar dalam negara sejajar dengan tuntutan Model Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

    Sebelum ini, Majlis Perundingan Melayu (MPM) turut melahirkan rasa kesalnya dengan tindakan pengurusan Universiti Malaya (UM) membenarkan kampus itu dijadikan lokasi penganjuran syarahan umum bagi mengaibkan Dr. Mahathir.

    Setiausahanya, Dr. Hasan Mad berkata, majlis itu yang pada asalnya bertujuan membincangkan buku karya Barry Wain telah dijadikan medan untuk menghentam Dr. Mahathir, UMNO dan orang Melayu.

    ReplyDelete