~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Saturday, May 22, 2010

PKR Rebah : Napoleon kecil jadi hantu PKR!

MINGGUAN: Kenapa YB bersetuju untuk bertanding atas tiket PKR dalam pilihan raya lepas?

WEE CHOO KEONG: Pada masa itu saya mahu bertanding di bawah Parti Demokratik Malaysia (MDP). Namun sebelum itu ketika kes V.K Lingam, saya telah dipanggil untuk berjumpa dengan pemimpin-pemimpin PKR. Pada mulanya saya menolak namun mereka mendesak. Mereka mengajak saya supaya bersama dan melupakan apa yang telah berlaku. Dahulu saya agak kritikal terhadap orang tertentu. Saya diminta jangan bertanding di Bukit Bintang kerana akan memecah undi sedangkan saya telah faham selok belok kawasan itu dengan baik.

Mereka meminta saya bertanding di Petaling Jaya Selatan tetapi masalahnya DAP enggan benarkan saya bertanding di sana kerana takut kalah. Pada pilihan raya 2004 mereka kalah dengan undi yang tipis. Kemudian mereka meminta saya bertanding di Wangsa Maju dan saya mahu bertanding di bawah bendera MDP. Tapi mereka mendesak jangan bertanding atas tiket MDP kerana akan menimbulkan kekeliruan. Akhirnya saya mengalah dan bertanding atas tiket PKR.

Kenapa YB tiba-tiba beralih arah?

WEE CHOO KEONG: Pada saya dalam hidup ada masanya untuk melakukan perubahan. Maka sebab itu saya bertanding atas tiket PKR dan menang. Sebelum pilihan raya bermacam-macam janji ditaburkan kepada saya namun tidak ditunai. Saya tidak kisah dan terus buat kerja macam biasa. Walaupun saya masih bukan ahli PKR, mereka panggil saya hadir mesyuarat dan menganggap saya sebagai ahli mereka.

Mereka tetap berjanji akan memberi saya jawatan supaya saya dapat memainkan peranan dalam parti selain dipuji. Saya akhirnya menganggotai PKR pada Mei 2009. Selepas itu sedikit demi sedikit berlaku perubahan yang tidak seperti saya mahukan. Dan perubahan itu semakin hari semakin teruk.

Apa reaksi YB terhadap perubahan yang berlaku?

WEE CHOO KEONG: Saya tegur setiap perubahan dan kesilapan yang berlaku. Tetapi dalam hal ini peranan yang dimainkan oleh napoleon kecil lebih besar, Mereka berperanan sebagai trendy leftist. Mereka ini bukan ada prinsip seperti golongan berhaluan kiri. Sebaliknya mereka hanya leftist mengikut musim sahaja. Bukan seperti di Eropah atau negara lain di mana golongan berhaluan kiri mempunyai prinsip.

Tetapi napoleon kecil di dalam PKR ini hanya bersifat bermusim. Di dalam parti mereka mahu menguasai semua baik hal pentadbiran dan sebagainya. Sebagai contoh dalam mesyuarat pihak napoleon kecil mempengerusikan mesyuarat dan memberi nasihat kepada Ahli Parlimen (MP) lain bagaimana untuk berkhidmat dan tingkah laku yang sewajarnya, sedangkan mereka baru sahaja menjadi Ahli Parlimen.

Saya sudah menjadi Ahli Parlimen sejak 1990. Selain itu dalam sesi bajet yang memerlukan perbahasan mereka menetapkan hanya MP senior sahaja boleh berbahas dan MP junior pula perlu tunggu giliran. Saya yang lebih dahulu menjadi Ahli Parlimen dianggap sebagai sangat junior. Saya hairan kenapa ini berlaku. Ramai juga MP lain tidak suka dengan apa yang berlaku kerana hampir semua mereka adalah muka baru.

Cuma dua orang sahaja orang lama iaitu saya dan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Saya pernah bercakap dalam satu mesyuarat dengan Anwar kenapa timbul soal orang lama dan orang baru yang boleh berucap sedangkan hanya ada dua orang sahaja orang lama. Saya minta diberi penjelasan. Ketika itu semua napoleon kecil senyap.

Begitu juga dalam hal penggabungan dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM). Sebenarnya tidak wujud penggabungan dan mereka menipu semua orang dalam hal ini. Jika benar bergabung tentunya PRM sudah tidak ada lagi. Namun PRM masih wujud dan bukankah ini satu pembohongan?

Kenapa hanya kebelakangan ini suara YB semakin lantang?

WEE CHOO KEONG: Saya telah bersuara lantang dalam parti sejak awal lagi ketika mesyuarat bersama pemimpin tertinggi parti. Mereka akan sentiasa menyatakan akan melakukan sesuatu, jangan bimbang, janji hendak buat itu dan ini dan sebagainya. Begitu juga selepas saya balik dari Amerika Syarikat baru-baru ini mereka minta saya jangan keluar parti. Saya kata bukan nak keluar parti tetapi yang paling penting adalah membuat perubahan. Bagi saya tidak betul apabila salah seorang pemimpin atau wakil rakyat keluar kita terus serang peribadi.- MM

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment