~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Saturday, May 15, 2010

PKR bakal ranap : Tinggalkan PKR jika ada maruah prinsip!

Agenda reformasi yang diperjuangkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah mati!

Demikian peringatan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Noordin sewaktu mencabar wakil-wakil rakyat PKR meninggalkan parti itu sekiranya mereka mempunyai maruah dan prinsip perjuangan.

Beliau turut mengajak wakil rakyat terbabit bergabung dengannya di atas platform Bebas untuk meneruskan agenda reformasi tulen yang diharapkan oleh rakyat dan negara.

"Marilah kita bergabung, PKR dan pakatan pembangkang adalah parti yang telah ditawan oleh firaun-firaun kecil yang hanya berminat melaksanakan agenda sempit mereka yang akan menjahanamkan negara yang kita cintai ini.

"Berhijrahlah untuk reformasi, bersama kita memartabatkan suara dan hak rakyat Malaysia," katanya. Beliau berkata demikian dalam entri terbaru bertajuk Reformasi? Rembatkasi? yang disiarkan laman blognya www.zul4kulim.blogspot.com, malam tadi.

Dalam pada itu, Zulkilfi turut menyelar pakatan pembangkang kerana mengamalkan politik 'dua alam' dalam isu dakwaan rasuah dan salah guna kuasa dalam syarikat perlombongan pasir milik Kerajaan Negeri Selangor, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB).

Katanya, perkara itu menyerlahkan sikap sebenar pakatan pembangkang yang galak menyerang apabila lawan membuat salah tetapi hanya menikus apabila terkena batang hidung sendiri.

Sebagaimana Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong, Zulkifli turut mempersoalkan di manakah suara Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang melalak menuntut penubuhan suruhanjaya diraja apabila ada dakwaan terhadap orang lain namun dalam isu KSSB, senyap membisu macam kucing tidur.

"Mana hilangnya suara budak-budak hingusan dan pak-pak janggut yang pantang lepa orang lain buat silap sikit, dia punya melalak sampai kering kerongkong! "Kalau orang lain, dia punya memekak sampai cair tahi telinga dibuatnya. Tapi bila kena batang hidung sendiri, mulalah melatah. Ini konspirasi, itu komplot jahat," katanya.

Sehubungan itu, Zulkilfi mendesak dakwaan penyelewengan dalam KSSB disiasat oleh suruhanjaya diraja kerana ia dikatakan bukan sahaja melibatkan Exco kerajaan negeri bahkan keselamatan dan maruah negara. "Kita mahu tahu benarkah dakwaan menyatakan pasir tersebut di seludup ke sebuah negara jiran," katanya.

Selain itu beliau turut mendesak Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan kerana gagal menangani masalah tersebut walaupun dikatakan sudah mengetahuinya sejak Februari lalu.

"Saya juga mendesak supaya pihak polis segera menyiasat dan mengenal pasti ahli Exco dan kepimpinan negeri Selangor yang terlibat dalam skandal yang didakwa oleh Choo Keong sebagai membabitkan puluhan juta ringgit.

"Saya menuntut supaya ahli-ahli Exco dan kepimpinan negeri tersebut meletak jawatan untuk membolehkan siasatan dijalankan dengan lebih telus dan segera oleh pihak berkuasa," katanya.

Menurut Zulkifli, jika didapati mereka yang terlibat telah memperkayakan diri melalui hasil haram itu, pihak berkuasa perlu membekukan aset dan harta mereka dan hasilnya dikembalikan untuk kebajikan dan kepentingan rakyat Selangor terutama golongan miskin dan tidak berkeupayaan.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment