~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Monday, April 14, 2014

Apabila cakap tidak serupa bikin...?


Cuaca kering dan kemarau yang panjang di seluruh negara ketika ini rupa-rupanya memberi kelebihan kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Tanpa alasan kukuh, Ketua Menteri, Lim Guan Eng tiba-tiba mengumumkan tarif air di negeri ini akan dinaikkan sekali lagi pada masa depan. Berapa peratus kadar kenaikan itu belum dimuktamadkan kerana masih di peringkat kajian oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP). PBAPP yang Guan Eng menjadi pengerusinya adalah pihak bertanggungjawab menyuarakan cadangan kenaikan tersebut.

Dengan kata lain, PBAPP yang dipengerusikan Guan Eng mencadangkan kepada Kerajaan DAP Pulau Pinang yang juga dipimpin Guan Eng supaya menaikkan kadar tarif air. Maka tidak hairanlah, ca­dangan itu diluluskan tanpa banyak soal.

Sebagaimana peliknya keadaan itu, samalah juga peliknya kewajaran dalam menaikkan kadar tarif air tersebut.

Pengumuman itu menyerlahkan sikap ‘cakap tidak serupa bikin’ Kerajaan DAP Pulau Pinang yang sebelum ini berjanji tidak akan membebankan penduduk negeri ini dengan peningkatan kos sara hidup.

Mana mungkin penduduk negeri ini boleh melupakan kenyataan Guan Eng dalam perutusan Tahun Baru 2014 yang cukup berbangga kononnya Pulau Pinang menjadi satu-satunya kerajaan negeri yang tidak menaikkan apa-apa kadar bagi per­khidmatan tempatan sama ada cukai tanah, kadar taksiran mahupun lesen niaga.

Malangnya baru empat bulan, kebanggaan itu dilenyapkan dengan pengumuman penduduk negeri ini bakal membayar lebih bagi bekalan air yang dinikmati mereka.

Amat mengejutkan apabila Kerajaan Negeri Pulau Pinang meletakkan kewajaran menaikkan tarif air itu di bahu penduduk.

Dengan alasan penduduk negeri ini tidak bijak menggunakan air sehingga menjadi negeri paling tinggi penggunaan air, maka kenaikan tarif air itu dijadikan hukuman supaya penduduk lebih berjimat-cermat.

Bagi kerajaan negeri yang selama ini mendabik dada dengan slogan negeri berkebajikan, menyalahkan penduduk sendiri langsung tidak menggambarkan gelaran tersebut. Sebaliknya tindakan itu lebih kepada satu bentuk pengkhianatan kepada penduduk negeri ini yang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu memberi sokongan paling tinggi dalam sejarah terhadap pembangkang.

Lebih mengecewakan penduduk Pulau Pinang adalah kenaikan tarif air terbaharu itu tidak sampai setahun selepas kerajaan negeri mengambil tindakan serupa.

Pada 1 September tahun lalu, penduduk di negeri ini sudah dibebankan dengan kenaikan surcaj pemuliharaan air (WCS) sebanyak 100 peratus bagi penggunaan domestik iaitu 24 sen kepada 48 sen setiap 1,000 liter untuk penggunaan melebihi 35,000 liter sebulan.

Sekadar untuk perbandingan, sepanjang 18 tahun negeri ini diperintah kerajaan Barisan Nasional (BN), hanya sekali tarif air dinaikkan.

Menarik juga untuk meneliti semula apa yang disebut Guan Eng dalam perutusan itu antaranya berbunyi: “Kerajaan Persekutuan dapat menangguhkan kenaikan harga andai mereka mencontohi Pulau Pinang, terutama dalam melawan rasuah."

Jika pengumuman kenaikan tarif air seperti diumumkan Guan Eng itu dijadikan perbandingan, bukankah membawa maksud Kerajaan Negeri Pulau Pinang sendiri gagal dalam melawan rasuah?

Agak melucukan juga apabila Guan Eng berulang kali menekankan kebim­bangannya terhadap kemungkinan terpaksa mengambil langkah catuan air sekiranya masalah penggunaan air berlebihan dalam kalangan penduduk negeri ini gagal diatasi.

Dengan menjadikan Selangor dan Johor sebagai contoh, Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak mahu penduduk negeri ini juga sengsara akibat catuan air seperti ditanggung penduduk di dua negeri tersebut. Tetapi Guan Eng terlupa dalam situasi di Selangor, penduduknya tidak perlu berhadapan dengan masalah kekurangan air sekiranya Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor lebih awal bersetuju dengan cadangan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2).

Disebabkan kedegilan pembangkang yang tidak mahu dilihat bersetuju de­ngan Kerajaan Pusat meskipun dalam projek yang jelas memberi manfaat kepada rakyat, maka berlakulah seperti apa yang ditanggung penduduk Selangor ketika ini.

Apa pun alasan yang diberikan Kerajaan DAP Pulau Pinang, keputusan menaikkan tarif air itu tidak akan menutup kega­galan mereka dalam menunaikan janji-janji membela nasib rakyat.

Janji untuk tidak menaikkan tarif air mi­salnya terkandung dalam manifesto pembangkang ketika pilihan raya umum lalu dan merupakan komitmen besar mereka terhadap pengundi yang perlu dilunaskan.

Malangnya, janji itu dikhianati dalam tempoh yang terlalu singkat serta tanpa mengambil kira beban ekonomi yang mencengkam rakyat ketika ini.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment