~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, September 30, 2012

Nakoula dipenjara bukan kerana filem anti-Islam?



Akhirnya semalam Nakoula Basseley Nakoula dipenjarakan.

Namun jangan salah sangka. Dia bukannya dipenjarakan kerana menerbitkan filem Innocence of Muslims, tetapi di atas tuduhan melanggar syarat-syarat pengawasan atau parol kerana menipu bank.

Lelaki berusia 55 tahun dan penganut Kristian Qibti itu menjadi terkenal kerana menerbit filem anti-Islam yang mendapat kecaman seluruh dunia Islam.

Segalanya bermula pada 11 September apabila filem tersebut dimuatkan dalam Youtube milik Google Inc. sehingga menyebabkan empat rakyat AS dibunuh termasuklah Duta Amerika Syarikat (AS) ke Libya, Chris Stevens.

Tunjuk perasaan yang bertukar menjadi ganas membantah filem itu telah mencederakan berpuluh-puluh yang lain dalam beberapa siri serangan di Kedutaan AS di Tunisia, manakala di Sudan pula kedutaan AS, Jerman dan Britain diserang pada 14 September.

Pada awalnya, filem selama 14 minit itu didakwa diterbitkan oleh kumpulan agama di Amerika Syarikat (AS) dikenali sebagai Media for Christ, tetapi akhirnya kumpulan itu mengakui ditipu oleh Nakoula.

Laman gosip Gawker yang menemubual pelakon filem itu sebelum ini menyatakan bahawa senarai watak utama dalam filem itu adalah George, Condalisa dan Hillary tetapi dalam versi akhir filem, skrip diubah untuk menjadikan mereka sebagai Nabi Muhammad dan tokoh-tokoh Islam lain.

Usaha mendapatkan pelakon-pelakon dan krew bagi filem itu yang pada mulanya diberi nama Desert Warrior telah dibuat dalam majalah Backstage yang berpangkalan di Los Angeles dan New York sejak Mei dan Jun 2009.

Iklan dalam majalah itu menyifatkan projek filem itu sebagai satu filem 'sejarah pengembaraan orang Arab di padang pasir' dan menyenaraikan nama "Sam Bassiel" sebagai penerbit.

Semasa temubual dengan AP, Nakoula menafikan dia adalah Sam Bassiele, tetapi mengaku mengenali lelaki itu.

Malah, apabila tercetusnya bantahan terhadap filem itu telah menyebabkan para pelakon filem tersebut mengakui telah ditipu oleh Nakoula.

Menurut pelakon wanita filem itu Cindy Lee Garcia, Anna Gurji dan perunding skripnya, Steve Klein, semua mereka hanya diberitahu bahawa filem tersebut sebenarnya bertajuk Desert Warriors yang mengisahkan tentang kehidupan zaman Mesir purba.

Nakoula pernah dikenakan hukuman penjara 21 bulan pada 2010 kerana terlibat dalam jenayah penipuan kredit bank.

Terdapat rekod menunjukkan pembikinan filem Innocence of Muslims mungkin dijalankan ketika Nakoula berada dalam tahanan lagi.

Dia juga pernah melakukan beberapa jenayah lain dan mengikut rekod mahkamah, lelaki itu turut dikenali dengan beberapa nama samaran lain antaranya Nicola Bacily, Erwin Salameh, Amal Nada, Daniel K. Caresman dan P.J Tobacco.

Walaupun dikecam hebat hingga menjejaskan imej AS, namun Nakoula tetap bongkak dengan menyatakan dia tidak pernah menyesal dalam menerbit filem tersebut.

Malah, dia cuba mencetuskan kontroversi lagi apabila mahu menyiarkan filem penuh Innocence of Muslims ketika diwawancara dalam siaran radio bahasa Arab AS, Radio Sawa pada 14 September lalu.

Setelah Nakoula dipenjarakan, walaupun bukan kerana menerbit filem itu, yang tinggal ialah Google Inc, pemilik Youtube yang sehingga kini mempertahankan filem tersebut atas dasar kebebasan bersuara.

Jangan lupa, di AS kebebasan bersuara dilindungi oleh Perlembagaan dan undang-undang.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment