~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, September 23, 2012

Filem hina Nabi - Sengaja bangkit isu?


Nakoula Basseley Nakoula (kiri) dan Anna Gurji.

Pendedahan para pelakon filem menghina Nabi Muhammad SAW, Innocence of Muslims yang mengakui ditipu penerbit Nakoula Basseley Nakoula, memperlihatkan agenda anti-Islam yang sengaja direkanya.

Menurut pelakon wanita filem itu Cindy Lee Garcia, Anna Gurji dan perunding skripnya, Steve Klein, semua mereka hanya diberitahu bahawa filem tersebut sebenarnya bertajuk Desert Warriors yang mengisahkan tentang kehidupan zaman Mesir purba.

Sepanjang berlakon dalam filem bajet rendah itu, semua pelakon juga langsung tidak menyebut nama Nabi Muhammad, sebaliknya filem itu menceritakan tentang watak utamanya, George, yang kemudian diubah kepada karakter Nabi Muhammad.

Sesiapa yang pernah menonton filem itu juga jelas boleh melihat ia telah dialih suara dengan semua nama watak dan skripnya telah diubah. Nakoula juga telah menyunting filem itu sendiri.

Tindakan lelaki itu yang menggunakan nama samaran Sam Bacile sebagai penerbit filem Innocence of Muslims, turut membangkitkan persoalan.

Nakoula, 55, yang tinggal di Los Angeles dan beragama Kristian Qibti, pernah dikenakan hukuman penjara 21 bulan pada 2010 kerana terlibat dalam jenayah penipuan kredit bank.

Dia juga pernah melakukan beberapa jenayah lain dan mengikut rekod mahkamah, lelaki itu turut dikenali dengan beberapa nama samaran lain antaranya Nicola Bacily, Erwin Salameh, Amal Nada, Daniel K. Caresman dan P.J Tobacco.

Beberapa hari selepas bantahan dunia tercetus berikutan penyiaran sedutan filem anti-Islam berkenaan, Nakoula pada mulanya enggan mengakui menerbitkannya, namun kemudian mendedahkan ia diterbitkan bersama anak lelakinya, Abanob Basseley, 21.

Bagaimanapun, dia tidak pernah menyatakan kesal dengan tindakan itu, sekali gus memarakkan lagi kemarahan masyarakat Islam.

Tujuan Nakoula menerbitkan filem anti-Islam itu juga sebenarnya dilihat sengaja untuk mencetuskan huru-hara dan bukannya mengenai kebebasan bersuara.

Penang wasabi..

No comments:

Post a Comment