Abdul Wahab Abdul Rahman (tiga dari kiri) menyerahkan borang keahlian UMNO kepada Zainal Abidin Osman di Tanah Liat, Bukit Mertajam, semalam.
Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Penanti menerima tamparan baru apabila 130 ahlinya bertindak keluar parti dan menyerahkan borang menyertai UMNO hari ini.
Tindakan itu diketuai bekas Ketua PKR Cabang Tanah Liat, Abdul Wahab Abdul Rahman bersama 59 ahlinya serta 71 lagi ahli PKR dari Kampung Bukit Berangan yang diketuai Mohd. Nasir Yop.
Menurut Abdul Wahab, 71, dia mengambil keputusan itu kerana kecewa dengan perjuangan yang dibawa PKR.
“Perkara ini dah difikirkan lama dulu kerana tanpa sebarang alasan saya ditendang daripada jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Negeri (JKKKN) Tanah Liat/ Simpang 3 Berapit dan Ketua Cawangan serta digantikan oleh orang lain.
“Hari ini saya mengambil keputusan untuk kembali kepada UMNO dengan menyerahkan borang keahlian kepada Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri sendiri, Datuk Zainal Abidin Osman,” katanya kepada pemberita selepas majlis Mesra Rakyat di rumahnya di Tanah Liat di sini, hari ini.
Majlis itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir dan Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.
Tambah Abdul Wahab yang menyertai PKR sejak ia ditubuhkan, dia dan ahli lain berjanji akan membantu UMNO merampas kembali Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti serta Parlimen Permatang Pauh yang kini dikuasai PKR pada pilihan raya umum akan datang.
Sementara itu, Mohd. Nasir berkata, suatu masa dahulu kampungnya adalah kubu kuat PKR malah hanya terdapat kurang lima rumah sahaja yang didiami ahli UMNO, namun kini semuanya berubah dengan kemasukan 71 ahli PKR ke dalam UMNO.
“Sekarang situasi sudah berubah kerana hanya tinggal kira-kira lapan keluarga sahaja yang masih menyokong PKR, sedangkan ramai yang lain kembali kepada UMNO yang lebih dipercayai untuk membantu orang Melayu.
“Datuk Dr. Mansor Othman sendiri sebagai ADUN Penanti dilihat gagal membela nasib penduduk malah tiada sebarang kemajuan yang dibawa ke kampung kami sejak sekian lama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Zainal berkata, Anwar Ibrahim sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh harus membuka mata dengan kemasukan beramai-ramai anggota PKR ke dalam UMNO.
“Penduduk di Permatang Pauh sudah lama terabai kerana Anwar tidak banyak habiskan masa untuk rakyat di sini tetapi sering bergelut dengan masalah peribadinya menyebabkan rakyat menderita.
“Jadi, sudah tiba masanya UMNO dan Barisan Nasional diberi mandat semula oleh penduduk Permatang Pauh untuk menerajui Pulau Pinang,” katanya.
Jelasnya, arus penghijrahan ini akan berterusan dan lebih ramai dijangka akan kembali menyertai UMNO dalam masa terdekat ini.-UM.
Penang Wasabi..
No comments:
Post a Comment