~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Saturday, November 19, 2011

Kementerian perlu jelaskan isu kuartet!


Kementerian Belia Dan Sukan diminta membuat penjelasan bagaimana kuartet 4x400 meter lelaki negara terpaksa meninggalkan Sukan SEA XXVI tanpa sempat menaiki podium untuk menerima pingat emas.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata, perkara itu adalah sesuatu yang memalukan dan tidak sepatutnya berlaku.

"Kenapa tidak dibeli tiket lain kepada atlet-atlet ini? Sepatutnya mereka perlu diberi peluang untuk menerima pingat emas kerana memenanginya atas usaha mereka sendiri," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Belia Dan Sukan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Kuartet 4x400 meter lelaki negara terpaksa meninggalkan Sukan SEA tanpa sempat menaiki podium untuk menerima pingat emas kerana perlu pulang ke tanah air lebih awal ekoran tiket penerbangan yang sudah ditempah tidak boleh dipinda.

Muhammad Yunus Lasaleh, Sehzuan Ahmad Rosely, P. Yuvaraaj dan S. Kannathasan pada awalnya tidak tersenarai dalam skuad untuk beraksi dalam acara tersebut namun dipanggil pada saat akhir selepas berjaya mencatatkan masa yang memuaskan Jawatankuasa Kejurulatihan.

Dalam perkembangan berkaitan, Bung Moktar juga meminta Kementerian Belia Dan Sukan menjelaskan mengapa begitu ramai pegawai dan pemerhati dihantar ke Sukan SEA kali ini.

Katanya, jumlah seramai 261 pegawai dan 338 pemerhati yang dihantar ke Sukan SEA kali adalah hampir menyamai jumlah keseluruhan atlet negara.

Turut membahaskan mengenai jumlah pegawai dan pemerhati ke Sukan SEA itu ialah Loke Siew Fook (DAP-Rasah) yang meminta kementerian menyenaraikan kesemua 338 pemerhati tersebut serta tujuan mereka ke sana memandangkan ia menggunakan perbelanjaan awam.

"Apa yang dikesalkan daripada begitu ramai pegawai yang turut serta ke Sukan SEA ini, tiada siapa pun daripada mereka yang boleh membantu menyelesaikan isu mengenai kuartet 4x400 meter lelaki ini," katanya.

Jawap..jangan tak jawap Datuk Sabery Chik..!!!

Penang Wasabi

No comments:

Post a Comment