~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Friday, August 27, 2010

Tidak wajar ketepikan doa kepada Agong!

Khatib yang bertugas menyampaikan khutbah solat Jumaat tidak sewajarnya mengetepikan doa kepada Yang di-Pertuan Agong kerana baginda merupakan ketua negara serta ketua agama Islam.

Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia Cawangan Selangor, Mohd. Zamri Mohd. Shapik berkata, dalam keadaan umat Islam yang masih belum memahami sepenuhnya ilmu fikah, membaca doa untuk bukan Islam secara terbuka seperti ketika khutbah Jumaat perlu dilakukan di platform berlainan.

Ini ujar beliau, sebagai langkah mengelakkan salah faham berlaku di kalangan umat Islam.

"Namun begitu, pihak persatuan berpendapat adalah tidak wajar khatib solat Jumaat bertindak meninggalkan doa kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Umat Islam juga haruslah memilih platform yang sesuai untuk membaca doa tersebut (untuk bukan Islam) agar tidak berlaku salah faham,'' katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau mengulas tindakan seorang khatib yang mendoakan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam khutbah Jumaat di beberapa masjid di negeri itu, baru-baru ini.

Mohd. Zamri berkata, atas apa yang berlaku, pihaknya menggesa semua alim ulama, persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam untuk terus mempergiatkan usaha memberikan penerangan kepada masyarakat berdasarkan perspektif hukum dalam usaha memberikan kefahaman kepada umat Islam.

"Dalam kes di Pulau Pinang, rakyat juga mestilah memberikan mandat penuh kepada Majlis Agama Islam Pulau Pinang, Jabatan Mufti dan Jabatan Agama Islam Pulau Pinang untuk menyelesaikan isu itu mengikut lunas undang-undang,'' katanya.

"Janganlah ada mana-mana pihak yang sengaja mengambil kesempatan untuk menimbulkan kekacauan dan meraih kepentingan. "Biarlah isu itu diselesaikan dengan cara yang paling harmoni demi memelihara perpaduan umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia,'' jelasnya.

Kata beliau, umat Islam juga dinasihatkan agar merujuk kepada ulama dan golongan agama jika berhadapan dengan apa jua masalah berkaitan agama. "Janganlah dirujuk kepada orang-orang yang tidak sepatutnya kerana dibimbangi pandangan yang diberikan tidak menepati piawaian hukum Islam,'' tambahnya.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment