~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, August 8, 2010

Jangan mudah mengkafirkan sesama Islam!





















Oleh kerana UMNO bekerjasama dan menjalinkan persahabatan dengan parti-parti yang bukan Islam seperti MCA dan MIC dalam memerintah Negara, maka PAS telah mengambil peluang ini dengan membangkitkan satu isu mengkafirkan ahli ahli UMNO. Isu ini tersebar luas terutama di Kelantan dan Terengganu antara 1964 hingga 1986, kecuali semasa PAS berada dalam Barisan Nasional antara tahun 1974 hingga 1977.

Isu ini dibangkitkan oleh PAS berdasarkan sumber antara lain Al Quran, surah Al Imran ayat 28 yang bermaksud: "Jangan orang-orang yang beriman mengambil orang orang kafir menjadi teman rapat dengan meninggalkan orang-orang yang beriman. Dan Sesiapa yang melakukan (larangan) yang sedemikian maka tidaklah ia (mendapat perlindungan) dari Allah dalam sesuatu apa pun, kecuali kamu hendak menjaga diri dari bahaya yang ditakuti dari pihak mereka (orang kafir itu). Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan dirinya (menyaksi kamu) dan kepada Allah tempat kembali ".

Ayat-ayat ini dibaca dan diterjemahkan oleh orang-orang PAS tanpa diberi penjelasan yang tepat terutama mengenai sebab-sebab ayat itu diturunkan. Ini dilakukan semata-mata bertujuan untuk membuktikan bahawa ahli-ahli UMNO itu kafir kerana bekerjasama dengan parti-parti bukan Islam, dan yang lebih mendukacitakan lagi ayat ayat itu juga diterjemahkan hanya sekerat sahaja ( Kecuali kami hendak menjaga diri daripada bahaya yang ditakuti dari pihak mereka ) ditinggalkan.

Kepada orang-orang Islam yang kurang berpengetahuan agama apabila mendengar dakwaan ahli-ahli UMNO kafir yang disertakan dengan ayat-ayat suci Al Quran sebagai bukti, mereka bersungguh sungguh mempercayai dakwaan itu, akhirnya timbullah perasaan was-was, curiga mencurigai antara satu sama lain sehingga membawa kepada peristiwa-peristiwa yang tidak diingini seperti membatalkan sembahyang dibelakang imam orang orang UMNO/Barisan Nasional, mengharamkan memakan daging sembelihan orang orang UMNO, membatalkan pernikahan imam-imam yang menyokong UMNO dan macam macam kejadian lagi.

Tujuan PAS membangkitkan isu ini, adalah jelas untuk menyekat orang orang Melayu/Islam daripada menyertai UMNO dan menyokong Barisan Nasional dalam pilihanraya- pilihanraya yang di adakan. Supaya PAS dapat meraih kemenangan diatas kerusi kerusi yang dipertandingkan.

Walaubagaimana pun kita bersyukur isu mengkafirkan ahli-ahli UMNO sekarang ini tidak begitu kedengaran lagi setelah PAS merobah haluan politiknya dengan menjalinkan kerjasama dengan Parti Semangat 46 dan DAP dan pemimpin pemimpin utama PAS sendiri telah mengisytiharkan bahawa kerjasama dengan DAP tidak bertentangan dengan akidah Islam. ( Rujuk ucapan Allahyarham Datuk Fadzil Noor di majlis ceramah politik di pejabat PAS Perlis 4hb Mei 1990 )

Sebenarnya percanggahan berlaku se-awal tahun 1990-an lagi. Kepimpinan Presiden Pas ketika itu, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah dianggap oleh pemimpin bawahan parti sebagai menyimpang daripada perjuangan Islam yang didukung oleh Abdul Hadi. Ini kerana Pas berkawan dengan orang-orang yang dianggap mungkar, yang pernah disifatkan oleh Abdul Hadi sebagai taghut. Dan mereka lantas mengingatkan Abdul Hadi kepada janjinya untuk memutuskan hubungan dengan Parti Melayu Semangat 46 ( Semangat 46 ) jika parti serpihan UMNO itu mengadakan pakatan dengan DAP.

Ketika itu Pas bukan hanya mempunyai pakatan dengan Semangat 46 tetapi sudah menjalinkan kerjasama secara langsung dengan DAP. Ini adalah imbauan awal. Walaupun ia tidak melibatkan soal hukum tetapi dasar parti sentiasa berubah-ubah hingga mengelirukan ahli dan ulama Pas sendiri. Sebagai contoh, bekas ahli jawatankuasa Lujnah Undang-Undang Pas Pusat, Suhaimi Said pernah berkata dalam tahun 1990 bahawa ulama Pas mesti berhenti daripada membuat pelbagai hukum dan fatwa yang mengelirukan ahli sedangkan hukum-hukum itu berubah-ubah tanpa menentu. “ Sekejap halal, sekejap haram, sekejap kafir dan sekejap tidak kafir,'' tegasnya.

Fatwa yang tidak menentu seperti itu bukan sahaja mengelirukan orang ramai tetapi ahli Pas berkecamuk sesama sendiri. Akhirnya timbullah pelbagai kumpulan dengan dasar serta pemikiran tersendiri sehingga tidak boleh dikawal lagi. Salah siapakah kiranya kesongsangan ini berterusan sehingga ke hari ini? Siapakah yang akan menanggung dosa sekiranya kesongsangan ini menyentuh dan merosakkan akidah?

Maka apa yang Suhaimi, yang juga bekas penasihat undang-undang Pas ketika itu mahu ialah Abdul Hadi menjelaskan kedudukan sebenar beberapa kekeliruan hasil daripada pelbagai fatwa yang dibuat oleh Pas, adalah tepat. Antara yang mahu dijelaskan ialah mengenai mengkafirkan orang UMNO, sembelihan orang UMNO haram, pernikahan yang dilangsungkan oleh jurunikah kerajaan ( ketika itu UMNO ) tidak sah dan perkuburan asing bagi orang UMNO dan Pas. Sampai sekarang masih lagi tiada jawapan yang diberikan oleh Abdul Hadi.

Lebih relevan dalam konteks hari ini ialah apabila Suhaimi juga berpendapat: ``Pas perlu menerangkan kedudukan parti apabila menuduh UMNO yang bekerjasama dengan MCA sebagai kafir. ``Ini kerana rakan dalam Angkatan Perpaduan Ummah yang disertai oleh Pas, iaitu Semangat 46 telah bekerjasama dengan DAP. Adakah ia dianggap sebagai kafir juga?'' Semua persoalan ini mungkin berlaku lebih 18 tahun dahulu dan isu mengkafirkan UMNO berlaku seawal tahun 1986 lagi tetapi ia tidak bererti `rekod lama' ini tidak diputarkan semula hari ini, lebih-lebih lagi dalam selepas pilihan raya umum ke -12 yang lepas dan juga pilihanraya-pilihanraya yang akan datang.

Pada 2-4-2008 yang lalu di Hulu Terengganu, kita dikejutkan pula dengan berita seorang bapa enggan menjadi wali dimajlis pernikahan anaknya kerana perbezaan politik. Dalam hal ini siapa yang harus dipersalahkan? Masih lagi Abdul Hadi membisu seribu bahasa.

Tetapi dalam konteks hari ini dan demi menyelamatkan akidah orang Islam, khususnya para pengikut Pas yang tidak mampu berfikir dan bersikap `apa yang dikatakan oleh tok guru adalah betul,' maka Pas – Abdul Hadi dan Nik Aziz perlu menjawab soalan Suhaimi yang mahukan penjelasan mengenai kedudukan parti itu berhubung tuduhan yang menganggap UMNO yang bekerjasama dengan MCA dan MIC sebagai kafir.

Adakah hanya UMNO yang berkawan dengan MCA dan MIC sahaja termasuk dalam kategori tuduhan Pas iaitu kafir tetapi Pas yang mengadakan kerjasama dengan DAP dan Keadilan dalam Pakatan terbaru iaitu Pakatan Rakyat dikecualikan?

Orang Melayu tak akan lupa apabila Abdul Hadi berpelukan dengan Lim Kit Siang, pemimpin yang secara terbuka menentang penubuhan negara Islam Pas. Adalah malang bagi pengikut parti itu yang mempercayai fatwa seperti ini, yang hanya bermatlamatkan politik dan kejayaan dalam pilihan raya.

Di dalam kitab Mafahim (Kefahaman-kefahaman Yang Wajib Diperbetulkan) Al-Allamah Dr. Sayyid Muhammad ibn Alawi al-Maliki telah memperjelaskan fahaman tentang pelbagai isu agama yang menjadi pertikaian oleh sebahagian orang seperti tabarruk, tawassul, ziarah kubur dan seumpamanya.

Ada yang sampai ke tahap menuduh syirik dan mengkafirkan sesama Islam kerana isu-isu ini. Oleh itu pengarang kitab ini memulakan tulisannya dengan memperbetulkan semula kefahaman dalam hal menghukum kafir sesama Islam. Beliau menegaskan bahawa, ramai orang telah salah faham - semoga Allah SWT memperbaiki dan menunjukkan mereka jalan yang benar - tentang sebab-sebab sebenar yang mengakibatkan seseorang itu terkeluar daripada Islam dan wajib dihukum sebagai kafir.

Mereka kelihatan begitu mudah dan terburu-buru menghukum kafir ke atas saudara seagama hanya kerana wujudnya percanggahan pendapat dengan mereka, hinggakan hanya sedikit sahaja kaum Muslimin yang berbaki di muka bumi ini. Walau bagaimanapun, kita memandang sikap keterlaluan mereka dengan baik sangka. Kemungkinan, niat mereka baik - demi menjaga kemurnian ajaran Islam daripada perbuatan syirik melalui konsep amar makruf dan nahi mungkar.

Namun, mereka lupa, amar makruf dan nahi mungkar perlu kepada sikap berhikmah (bijaksana) dan peringatan yang baik. Jika ada yang perlu didebatkan sekalipun, haruslah dilakukan dengan cara terbaik, sebagaimana firman Allah SWT: Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad!) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik, dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik. (al-Nahl: 125)

Cara ini lebih mudah diterima dan menghasilkan apa yang diharapkan. Adapun menyanggahi cara ini, merupakan suatu kesilapan dan kebodohan. Oleh itu, apabila kamu mengajak seseorang Muslim yang mendirikan solat, melaksanakan apa yang difardukan oleh Allah SWT, menjauhi segala yang diharamkan-Nya, menyebarluaskan dakwah Islam dan aktif memakmurkan masjid kepada perkara-perkara yang pada pandangan kamu adalah benar, tetapi pandangannya berbeza dengan pandangan kamu, dan pandangan ulama mengenainya masih belum disepakati sejak dahulu hingga sekarang.

Maka dia enggan menurut pandangan kamu, lalu kamu melemparkan tuduhan "kafir" kepadanya hanya kerana beberapa perbezaan pendapat, maka sebenarnya kamu telah melakukan sebesar-besar kemungkaran dan perbuatan yang dilarang keras oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Maka kamu diseru supaya melaksanakannya dengan jalan yang berhikmah dan baik.

Al-Allamah al-Imam Sayyid Ahmad Masyhur al-Haddad RA mengatakan, "Sesungguhnya telah ditetapkan oleh ijmak ulama larangan mengkafirkan seseorang ahli Kiblat; kecuali jika dia mengingkari Allah Yang Maha Pencipta dan Maha Berkuasa, atau melakukan perbuatan syirik secara terang-terangan yang tidak perlu lagi diandaikan takwilannya, atau mengingkari kenabian Nabi Muhammad SAW, atau mengingkari sesuatu yang telah pasti kebenarannya dalam agama, atau mengingkari suatu masalah atau hadis mutawatir (yang telah pasti kesahihannya), atau pun sesuatu yang telah disepakati oleh ulama."

Dalam ajaran Islam, ilmu agama yang diketahui secara pasti (kebenarannya) itu; seperti masalah tauhid, kenabian, sempurnanya risalah dengan perutusan Nabi Muhammad SAW, kebangkitan semula pada hari Kiamat, hisab, pembalasan pada hari Kiamat, syurga dan neraka. Jika seorang Muslim mengingkari hal-hal seperti itu, maka dia dinilai sebagai kafir. Tiada keuzuran bagi setiap Muslim untuk tidak mengetahui perkara-perkara asas seperti itu, melainkan bagi orang-orang yang baru memeluk agama Islam. Mereka dimaafkan sehinggalah mereka mempelajarinya, dan selepas itu mereka tidak boleh dimaafkan lagi jika mengingkarinya.

Manakala hadis mutawatir ialah khabar atau hadis yang diriwayatkan oleh sejumlah perawi yang dipercayai dan tidak mungkin melakukan pembohongan, yang (diterima) daripada sejumlah perawi seperti mereka; baik dari aspek isnad (rangkaian orang yang meriwayatkannya) mahu pun tabaqat (ramainya bilangan perawi).

Adapun isnad, seperti hadis: "Sesiapa yang melakukan pembohongan ke atasku, maka dia menyiapkan tempat duduknya di dalam neraka."

Manakala dari aspek tabaqat (mutawatir pada setiap peringkat) seperti mutawatir-nya al-Quran. Al-Quran itu mutawatir tanpa ada had; baik di timur mahupun di barat; dalam mempelajari, membaca, mahupun menghafaznya, yang diterima dan diriwayatkan daripada sekelompok yang banyak kepada kelompok yang banyak, daripada satu generasi kepada generasi yang lain. (Oleh kerana terlalu ramai perawinya sehingga tidak terkira), maka al-Quran tidak memerlukan kepada isnad.

Kadang kala, mutawatir itu berlaku pada amalan dan pewarisan; seperti amalan sesuatu semenjak zaman Nabi Muhammad SAW sampai sekarang, diamalkan dan dipraktikkan, serta tiada sesiapa yang mengingkarinya (khususnya ulama).

Kadang kala, terjadi mutawatir dari segi ilmu seperti mutawatirnya mukjizat Nabi Muhammad SAW. Meskipun sebahagiannya ada yang diriwayatkan secara ahad (individu), tetapi secara umumnya ia dapat dinilai mutawatir dengan ilmu pengetahuan setiap Muslim.

Sesungguhnya menghukum seseorang Muslim itu kafir bukan pada perkara-perkara yang telah kami terangkan di atas, adalah suatu yang amat bahaya. Dalam hadis, Rasulullah SAW menegaskan: Jika seseorang berkata kepada saudaranya, "Wahai kafir!" Maka kekafiran itu akan kembali (menimpa) kepada salah seorang di antara keduanya. (riwayat Imam al Bukhari daripada Abu Hurairah RA)

Kesimpulannya, pengarang kitab ini benar-benar mengingatkan kita, supaya berhati-hati daripada sembarangan melabel orang lain sebagai kafir bukan pada tempat-tempat atau perkara-perkara yang telah dijelaskan sebelum ini, kerana perbuatan seperti itu mengandungi bahaya yang amat besar. Hanya Allah SAW sahajalah yang dapat menunjukkan jalan yang lurus, dan hanya kepada-Nya kita semua akan dikembalikan.

Semua imbauan masa lalu, masa kini, fatwa politik Pas, percanggahan antara pemimpin, kenyataan-kenyataan keras terutamanya yang melibatkan maruah orang dan akidah pengikut, perlu direnung untuk menentukan adakah Pas masih mahu terus direlevankan? Lebih penting masih adakah kredibiliti dalam perjuangan politik dan dasar memperjuangkan Islam? Jawapannya ditangan anda semua. Tepuk dada, tanya selera.
Wallahuallam.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment