Tatkala penghuni Pulau Mutiara lain sedang enak diulit mimpi, Mohd. Khir Mohd. Said, 44, sibuk bersiap-siap untuk turun ke laut mencari sesuap nasi. Tangkapan hasil laut itulah yang menyara hidup keluarganya seramai tujuh orang sejak lebih 30 tahun lalu.
Namun kini, dia tidak pasti apakah rutin hariannya itu mampu dilakukan lagi pada masa depan berikutan rumahnya bakal dirampas oleh pemaju yang mahu mendirikan kediaman mewah di situ. Begitulah nasib Mohd. Khir dan kira-kira 50 penduduk Kampung Jalan Pokok Asam di Jelutong, Pulau Pinang. Mereka merupakan sebahagian daripada 200 penduduk asal perkampungan itu yang diusir oleh pemaju, Rabu lalu.
Operasi pengusiran penduduk yang majoritinya nelayan sepatutnya dijalankan pada hari itu yang mana sebuah jentolak dibawa untuk kerja-kerja merobohkan rumah. Bagaimanapun, selepas perbincangan diadakan bersama beberapa penduduk dengan pihak pemaju yang diwakili oleh seorang peguam, tempoh pengosongan ditangguhkan selama tiga bulan hingga 13 Oktober depan.
Difahamkan, tanah kampung berkenaan akan dibangunkan dengan projek kediaman bertingkat berkos lebih RM800,000 seunit oleh pemaju terbabit dari Kuala Lumpur. Apa yang pasti penduduk kini berada dalam dilema. Sudahlah rumah mahu dirampas, tempat mencari rezeki juga tidak pasti di mana selepas ini.
Ini kerana, pampasan sebanyak RM75,000 yang mahu diberikan pemaju tidak setimpal dengan harga pasaran rumah di sekitar kawasan berkenaan. "Kami bukannya kemaruk wang ringgit, dan kami pun bukannya mahukan duit yang pemaju ingin beri, tetapi kami mahu rumah di kawasan ini sebagai ganti.
"Dengan wang RM75,000, rumah apakah yang boleh kami beli di sini? Rumah yang sedia ada semuanya berharga RM100,000 ke atas, kami tidak mampu. "Dan kalau kami berpindah ke tempat lain, dapatkah kami menjadi nelayan semula?," katanya yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Jalan Pokok Asam.
Hendak mengadu kepada siapa lagi, dia tidak tahu. Pernah dia ajukan keluh kesah penduduk kampung kepada wakil rakyat di situ, namun Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi seolah-olah tidak 'berminat' untuk membantu. "Dulu masa pilihan raya, macam-macam janji manis ditabur kepada kami.
"Mereka kata, apa-apa masalah boleh mereka selesaikan. "Namun, hari ini apabila penduduk kampung ditimpa kesusahan, mereka lepas tangan, pemimpin apa namanya ini?" ujarnya kesal.
Sikap kerajaan negeri pun sama juga. Bukan tidak pernah dia dan penduduk kampung cuba membuat temu janji dengan pemimpin terbabit bagi mengadu mengenai masalah itu, namun nasib yang menimpa mereka seolah-olah tidak dipedulikan.
"Kami pernah buat temu janji dengan pegawai-pegawai tinggi kerajaan, tetapi bila tiba tarikh yang telah ditetapkan, mereka bagi alasan sibuk bermesyuarat," jelasnya.
Dalam keadaan sekarang, kepada siapa lagi boleh diharapkan simpati serta bantuan, dia sendiri tidak pasti. Sepatutnya kerajaan negeri boleh campur tangan, seterusnya menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk kampung tersebut.
Menurut Mohd. Khir, sebagai kerajaan yang memerintah Pulau Pinang, pada bila-bila masa mereka boleh memberhentikan projek tersebut. Justeru, katanya, selagi mahkamah belum memutuskan siapa yang berhak ke atas kampung itu, dia dan penduduk kampung bertekad untuk mempertahankan hak mereka dalam apa keadaan sekali pun.
Sudah terang lagi bersuluh, jika demikian sikap kerajaan negeri dan wakil rakyat, tidak hairan sekiranya pada suatu hari nanti, perkampungan Melayu di tengah-tengah bandar George Town lenyap begitu sahaja.
Penang Wasabi..
No comments:
Post a Comment