~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Thursday, July 17, 2014

Ziana Zain: Allah SWT Kurniakan Saya Hadiah Paling Bermakna!


Kenapa Ramadan sentiasa dinanti, kerana Allah SWT menjanjikan bulan ini sebagai bulan untuk umatnya melipat ganda akan amalan dan beribadah untuk ganjaran pahala yang juga tidak terhingga banyaknya.

Tetapi buat penyanyi Ziana Zain, Ramadan kali ini antara yang paling bererti bila dia menerima kurniaan yang amat bernilai daripada Allah SWT. Pada hari turunnya Al Quran ke dunia, Ziana pula terima sebuah hadiah istimewa serta ia menandakan kejayaan buat semua yang mendoakan kesejahteraan penyanyi pujaan ramai ini.

Beberapa kali cerita mengenai Ziana Zain mula mengubah penampilannya terbit ditajuk utama media massa seluruh negara baru-baru ini. Namun tuan empunya badan belum lagi mengesahkan sendiri hinggalah pada hari ini 15 Julai bersamaan 17 Ramadan iaitu hari Nuzul al-Quran, diva pujaan ramai itu mengakui penampilannya di rakaman MeleTOP Raya merupakan imej baru buat Ziana Zain.

Ketika dihubungi menerusi panggilan telefon, Ziana atau nama penuhnya Siti Roziana Zain, tenang bercerita mengenai hijrahnya pada Ramadan ini adalah sebuah hadiah kemenangan dan juga kurniaan yang amat besar buat dirinya. Bagi dirinya, ia adalah berkat dan doa dari insan yang menyayanginya selama ini telah dimakbulkan Allah SWT.

“Ini adalah hadiah yang Allah SWT berikan kepada saya, sebuah ganjaran yang dijanjikan setelah tidak putus-putus doa daripada peminat, kawan-kawan dan yang paling termakbul adalah doa kedua ibu bapa saya.

“Allah SWT telah berikan apa yang mereka semua pohon, sementara itu juga dibukakan pintu hati saya menerima syariat agama ini. Setelah beberapa tahun saya memasang niat, akhirnya hari yang dinanti sudah tiba. Perasaan yang datang itu bukan rasa yang biasa tetapi kuasa yang luar biasa.

“Tiada pengumuman yang nak dibuat kerana yang penting apa yang dituntut(berhijab) saya telah cuba penuhi bermula dari Ramadan ini dan harapan saya biarlah ia kekal ke akhir hayat. Tiada apa yang lebih bermakna dari apa yang Allah SWT kurniakan kepada saya sekarang, Alhamdulillah,”tutur Ziana yang tidak lekang memanjatkan syukur kerana diberikan peluang yang begitu berharga di bulan mulia ini.

Ditanya tentang karier seninya, Ziana masih aktif seperti biasa cuma penampilannya kini akan cuba dijaga sebaiknya. Tambahan pula sokongan daripada keluarga terutama anak-anak akan mempermudahkan hari-hari yang bakal dilaluinya nanti berserta sokongan yang tidak berbelah bagi daripada peminatnya.

Penampilan istimewa penyanyi lagu Korban Cinta ini adalah bersempena dengan rakaman khas MeleTOP Raya untuk siaran Aidilfitri ini di Astro. Memilih ilham rekaan pereka yang sinonim dengan nama penyanyi ini, Rizman Ruzaini telah menyiapkan persalinan indah lengkap berhijab khas untuk imej terbaru Ziana Zain itu.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment