~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Wednesday, July 23, 2014

MH17: Najib akhirnya jadi 'hero Malaya'!


Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, bukanlah pemimpin paling popular di kalangan rakyat. Biarpun memegang tampuk kepimpinan negara, tetapi semua orang tahu yang Najib mempunyai satu golongan pemerhati yang hanya menanti masa untuk menghentam beliau. Kontroversi yang memalit beliau dan cara kepimpinannya, biarpun tiada kesahihannya, menjadikan Najib mangsa provokasi dan kritikan mereka yang tidak berpuas hati dengan beliau.

Ketika Malaysia dilanda bencana kehilangan pesawat MH370 4 bulan lepas, sekali lagi Najib menjadi mangsa penilaian masyarakat. Beliau dikritik lepas tangan apabila kelibatnya jarang dilihat dalam sidang akhbar, malah beliau dilihat tidak mempunyai idea proaktif untuk sekurang-kurangnya berhadapan dengan kritikan masyarakat dunia. Kenyataan "pesawat berakhir di Lautan Hindi" langsung tak membantu.

Kredibiliti Najib semakin dipersoal. Malah ketika sebuah feri penumpang tenggelam di Korea, Najib juga menjadi mangsa. Ramai yang mengeluarkan kata-kata seperti "Feri karam, Presiden Korea letak jawatan. PM kita masih relax, siap boleh selfie dengan Obama".

Tragedi MH17 memberi signifikan penting dalam suasana konflik politik antarabangsa. Tetapi di Malaysia, salah satu hikmah yang boleh dilihat adalah populariti Najib sebagai PM naik mendadak. Dan ia berlaku atas sebab yang munasabah.

Tatkala pemimpin kuasa dunia yang lain menyalahkan Russia dan presidennya, Vladimir Putin, Malaysia melalui Najib, mengambil pendekatan neutral. Biarpun kebanyakan mangsa bukan warga Malaysia, namun Malaysia punya hak paling besar untuk 'mengamuk', kerana pesawat tersebut milik Malaysia, kerugian dan reputasi buruk terpaksa ditanggung negara kita. Tetapi bukan itu yang berlaku.

Mungkin juga kerana sedar betapa kerdil Malaysia di mata sebuah negara seperti Russia, lantas Malaysia dilihat ramai seolah-olah mengunci mulut. Suara-suara pemimpin dunia mula kedengaran, menyelar Putin dan Russia agar memberi kerjasama. Dan suara Malaysia, akhirnya kedengaran di celah-celah keriuhan itu.

Bukan sebagai major voice, tetapi ianya jauh lebih meyakinkan dan hasilnya, kumpulan pemberontak setuju menyerahkan kotak hitam kepada Malaysia. Hanya kepada Malaysia dan tidak kepada negara lain. Malah pasukan penyiasat yang sebelum ini diberikan ruang yang terhad untuk melakukan siasatan, mula diberi kebebasan untuk meneruskan kerja-kerja siasatan.

Ia terjadi selepas Najib sendiri menghubungi dan berbincang dengan pemimpin puak pemisah Ukraine, Alexander Borodai.

Najib membuktikan lebih baik jadi ubi yang berisi, daripada jadi besi yang kukuh tetapi berkarat.

Akhbar New York Times sendiri memuji cara Najib sebagai 'silent diplomatic' yang disifatkan sebagai sangat berkesan. Pemimpin pembangkang juga tidak ketinggalan meluahkan kekaguman dengan tindakan yang diambil Najib.

Bukan senang nak dapat approval rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia memang terkenal sebagai golongan manusia yang kritikal. Pantang silap sikit, bersedialah untuk tadah telinga dan makan maki hamun rakyat.

Secara peribadi, penulis percaya kejayaan Perdana Menteri memujuk puak pemisah tidak berlaku dalam masa semalaman. Ini adalah hasil keberkesanan hubungan diplomatik dan antarabangsa yang diamalkan Malaysia sejak hampir 60 tahun yang lalu. Ia dibina dengan reputasi yang kukuh, seperti penglibatan Malaysia dalam membantu krisis negara-negara luar seperti Palestin, Kemboja dan Bosnia. Keaktifan Malaysia dalam organisasi seperti NAM (Non Aligned Movement) dan usaha Malaysia dalam memastikan hubungan baik dengan Russia, AS dan China kini menampakkan hasil. Dan terbaru, prinsip neutralisasi Malaysia dalam menangani isu MH17, membawa keyakinan kepada pihak pemberontak betapa Malaysia boleh dipercayai.

Kini, dengan reputasi yang meningkat, rakyat sedang memerhati dengan teliti setiap tindak tanduk Najib selepas ini. Expectation is high, dan rakyat tentu mahu melihat beliau mampu mengambil langkah yang lebih baik dalam menangani isu politik tempatan. Dan kali ini, beliau perlu konsisten kerana seperti yang telah disebutkan tadi, Malaysians can be very hard to impress.

Ini tanggungjawab baru yang perlu dilangsaikan Najib, jika mahu terus jadi hero di hati rakyat Malaysia.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment