~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, May 4, 2014

Keikhlasan Pas melaksanakan hudud?


Perlu saya tegaskan, tiada orang Islam yang ada walaupun sedikit keimanan menolak perlaksanaan syariat Islam termasuk hudud. Dan saya konsisten tentang usaha pelaksanaan undang-undang jenayah Islam ini sama ada hudud, qisas mahupun ta'zir.

Bagaimanapun, saya hairan melihat gelagat Pas yang mendesak supaya UMNO menyokong mereka dalam pembentangan usul persendirian untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Dalam isu hudud, pendirian UMNO sangat jelas seperti yang dinyatakan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 April lalu bahawa Kerajaan Persekutuan tidak menolak hudud dan bersedia berbincang dengan Pas untuk memperhalusi draf hudud dan kerangka pelaksanaannya supaya matlamat melaksanakan sistem keadilan Islam itu tercapai.

Bagaimanapun dari segi siasah, adalah tidak adil bagi Pas mendesak UMNO yang pernah dikafirkan untuk menyokongnya sedangkan parti sekutu Pas dalam pakatan pembangkang iaitu DAP-PKR bukan sahaja tidak bersetuju, malah menentang keras cadangan itu.

Pas mungkin lupa bahawa UMNO adalah tunjang Barisan Nasional (BN) manakala Pas adalah tunggangan DAP-PKR. Oleh itu, sebelum mendesak UMNO, Pas wajib menyelesaikan masalah dalaman sesama mereka dahulu.

PENDIRIAN DAP-PKR MENOLAK PELAKSANAAN HUDUD

Pendirian DAP dalam isu ini sangat jelas. Mereka bukan sahaja menentang keras agenda Pas mahu melaksanakan hudud di Kelantan, malah bersedia ‘berperang’ dengan Pas jika terus berdegil. Malahan sudah ada pimpinan DAP mendesak Pas supaya keluar daripada pakatan pembangkang jika mahu melaksanakan hudud di Kelantan.

Kenyataan oleh pimpinan PKR juga sangat jelas. Walaupun ada antara mereka yang beragama Islam, tetapi mereka meletakkan Memorandum Perjanjian Persefahaman Pakatan Pembangkang yang ditandatangani semasa Konvensyen Pertama Pakatan Pembangkang DAP-PKR-Pas pada 19 Disember 2009 yang tidak meletakkan negara Islam dan hudud sebagai agenda sebagai keutamaan mengatasi agenda Pas.

Pendirian PKR dan DAP jelas; hudud bukan dan tidak pernah menjadi sebahagian daripada perjanjian pakatan mereka dengan Pas.

Dalam keadaan itu, sebelum mahu mendesak UMNO menyokong mereka, Pas wajib mendapatkan sokongan daripada rakan sekongkolan mereka DAP-PKR dahulu.

KECELARUAN PENDIRIAN KEPIMPINAN PAS

Kepimpinan Pas sendiri dilihat bercelaru di dalam komitmen mereka untuk melaksanakan hukum hudud.

Pada 18 Januari 2003, Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menjadi Menteri Besar Terengganu menegaskan, Pas perlu mengorbankan perjuangan negara Islam dan pelaksanaan hudud demi menjaga kerjasama politik dengan DAP-PKR.

Malah beliau juga menyatakan peruntukan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamalkan kini di peringkat persekutuan. Seandainya menang di dalam pilihan raya akan datang, Barisan Alternatif akan menu­buhkan kerajaan demokratik dan adil di peringkat persekutuan yang mendukungi Perlembagaan Persekutuan.

Pada Muktamar Tahunan 2011, Abdul Hadi sendiri menggugurkan perjuangan negara Islam kerana kononnya perjuangan itu tiada dalam al-Quran. Dan jangan lupa, Abdul Hadi ketika menjadi Menteri Terengganu juga pernah menegaskan hudud walaupun satu kewajipan tetapi bukanlah suatu keutamaan, malah hudud katanya hanyalah 0.001 sahaja daripada Islam.

Pada 8 Mei 2008, Abdul Hadi menandatangani Deklarasi Pakatan Pembangkang yang antara lain menjunjung kedudukan Islam sebagaimana di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Deklarasi itu tidak meletakkan penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hudud, qisas dan ta'zir sebagai agenda pembangkang.

Selain itu beberapa pimpinan kanan Pas pernah menegaskan parti itu tidak boleh melaksanakan hudud tanpa persetujuan DAP-PKR.

Oleh itu, apa hak Pas untuk memaksa dan mendesak UMNO menyokongnya jika Pas sendiri bercelaru dan menerima bantahan serta tentangan keras daripada sekutunya sendiri!

Pas sewajarnya mencerminkan diri dan bertanya dengan ikhlas; adakah mereka benar-benar serius mahu melaksanakan hudud. Jika serius, mereka perlu mendapatkan sokongan DAP-PKR terlebih dahulu.

Jika sudah mendapat persetujuan itu, barulah Pas boleh mendekati UMNO dan BN untuk mendapatkan sokongan tambahan; dan saya pasti UMNO akan membantu sedaya mungkin.Tambahan pula kepimpinan tertinggi UMNO sudah menyatakan kesediaan berbincang dengan Pas.

Cubaan Pas mahu mendapatkan sokongan UMNO yang dijadikan ‘musuh politik yang pernah dikafirkan’, tetapi pada waktu sama masih mahu berselimut sebantal dengan rakan sekongkolan DAP-PKR yang menolak dan menentang agenda hudud Pas adalah satu sikap politik luar tabie!

Jika DAP dan PKR terus menentang hukum hudud Pas, parti itu mempunyai dua pilihan iaitu sekiranya masih sayangkan kerjasama politik dengan DAP-PKR, maka Pas perlu menggugurkan agenda mahu melaksanakan hudud.

Tetapi jika Pas ikhlas mahu melaksanakan hudud, maka mereka tiada pilihan kecuali keluar dan bermufarakah daripada pakatan pembangkang. Hanya setelah itu dibuat baru Pas boleh mendekati UMNO untuk bekerjasama dan menggembeling usaha membentangkan usul melaksanakan hudud di Kelantan.

Dan hanya dalam keadaan Pas sudah keluar daripada persekongkolan dengan DAP-PKR barulah wajar untuk UMNO menimbang bekerjasama dengan Pas untuk membantu melaksanakan hudud di Kelantan.

Kita tidak mahu Pas dilihat sebagai parti yang yang mengamalkan politik makan keliling dengan memaksa UMNO menyokong hudud, tetapi pada waktu masa sama masih mahu bersekongkol dengan DAP-PKR yang menentang hudud!

TUJUH PERKARA YANG WAJIB DILAKUKAN PAS

Sebelum usul persendirian untuk Pelaksanaan Hudud di Kelantan dibentangkan di Dewan Rakyat, saya menyarankan Pas supaya jangan terlalu gopoh, tetapi hendaklah memastikan perkara-perkara berikut dilakukan terlebih dahulu:

1. Pas sepatutnya mengambil kesem­patan daripada pendirian UMNO yang ber­se­dia mengadakan kerjasama dan membantu Pas dalam membentangkan usul di Dewan Rakyat.

2. Pas harus mengadakan muktamar khas untuk memperjelaskan pendirian sebenar kepimpinan parti dalam isu pelaksanaan hudud dan mendapatkan mandat daripada ahli dan perwakilan untuk membentangkan usul di Dewan Rakyat.

3. Muktamar itu juga harus memberi mandat jelas kepada kepimpinan Pas untuk keluar daripada pakatan pembangkang jika DAP dan PKR masih menolak dan menentang pelaksanaan hudud di Kelantan;

4. Muktamar Khas itu juga wajar memberi mandat kepada kepimpinan Pas untuk mengadakan kerjasama politik dengan UMNO bagi membolehkan usul melaksanakan hukum hudud di Kelantan dibentangkan di Dewan Rakyat.

5. Pas wajar membentuk Jawatankuasa Induk Pelaksanaan Hudud, Qisas & Ta'zir untuk mengadakan perbincangan kerjasama dengan UMNO dan BN.

6. Setelah Jawatankuasa Induk UMNO-Pas mencapai kata sepakat tentang bentuk kerjasama yang diperlukan dan bersetuju dengan draf Undang-Undang Hudud, Qisas & Ta'zir yang mahu dilaksanakan, barulah wajar kedua-dua pihak menubuhkan sebuah Jawatankuasa Teknikal Perlaksanaan Hudud, Qisas & Ta'zir untuk memperhalusi draf Undang-Undang Hudud itu untuk tujuan pembentangan supaya ia benar-benar menepati dan mematuhi al-Quran dan syariat Islam;

7. Pada waktu sama, sebuah Jawatankuasa Penguatkuasaan Hudud, Qisas & Ta'zir hendaklah ditubuhkan oleh kedua-dua pihak yang dianggotai oleh pakar-pakar berkaitan seperti Kehakiman dan Perundangan, Jabatan Peguam Negara, Polis, Penjara, Pihak Berkuasa Tempatan, Kementerian Dalam Negeri, dan lain-lain untuk memastikan bila mana Hudud dilaksanakan di Kelantan ia tidak terbantut.

Semoga usaha untuk melaksanakan syariat Islam dipermudahkan Allah, dan diberi keberkatan. Moga juga semua pihak diberi kekuatan dan istiqamah dalam usaha mencari keredaan Allah ini.

* PENULIS ialah seorang Peguambela & Peguamcara dan bekas Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment