~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Saturday, July 20, 2013

Bapa nafi anak terlibat kumpulan gengster?


SUNGAI PETANI - Bapa kepada K. Shanmugam, 45, guru yang mati ditembak di Simpang Empat Keladi, Kulim semalam mendakwa anaknya tidak pernah terlibat dalam sebarang kejadian jenayah atau pun kumpulan gengster.

A. Krisnasamy, 73, sebaliknya berkata, anak bongsu daripada tujuh beradik itu amat disenangi ahli keluarga, sanak-saudara dan rakan-rakannya.

Dia juga tidak percaya anaknya itu terlibat dalam kegiatan tidak bermoral kerana mendiang merupakan seorang guru dan menceburi profesion tersebut lebih 20 tahun lalu.

"Saya dan keluarga kesal kerana anak saya itu dikaitkan dengan kumpulan gangster sedangkan dia seorang guru yang disenangi semua pihak. Dia seorang yang mudah mesra dan mempunyai hubungan baik dengan semua orang.

"Saya kenal benar anak saya itu dari segi perwatakan dan sikapnya. Malah, dia sudah lebih 20 tahun menjadi guru dan tidak mungkin terlibat dalam kumpulan jahat seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak," katanya kepada pemberita di Jabatan Forensik, Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) hari ini.

Dalam kejadian pukul 12.25 tengah hari semalam, Shanmugam maut akibat ditembak dua lelaki di Simpang Empat Keladi ketika memandu dari rumahnya di Taman Bidara ke tempat bertugas, Sekolah Menengah Kebangsaan Berapit, Bukit Mertajam.


Sewaktu mangsa menghampiri persimpangan lampu isyarat, dua lelaki bermotosikal muncul di bahagian kanan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Wish dipandunya lalu melepaskan beberapa das tembakan dari jarak dekat.

Krisnasamy berkata, dia dan keluarga berharap polis dapat menyiasat dan membawa suspek ke muka pengadilan.

Sementara itu, abang sulung mangsa, K. Balasubramaniam, 53, berkata, ahli keluarganya kesal apabila ada pihak menuduh adiknya itu menganggotai kumpulan haram yang menjadi punca dia ditembak mati.

"Sebaik sahaja menerima berita kejadian itu pada pukul 1 petang semalam, saya terus bergegas ke tempat kejadian. Seluruh badan saya menggigil apabila melihat adik saya terbujur kaku," katanya.

Pengawal keselamatan itu berkata, adiknya itu merupakan siswazah lulusan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani dan Sejarah sesi petang.

Katanya, mendiang meninggalkan seorang isteri dan empat anak berusia antara 5 hingga 15 tahun.

Mayat mendiang dituntut ahli keluarga petang ini dan dijangka disempurnakan di Tanah Perkuburan Hindu Berapit, Bukit Mertajam esok.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment