~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Tuesday, January 29, 2013

Guan Eng mesti bertanggungjawab?



Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng digesa bertanggungjawab dan menjelaskan kepada semua ahli DAP mengapa selepas 40 hari beliau masih belum menyerahkan keputusan pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk pengesahan.

Naib Pengurusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass Aseerpatham berkata, perkara itu menunjukkan sikap angkuh dan sombong Guan Eng yang tidak menghormati undang-undang dan peraturan di bawah Seksyen 14 (1) Akta Pertubuhan 1966.

"Apakah Guan Eng ingat dia mengatasi undang-undang, sebagai tokong atau mahu ikut undang-undang hutan.

"Ahli-ahli DAP mahukan Guan Eng menghormati undang-undang di negara ini. Ini negara yang berdaulat dan ada peruntukan undang-undang bagi setiap satu perkara," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

DAP pada 15 Disember lalu mengumumkan keputusan pemilihan CEC yang menyaksikan tiada seorang pun calon Melayu terpilih.

Walau bagaimanapun, mesyuarat CEC pada 4 Januari mengumumkan berlaku kesilapan teknikal menyebabkan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari yang sebelum itu tidak tersenarai dalam CEC berada di tangga ke-20 selepas kiraan semula undi.

Tindakan tersebut menyebabkan ahli-ahli DAP termasuk David membuat aduan kepada ROS pada 14 Januari lalu kerana tidak berpuas hati dengan salah kira undi dalam pemilihan CEC itu.

David berkata, Guan Eng juga perlu mengisytiharkan sekiranya beliau tidak tahu bagaimana untuk mengemukakan penyata tahunan, kewangan dan senarai ahli jawatankuasa kepada ROS.

"Sudah pasti ada ahli-ahli DAP yang bijak pandai boleh mengajar beliau. Guan Eng cuma perlu mengambil sikap rendah diri dan minta pertolongan," ujarnya.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment