~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Tuesday, January 1, 2013

AMBANG 2013: ISU YANG BELUM SELESAI!



Bukan menjadi satu teka-teki lagi bahawa awal 2013 adalah jangkamasa yang bakal mencatit satu lagi sejarah di negara ini.Ibu segala pilihanraya akan berlangsung pada jangka waktu itu. Kini bahang PRU ke 13 sudah mula dirasakan. Kehangatannya telah bermula sejak dari hari-hari pertama keputusan PRU ke 12 diumumkan.

Tinjauan yang dibuat menunjukkan bahawa sehingga kehari ini sebahagian dari penganalisa politik masih belum berani membuat ramalan yang pasti berhubung dengan keputusan PRU ke 13 nanti. Kebanyakan mereka mengambil sikap yang lebih selamat mengatakan bahawa keputusan penuh mungkin boleh memihak kepada salah satu pesaing samada BN atau Pakatan Rakyat. Ramalan sedemikian sering disebut sebagai ramalan 50/50. Ada yang cuba membuat perjumlahan kerusi-kerusi kemenangan mengikut negeri kenegeri dan akhirnya membuat satu kesimpulan daripada perjumlahan itu untuk memberi gambaran di peringkat persekutuan blok politik mana yang akan mentadbir negara ini.

Sebahagian rakyat Malaysia menahan nafas dan berasa cemas akibat daripada kecenderungan sokongan kepada satu-satu blok politik yang bukan menjadi pilihan mereka. Ada yang terus relax sahaja kerana bagi mereka siapa pun yang berkuasa mereka akan berada di tahap itu juga. Terdapat golongan yang ketiga yang lebih dipengaruhi oleh isu-isu menjadikan mereka tidak membuat apa-apa ramalan sehingalah kepusingan yang terakhir. Bagi mereka isu akan menentukan siapa yang akan menjadi sabut dan siapa yang akan menjadi batu sesuai dengan pepatah “untung sabut timbul, untung batu tenggelam”.

Terlalu banyak isu yang sedang dimainkan di dada akhbar, di kaca tv dan juga di laman sosial. Laman sosial melalui blog, Facebook, Twitter dan sebagainya begitu aktif membongkar isu-isu lama yang diberi nyawa baru dan isu-isu baru yang dihangat, dipanas dan menunggu masa untuk diledakkan.

Isu Hudud dan Negara Islam, mengkafirkan UMNO, Amanat Haji Hadi, balak di Kedah dan Kelantan, doa PAS, cara PAS menangani bantahan-bantahan DAP, dikatakan menjadi kuda tunggangan DAP, Nik Aziz dan Azizan terus bertanding dan Syiah dalam PAS adalah di antara isu yang secara langsung membabitkan PAS.

Isu LGBT, pluralisme dan liberalisme agama, masalah akhlak Anwar Ibrahim, Azmin dan isteri, kes mahkamah yang bertali arus, murtad dan aqidah serta Anwar sebagai PM adalah rentetan isu yang menghimpit dan menekan reputasi dan kredibiliti PKR.

Sementara isu anugerah 10,000 ekar tanah di Kelantan, kalimah Allah, cauvinisme dan rasisme dalam DAP, penyisihan masyarakat Melayu di Pulau Pinang, kronisme dalam DAP, 30 tuntutan DAP, Malaysia negara republikdan Malaysia negara sekular pula merupakan isu-isu yang dikaitkan dengan DAP.

Di pihak Barisan pula kebanyakan isu dihalakan kepada UMNO, parti yang menjadi tulang belakang kepada BN. Isu Altantunya, Scorpene, rasuah adalah di antara isu yang cuba dimainkan oleh musuh politik UMNO.

Di peringkat negeri pula masing-masing negeri mempunyai isu tersendiri. Di Selangor isu air, Langat 2, pengurusan sampah, PKNS, hutang Talam, kerugian UNISEL dan KUIS, janji-janji manifesto Pakatan yang tidak tertunai adalah di antara contoh isu-isu di peringkat negeri yang akan dilaungkan di pentas-pentas politik.

Seperti PRU-PRU sebelumnya, sekali lagi faktor isu dijangka tegak berdiri menjadi penentu kemenangan atau kekalahan di antara parti-parti yang bertanding. Pengkaji politik dengan andaia nmasing-masing meramalkan PAS dijangka menerima tamparan yang terhebat disebabkan isu yang dibangkitkan menyentuh langsung jiwa halus dan degup jantung keimanan, ketakwaan dan survival Bangsa Melayu serta Institusi Raja. Perkara-perkara ini sudah dipersetujui bersama dan termaktub dalam Perlembagaan.

PKR juga disebut sebagai parti yang akan menerima bahana akibat pegangan dan fahaman pimpinan tertinggi mereka yang dikatakan bercanggah sama sekali dengan fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan masyarakat Islam di negara ini. Selain daripada itu persoalan moral di kalangan pimpinan tertinggi masih menuntut penjelasan disebabkan keengganan mereka bermubahalah.

UMNO juga dikatakan akan menerima akibat daripada berbagai isu yang kebanyakkannya diberi nafas baru oleh musuh-musuh politik mereka. UMNO sebagai parti komponen utama telah memerintah negara ini sejak 55 tahun yang lalu. Prestasi mereka berterusan dinilai dan diletakkan di teropong hama. Penganalisa politik membuat perbandingan dengan negara-negara lain yang mendapati tidak ada negara dalam dunia yang telah mengekalkan pemerintahan selama lebih 55 tahun mempunyai rekod yang tidak tercemar. Yang membezakan diantara mereka barangkali ialah darjah pencemaran itu.

Penganalisa politik sebahagiannya menamakan DAP sebagai parti yang akan memperolehi kejayaan besar. Perjuangan DAP seperti yang digembar gemburkan pimpinan tertinggi mereka dikatakan memenuhi cita rasa penyokong-penyokong mereka yang rata-ratanya terdiri daripada masyarakat bukan Islam. Bagi mereka inilah masa dan ketikanya untuk masyarakat bukan Islam meluaskan penguasaan bukan sahaja di bidang ekonomi dan perniagaan malah ketika ini mereka memberi perhatian istimewa kepada penguasaan politik.

Suasana ini menjadikan masyarakat Melayu Islam yang menjadi penduduk dan pengundi majoriti dinegara ini berasa sangat tidak selesa. Melihat kepada kebangkitan dan perpaduan kaum bukan Islam dan permainan dan pertembungan politik yang tidak sihat dikalangan parti-parti politik utama Melayu sehingga menimbulkan perpecahan umat menjadikan mereka rungsing dan risau dengan masa depan Islam dan nasib bangsa Melayu di tanahair sendiri.

Suasana ini juga telah menyebabkan penganalisa politik melihatakan berlakunya pertambahan yang mendadak terhadap jumlah pengundi atas pagar untuk PRU yang ke 13 nanti. Dalam keadaan ini masyarakat tercari-cari formula yang terbaik yang boleh menguntungkan Islam dan Melayu dan pada masa yang sama menghasilkan kestabilan politik dan keharmonian bermasyarakat dalam negara kita.

Sebab itulah juga kita melihat wujudnya satu fenomena di mana NGO-NGO yang berjuang untuk Islam dan Melayu telah mendapat sambutan yang begitu hebat dan luarbiasa. Sekiranya fenomena ini dijadikan sandaran, kita dapat menyimpulkan bahawa masyarakat amat mengharapkan satu kuasa ketiga dapat diwujudkan untuk menjadi kuasa penyatu dan pengimbang kepada kegawatan suasana politik Negara. Kuasa Ketiga inilah yang diharapkan dapat berperanan secara langsung dan tidak langsung untuk memastikan masa depan Islam dan nasib bangsa Melayu terus terpelihara selepas PRU ke 13 nanti. Yang pastinya PRU ke 13 akan menjadi medan ibadah dan jihad yang paling besar (akbar) untuk Umat Islam dan bangsa Melayu di Negara kita.

Tahun 2013 bakal tercatat dalam sejarah negara ini sebagai tahun yang penuh bersejarah. Berbagai ramalan boleh dibuat. Apa pun kita yakin kepada kewarasan dan pertimbangan 28 juta rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia terkenal di seluruh dunia sebagai manusia yang sopan dan bertatasusila. Sudah tentu mereka ingin melihat kesopanan dan kesusilaan terus terpancar dalam keadaan dan suasana apa pun. Sifat-sifat inilah diharapakan menjadi panduan dan landasan dalam PRU ke 13 yang bakal menentukan peneraju kepada Malaysia negara tercinta ini.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
153B, JlnAminudinBaki
TTDI, Kuala Lumpur.
31 Disember 2012

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment