~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Saturday, July 28, 2012

DAP: Impian Pas laksana hudud mustahil?



Hasrat Pas yang mahu melaksanakan hukum hudud di negara ini sukar untuk direalisasikan kerana parti itu perlu terlebih dahulu meminda Perlembagaan Persekutuan, kata Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepong berkata, untuk meminda perlembagaan bukan sesuatu yang mudah kerana ia memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen.

"Nak hudud mesti ada pindaan di Parlimen. Dia (Pas) tahu nak dapat majoriti dua pertiga itu mustahil," katanya.

Malah, katanya sehingga hari ini Enakmen Undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 (Hukum Hudud) yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 1993 juga masih tidak dapat dikuatkuasakan.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kelanta,n Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am Pas pada Rabu lepas yang mengulangi pendirian parti itu untuk memperjuangkan hukum hudud walaupun tidak dipersetujui DAP.

Menurut Tan, isu hudud merupakan satu perkara yang rumit terutama dalam sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk dan ia tidak sepatutnya dibangkitkan.

"Jangan kita bangkitkan perkara yang boleh menimbulkan porak-peranda terutama kepada perkara yang tak boleh dilaksanakan," katanya.

Mengulas mengenai pendirian DAP itu, bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Chandra Muzaffar berkata, pendirian Pas untuk memperjuangkan hukum hudud walaupun tidak mendapat restu DAP menunjukkan kedua-dua parti tersebut banyak perbezaan dan tidak sealiran.

Beliau yang juga Presiden Pergerakan Keadilan Sejagat (Just) berkata kedua-dua parti berkenaan hanya berpakat kerana mereka mempunyai 'musuh' tertentu yang menghalang hasrat untuk merampas kuasa di peringkat persekutuan dan negeri.

"Ini menunjukkan hubungan mereka satu hubungan yang beroportunis kerana mereka nak berkuasa, tak ada sebab lain," katanya.

Chandra juga berkata tindakan Pas yang memberi keutamaan kepada hudud apabila berkuasa menunjukkan seolah-oleh bahawa hukuman tersebut mencermikan tamadun Islam.

"Ini tak betul kerana yang mencerminkan kegemilangan Islam adalah ilmu pengetahuan dan keadilan," jelasnya.

Sementara itu : DAP tetap tentang hudud, kata Karpal

DAP tetap menentang pelaksanaan hukum hudud di negara ini walaupun mengakui Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata kenyataan itu adalah jelas dan tidak pernah berubah kerana perundangan Islam tidak akan dilaksanakan sama sekali.

“Apa yang saya cakap ini adalah pendirian DAP, bukan pandangan peribadi saya. Sebagai Pengerusi DAP, saya bertindak sebagai jurucakap parti dan apa yang dikatakan oleh saya adalah kenyataan rasmi parti,” katanya kepada media semalam.


Menurutnya, beliau tidak menghiraukan pendapat Penasihat DAP, Lim Kit Siang atau Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng mengenai pelaksanaan hudud ketika bertemu dengan pemimpin Pas sebelum ini.

“DAP sama sekali tidak akan bersetuju dengan pelaksanaan hukum itu di negara ini.

“Saya tidak kisah apa yang Kit Siang dan Guan Eng cakap mengenai hukum hudud sewaktu bertemu pemimpin Pas,. Tetapi bagi saya ia tetap tidak boleh dilaksanakan di negara ini,” katanya.

Karpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor turut memberi amaran kepada MCA agar tidak berterusan memainkan isu hukum hudud di negara ini kerana menyifatkannya sebagai membuang masa dan tidak akan dilaksanakan.

“Hentikanlah apa yang dikatakan. Perkara ini (pelaksanaan hudud) tidak akan di laksanakan di negara ini.

“Agama Islam adalah agama rasmi negara ini dan ia sudah termaktub dalam perlembagaan namun perundangan Islam tidak akan dilaksanakan sama sekali," katanya ketika mengulas kenyataan ahli jawatankuasa pusat MCA, Loh Seng Kok yang mendakwa Karpal sebagai orang menurut perintah ( yes man) kepada Pas.

Seng Kok turut menggesa Guan Eng dan Kit Siang supaya meletak jawatan kerana gagal menghalang matlamat Pas dari meneruskan cita-cita itu.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment