~ PENANG WASABI ~
FEEL THE HEAT
Monday, September 12, 2011
MB Azizan tetap bertahan walaupun digugat!
Setelah lebih seminggu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak diselubungi kontroversi dengan isu bahawa jawatannya akan digantikan ekoran masalah kesihatan, Azizan membuat sidang akhbar mesyuarat Exco yang pertama selepas cuti umum Aidilfitri, pada Rabu lalu.
Seperti biasa, percakapannya jelas serta beliau menjawab soalan dengan tenang dan sekali-sekala berseloroh dengan pemberita. Sikapnya itu menggambarkan desas-desus sebelum ini yang kononnya akan berlaku peralihan kepimpinan negeri, adalah sesuatu yang tidak mengganggu fikirannya.
Desas-desas itu kononnya pucuk pimpinan Pas Pusat mahu menggantikan Azizan dengan pemimpin lain kerana tidak lagi memberi kepercayaan kepadanya untuk memegang jawatan tersebut ekoran masalah kesihatan yang kurang memuaskan.
Selain itu, khabar angin juga ditiup oleh pihak tertentu bahawa ada percubaan hendak menjatuhkan beliau dan terdapat tiga pemimpin Pas Kedah yang dikaitkan layak menggantikan Azizan jika berlaku sesuatu terhadap menteri besar berkenaan.
Ekoran itu juga, Azizan menolak cadangan agar diwujudkan jawatan Timbalan Menteri Besar kerana ia adalah sesuatu yang bertentangan dengan Undang-undang Tubuh Negeri Kedah.
Hakikatnya, Pesuruhjaya Pas Kedah itu kelihatan sudah sihat dan mula bekerja seperti biasa. Bahkan khabar angin yang menyatakan kononnya Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan mengadakan perbincangan mengenai peralihan kuasa di Kedah ternyata palsu kerana sehingga hari ini tidak menjadi kenyataan!
Yang terzahir kebenaran ketika ini ialah tidak boleh dinafikan terdapat beberapa pemimpin dalam parti itu bersaing untuk menyandang jawatan nombor satu dalam kerajaan negeri itu pada suatu hari.
Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Taib Azamuddin Md. Taib berpendapat, adalah tidak bijak jika jawatan menteri besar hendak bertukar tangan ketika pilihan raya umum dijangka berlaku tidak lama lagi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Baling berkata, Azizan perlu diberikan masa lebih lama memegang jawatan itu kerana kepimpinan singkat sekitar dua atau tiga tahun tidak mampu membawa banyak kejayaan kepada sesebuah negeri seperti yang berlaku dalam sistem penggiliran Ketua Menteri di Sabah suatu ketika dahulu.
"Lagi pun beliau masih sihat dan berkemampuan dan mendapat keyakinan rakyat untuk memimpin.
"Jadi apalah sangat ukuran yang boleh diberikan dalam tempoh tiga tahun mentadbir maka jangan dok sibuk nak tukar orang," tegasnya yang juga bekas Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kedah.
Bagaimanapun, Taib menyifatkan desas-desus dan kontroversi mengenai usaha yang cuba menjatuhkan Azizan adalah suatu perang saraf pihak tertentu ketika pilihan raya umum semakin hampir.
Untuk rekod, tiga nama pemimpin yang sering disebut-sebut layak menggantikan Azizan ialah Datuk Phahrolrazi Mohd. Zawawi, 58, (ADUN Pengkalan Kundor); Datuk Amiruddin Hamzah, 49, (ADUN Anak Bukit), dan Datuk Mohamad Taulan Mat Rasul, 69, (ADUN Tokai).
Dalam soal kepimpinan, veteran politik Tan Sri Khalid Abdullah berpendapat, Azizan ialah menteri besar terbaik daripada Pas yang ada ketika ini dan mana-mana pemimpin dalam parti itu tidak dapat menggantikannya setakat ini.
"Amat jelas beliau mempunyai kebijaksanaan dalam tindakannya disebabkan latar belakangnya yang memiliki ilmu, pengalaman dan berpengetahuan tinggi.
Khalid berkata, dalam banyak hal sejak dahulu, Azizan terbukti bukan pemimpin Islam yang ekstremis tetapi sentiasa bersederhana dan rasional.
Contohnya, sejak menjadi Menteri Besar, hubungan pentadbiran antara kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat berjalan baik kerana Azizan memahami dengan mendalam soal federalisme dan hubungannya dengan negeri.
"Saya tak nampak kenapa beliau perlu diganti, melainkan jika beliau sendiri tidak mahu meneruskan (memegang jawatannya) kerana suatu takdir yang tidak dapat dielakkan," katanya.
Bagi rakyat negeri jelapang padi ini, hubungan baik Azizan dengan pelbagai pihak iaitu bukan sahaja ahli Pas malahan ahli dan para pemimpin UMNO seperti bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad adalah sesuatu yang diketahui umum.
Setakat ini juga, tiada komen-komen tidak menyenangkan disuarakan oleh kakitangan dan pegawai kerajaan negeri terhadap corak kepimpinan Azizan.
Namun apakan daya, semua kualiti di atas bukan satu tiket jaminan bagi mana-mana pemimpin sekali pun untuk mampu mengekalkan status quo kuasa kerana dalam politik 'macam-macam kemungkinan boleh berlaku.'
Lebih-lebih lagi sejarah membuktikan golongan yang kerap terlibat dalam perbuatan menikam dari belakang adalah kelompok orang politik iaitu dalam kalangan orang terdekat dan rakan kepercayaan sendiri.
Kita berharap keadaan itu tidak berlaku dalam putaran ganas persaingan politik dalaman Pas Kedah, tetapi jika ia berlaku maka ia menjadi satu lagi bukti bahawa Pas bukanlah parti Islam sebenar kerana nyata tewas dalam kerakusan memburu kuasa.
Penang Wasabi..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment