~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Friday, June 6, 2014

Pas minta DAP 'cermin diri'?


Kerajaan Pas Kelantan menyelar DAP kerana mengaitkan isu pelaksanaan hudud di negeri ini sebagai penyebab kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Sabtu lalu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, DAP tidak perlu menuding jari kepada Pas dan hudud, sebaliknya mengakui kelemahan sendiri kerana calon yang dikemukakan iaitu Dyana Sofya Mohd. Daud bukan pilihan terbaik.

Katanya, pemilihan Dyana Sofya yang merupakan orang Melayu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi Cina sehingga menyebabkan mereka melakukan protes dengan cara tidak mengundi DAP.

“Pada pandangan saya tidak ada sangkut paut dengan hudud, sebab kalau betul boleh menjejaskan sokongan macam mana DAP boleh menang di Bukit Gelugor. Jika Teluk Intan terjejas, Bukit Gelugor patut terjejas sama.

“Saya melihat punca kekalahan adalah undi protes daripada pengundi Cina yang tidak berpuas hati dengan calon yang dikemukakan oleh DAP. Mereka mahu orang Cina, tiba-tiba letak calon Melayu. Sudahlah muda, bukan berasal dari situ pula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Seminar Perdagangan Kelantan di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Center di sini hari ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat DAP, Gobind Singh Deo dilaporkan berkata, pendirian Pas yang mahu melaksanakan hudud di negeri ini menyebabkan berlaku protes secara senyap terhadap pembangkang sehingga membawa kepada kekalahan Dyana Sofya.

Menurut Gobind, kebanyakan pengundi di Teluk Intan tidak menyokong hudud kerana mereka berpandangan Malaysia merupakan sebuah negara sekular.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud Kelantan meminta DAP mencermin diri dan tidak terus menerus menyalahkan pihak lain terutama Pas atas kegagalan parti itu mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan.

“Kita pun kalau kalah, tidak salahkan siapa-siapa, kita salahkan UMNO sahaja," katanya.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment