~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Wednesday, January 18, 2012

Pakatan Rakyat dah tertekan : Konvensyen terakhir mereka sebelum PRU ke-13 hambar?


Pada Sabtu lalu, di Stadium Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, Alor Setar, Kedah telah diadakan Konvensyen Pakatan Rakyat Ketiga yang dihadiri kira-kira 2,000 orang.

Jumlah kehadiran itu jauh meleset daripada sasaran awal yang ditetapkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Induk konvensyen, Datuk Mahfuz Omar iaitu sebanyak 5,000 perwakilan dan pemerhati.

Konvensyen sehari itu tetap diteruskan mulai pukul 9 pagi walaupun separuh daripada kerusi yang disediakan kosong. Sepanjang konvensyen itu, tiada idea baru yang dilontar kepimpinan tertinggi pembangkang sebaliknya hanya ungkapan kosong yang bersifat retorik.

Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali yang berucap mewakili parti itu pada sesi sebelah pagi hanya menyampaikan ucapan 'kitar semula' dengan mengulangi dakwaan bahawa rakyat sudah kehilangan keyakinan terhadap kerajaan.

Beliau berkata, rakyat negara ini sedang berdepan dengan krisis keyakinan terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang gagal melaksanakan transformasi politik dan ekonomi. Tambahnya, rakyat mahu pihak pembangkang segera membanteras rasuah, menghapuskan keborosan dan ketirisan yang akan memufliskan Malaysia menjelang 2020.

Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang berucap mewakili parti itu juga mendendangkan lagu lama apabila berikrar untuk menghapuskan Malaysia daripada rasuah dan pembaziran; langkah yang sudah lama dilaksanakan oleh Najib.

''Negara ini kotor untuk 53, 54 tahun. Kita perlu bekerja bersama-sama untuk menghapuskan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum kali ini," katanya.

Selepas itu, para pemimpin pembangkang mengambil bahagian dalam upacara sumpah ikrar dengan iltizam untuk menjunjung cita-cita membina sebuah Malaysia baru yang demokratik, adil dan berkebajikan.

Mereka turut berjanji untuk mempertahan Perlembagaan dan dasar bersama pakatan, memperkukuh kerjasama antara anggota gabungannya serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Antara pemimpin yang hadir ialah Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presidennya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Penasihat parti itu, Lim Kit Siang; Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Tiadanya pembentangan pelan induk komprehensif yang akan dilaksanakan jika pihak pembangkang memerintah negara ini membuatkan kita tertanya-tanya adakah pakatan itu serius dengan janji-janjinya untuk menawan Putrajaya.

Kesangsian itu semakin kuat apabila wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pelajar yang berucap pada sesi suara nurani rakyat Malaysia memilih untuk mengkritik pihak pembangkang secara terbuka.

Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0, Datuk S. Ambiga misalnya mencabar gabungan itu supaya mengemukakan pelan khusus bagaimana untuk menghapuskan rasuah dan salah guna kuasa apabila berkuasa nanti.

Pelan itu, tidak pernah tercatat dalam Buku Jingga yang diuar-uarkan pembangkang sebagai rujukan utama apabila memerintah Malaysia nanti.

Tambah Ambiga, pihak pembangkang juga tidak mempunyai sebarang perancangan spesifik untuk mendapatkan semula dana haram yang dibawa keluar dari Malaysia yang didakwanya berjumlah lebih RM1 trilion.

''Saya juga mahu tahu apakah pendirian pakatan dalam isu pembentukan suruhanjaya mencari kebenaran dan menyelesaikan kes kematian melibatkan agensi awam," katanya merujuk kepada langkah kerajaan BN menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat individu yang mati ketika disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Selain Ambiga, turut menempelak pihak pembangkang ialah wakil pelajar yang juga Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis), Akram Ikrami Taib.

Anak kepada Ahli Parlimen Baling, Taib Azamuddin itu memberitahu pihaknya bosan dengan janji pembangkang untuk menawan Putrajaya sedangkan tiada penyelesaian konkrit yang dikemukakan bagi merungkai isu pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

''Kaedah pembayaran balik sekarang menyebabkan para graduan tertekan dan tidak dapat tidur lena," katanya.

Keraguan mengenai kesungguhan pihak pembangkang untuk memerintah negara bertambah kuat apabila Abdul Hadi yang berucap pada sesi penggulungan mengakui ''jalan untuk ke Putrajaya sangat berliku dan bukan jalan yang mudah."

Guan Eng dalam ucapan penggulungannya juga mengakui BN masih mempunyai kelebihan dan tiada jaminan pihak pembangkang akan menang dalam pilihan raya umum nanti.

Mengulas perkembangan terkini itu, penganalisis politik, Mohd. Roslan Mohd. Saludin berkata, rakyat tidak seharusnya tertipu dengan janji manis pembangkang yang mendakwa akan membuat perubahan sedangkan tiada pelan komprehensif yang dibentangkan.

Katanya, apa yang dijanjikan itu hanya bersifat umum dan tidak menyentuh secara langsung ideologi teras parti gabungan seperti Pas yang berlandaskan kepada Islam dan DAP yang agendanya adalah sekular.

''Mencari keserasian memerintah secara bersama dengan parti yang bertentangan ideologi adalah sesuatu yang hampir mustahil untuk dicapai,'' katanya.

Tegasnya, melihatkan kerapuhan pihak pembangkang dalam pemerintahan di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan serta Perak satu ketika dahulu, beliau berpendapat janji yang bersifat idealistik itu tidak mungkin boleh dicapai.

''Kita jangan bersikap simplistik dan menganggap mentadbir serta mengurus negara semudah menyediakan mi segera," ujarnya yang juga bekas Felo Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Dalam pada itu, pemerhati politik, Che Hamdan Che Mohd. Razali turut melahirkan keraguan terhadap kemampuan pembangkang untuk memerintah negara jika dilihat kegagalannya menerajui negeri termaju, Selangor.

''Saya dapati pihak pembangkang masih 'tercari-cari' formula terbaik untuk mengekalkan kuasa di negeri-negeri yang diperintah mereka dan membuktikan mereka lebih baik daripada BN,'' katanya yang juga pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara Kampus Dungun, Terengganu.

Katanya, di Selangor misalnya, pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilihat memberi tumpuan untuk mewujudkan imej kerajaan yang telus dan adil.

''Dalam kesibukan untuk mementingkan idealisme parti yang mahu dilihat telus dan adil, ia tidak mengambil berat masalah masyarakat seperti kadar sewa premis perniagaan yang tinggi dan isu sampah tidak dikutip,'' ujarnya.

Kepada pengundi yang akan menunaikan hak masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, jangan biarkan nasib anda seperti kata pepatah yang dikejar tidak dapat, yang dikendong berciciran.

Penang Wasabi..

1 comment: