~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, July 15, 2012

Di sebalik kempen DAP terhadap Pelabuhan Pulau Pinang?



Pelabuhan Pulau Pinang menjadi isu kontroversi apabila syarikat daripada Kumpulan Syed Mokhtar Al Bukhary, berjaya mendapat projek penswastaan pelabuhan itu. Ketika ini Pelabuhan Pulau Pinang dimiliki oleh kerajaan pusat menerusi Penang Port Sdn Bhd (PPSB). Kerajaan DAP Pulau Pinang menjadikan isu penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang sebagai modal politik apabila melancarkan kempen Selamatkan Pelabuhan Pulau Pinang baru-baru ini.

Kempen DAP memberi gambaran seolah-olah Pelabuhan Pulau Pinang akan jatuh muflis apabila diswastakan. Tetapi adakah keadaan sekarang ini selamat apabila PPSB terpaksa menanggung hutang RM1.3 bilion? Apakah kerajaan Pulau Pinang lakukan untuk menyelamatkan Pelabuhan Pulau Pinang sebelum kerajaan pusat mengambil tindakan mengswastakan sebagai cara menyelamatkannya?

Syarikat Seaport Terminal Sdn. Bhd yang berjaya membida penswastaan pelabuhan itu menjadi mangsa serangan politik DAP apabila mempersoalkan kenapa penswastaan itu tidak diberi kepada “orang Pulau Pinang"? Tetapi kerajaan negeri sendiri tidak pula mempersoalkan kenapa jawatan Ketua Menteri diberikan kepada bukan orang Pulau Pinang.

Walaupun kerajaan negeri menentang penswastaan tetapi mereka telah menghantar surat kepada Perdana Menteri, Najib Tun Razak untuk mengambil alih PPSB. Jadi, apakah bezanya antara syarikat yang dimiliki Syed Mokhtar Al Bukhary dengan kerajaan negeri dalam konteks penswastaan?

Apabila kerajaan negeri mahukan “orang Pulau Pinang" diberi tanggungjawab dalam penswastaan pelabuhan itu, kita perlu bertanya adakah syarikat orang Melayu di Pulau Pinang mampu mendapat projek penswastaan ini? Kalau perkiraan ini digunapakai, sudah pastilah syarikat bukan Melayu yang berjaya membida. Tetapi kerajaan pusat memberikan penswastaan ini kepada Syed Mokhtar bukanlah kerana beliau Melayu tetapi pengalaman dan kemampuan selepas menerajui Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor.

DAP menjaja dalam kempennya bahawa pekerja Pelabuhan Pulau Pinang menentang penswastaan itu, alasannya masa depan mereka terjejas selepas PPSB beralih tangan kepada syarikat swasta. Tetapi Kesatuan Pekerja-Pekerja Penang Port mengalu-alukan penswastaan ini dan menyifatkan sebagai “gelombang kedua penswastaan" yang tidak harus dilepaskan.

Presiden kesatuan itu, Annuar Omar ketika dihubungi di Pulau Pinang Jumaat lalu berkata, penswastaan pelabuhan itu diyakini memberi sinar baru kepada pekerja dan mampu menjana ekonomi kepada negeri Pulau Pinang dan juga negara ini. Beliau tidak nampak penswastaan ini akan menjejaskan masa depan pekerja malah akan lebih baik.

Modal politik

“Saya bukan orang politik dan saya tidak mahu cakap dari sudut politik. Tetapi dari sudut kesatuan, kami memang menyokong penuh usaha kerajaan pusat dan yakin dengan kemampuan syarikat yang diberi tanggungjawab itu," demikian tegas Annuar yang tidak menafikan isu penswastaan ini dijadikan modal politik kerajaan negeri.

Apabila kesatuan pekerja menyatakan sokongan penuh kepada penswastaan ini, pekerja mana pula pula yang didakwa DAP Pulau Pinang sebagai menentang penswastaan ini? Bukankah kesatuan itu suara rasmi pekerja-pekerja Pelabuhan Pulau Pinang? Malah tidak ada sebab kerajaan negeri untuk turut “bersimpati" dan berusaha “menyelamatkan" pelabuhan itu kerana ia milik kerajaan pusat. Kenapa kali ini DAP terlalu baik hati dan bersimpati dengan milik kerajaan pusat? Barangkali penswastaan ini dijadikan isu kerana ia tidak diberikan kepada kerajaan negeri.

“Saya melihat masa depan 1,435 kakitangan sokongan di mana 90 peratus adalah Melayu akan lebih terbela apabila diterajui oleh Syed Mokhtar. Penswastaan ini mesti diteruskan dan abaikan usaha pihak tertentu untuk dijadikan modal politik," kata Annuar lagi.


Pada masa yang sama kerajaan negeri sangat berminat untuk memiliki Pelabuhan Pulau Pinang. Persoalannya apakah kerajaan negeri tidak bimbang dengan kedudukan ekonomi China dan krisis di zon euro untuk “menyelamatkan" Pelabuhan Pulau Pinang seperti yang dibimbangi oleh Ahli Parlimen, Tony Pua dalam sidang di Parlimen baru-baru ini.

Baru-baru ini Ketua Menteri, Lim Guan Eng menuntut Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang meminta maaf kepada rakyat apabila BN berjanji akan memberi status Pelabuhan Pulau Pinang sebagai pelabuhan bebas sekiranya BN berjaya menawan negeri itu dalam pilihan raya umum yang akan datang. Tetapi DAP juga membuat janji yang sama untuk menjadikan pelabuhan itu sebagai pelabuhan bebas sekiranya pakatan mereka berjaya menawan Putrajaya.

Ini menunjukkan Pelabuhan Pulau Pinang yang selama ini tidak diberi perhatian tiba-tiba menjadi modal politik pihak tertentu. Pembangkang tidak mengemukakan perancangan yang akan dilakukan untuk menyelamatkan pelabuhan itu sekiranya diberi peluang oleh kerajaan pusat. Pada masa yang sama BN Pulau Pinang juga meminta kerajaan melihat semula penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang walaupun tidak menentang penswastaan itu.

Sepatutnya mereka dapat melihat yang tersirat di sebalik penentangan kerajaan negeri terhadap penswastaan itu dan meminta diberikan kepada “orang Pulau Pinang". Ini kerana yang berjaya membida adalah tokoh korporat Melayu maka ditimbulkan isu bukan orang Pulau Pinang. Apakah kerajaan negeri akan berkempen Selamatkan Pelabuhan Pulau Pinang sekiranya bukan Syed Mokhtar yang berjaya mendapat projek penswastaan itu?

No comments:

Post a Comment