~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, November 30, 2014

Tawar lompat parti RM100 juta , PR Bapak Segala Rasuah - @NajibRazak?


Tanpa berselindung dan mengetahui bahawa ucapan beliau disiarkan secara terus menerus oleh media yang memenuhi ruang khas disediakan, Presiden Umno Datuk Seri Mohd Najib Razak terus menyelar pembangkang iaitu Pakatan Rakyat (PR) adalah “bapa kepada segala rasuah” yang sebenar.

Najib, memegang senaskhah akhbar Utusan Malaysia bertarikh 27 November lalu menunjukkan kepada perwakilan Umno seluruh negara yang memenuhi Dewan Merdeka, laporan mengenai keterangan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman yang ditawarkan oleh pembangkang untuk ‘lompat parti’ dan menyertai pakatan dengan janji RM100 juta.

Presiden Umno itu berkata bahawa perkara itu berlaku sewaktu ketua pembangkang, Anwar Ibrahim, berura-ura untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan mewujudkan kerajaan baru dalam gerakan yang terkenal dengan jolokan ‘peristiwa 16 September’.

“Kita selama ini dituduh dan dilemparkan dengan berbagai tuduhan rasuah dan sebagainya sehingga kita kelihatan begitu kotor sekali.


“Sedangkan merekalah sebenarnya ‘bapa kepada segala rasuah’ dengan menawarkan RM100 juta untuk 10 ahli parlimen kita (untuk) melompat parti,” kata Najib disambut sorakan yang begitu gamat sekali oleh seluruh perwakilan Umno di dewan bersejarah itu.

Najib, tidak risau dengan kenyataannya itu kerana ia sudah pun diberi keterangan di mahkamah dan menjadi dokumen awam serta telah dilaporkan di akhbar.

“Saya dah rujuk dengan peguam dan ini bukanlah subjudis,” katanya.

Presiden Umno itu seterusnya menyarankan agar ahli Umno terus menyerang pakatan pembangkang dari bertelagah sesama sendiri.

Rata-rata perwakilan yang ditemui Selangor Press menzahirkan rasa puashati serta bersemangat dengan ucapan penggulungan presiden itu berbanding ucapan dasar presiden, kelmarin.

Penang Wasabi..

Saturday, November 15, 2014

Gambar & Bukti Terbaru MH17 Ditembak Jatuh?


Televisyen Rusia awal pagi Sabtu (waktu Malaysia) menyiarkan "imej satelit" yang didakwa menunjukkan pesawat MAS MH17 yang didakwa ditembak jatuh oleh jet pejuang menjelang sidang kemuncak ekonomi G20 di Australia Sabtu.

Dakwaan Rusia ini bertentangan dengan kesimpulan awal pasukan penyiasat blok Barat terhadap MH17 bahawa ianya jatuh selepas ditembak peluru berpandu darat ke udara.

TV Rusia yang menyiarkan imej tersebut Channel One melaporkan ianya diambil beberapa ketika sebelum pesawat membawa 298 penumpang dan anak kapal itu terhempas di timur Ukraine, pada 17 Julai.

"Sebelum sidang kemuncak di Brisbane (lewat malam Sabtu waktu Malaysia), Perdana Menteri Australia [Tony] Abbott telah mengancam untuk berdepan dengan Presiden Rusia mengenai MH17," kata penyampai, Mikhail Leontyev.

"Mari kita cuba untuk membuat tugas beliau sedikit lebih mudah."

Pada Jumaat, media antarabangsa Rusia, Russia Today melaporkan firma keselamatan udara Rusia mendedahkan perkara sama.

Laporan agensi berita Rusia, RT yang memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Keselamatan Penerbangan, Sergey Melnichenko berkata, terdapat satu atau dua pesawat dipercayai milik tentera berdekatan MH17 dikesan sebelum dan kira-kira 20 minit selepas tragedi itu.



Menurut Melnichenko, maklumat radar berkenaan dikumpul pada hari kejadian oleh stesen radar yang terletak di Rostov, Rusia, dekat sempadan Ukraine.

"Data terbabit jelas menunjukkan ketika pesawat MH17 terhempas dan selepas kejadian, ada pesawat lain terbang ke arah utara di laluan yang sama.

"Pesawat berkenaan kelihatan seperti pesawat tentera kerana jaraknya sangat rapat antara satu sama lain, sekali gus meningkatkan kemungkinan terdapat satu atau dua jet tempur di situ," katanya.

Selain itu, Melnichenko berkata, bukti lain yang menunjukkan pesawat terbabit adalah milik tentera kerana mereka tidak bertindak-balas apabila diimbas oleh radar, berbeza dengan pesawat awam yang sering membalas isyarat.

Jelasnya, pesawat tentera kebiasaannya tidak dilengkapi alat elektronik pemancar isyarat atau juruterbang memadamkan sistem berkenaan semasa pertempuran di udara.

"Data baharu ini juga konsisten dengan kenyataan tentera Rusia sebelum ini yang menafikan penglibatan dengan tragedi MH17 dan kemungkinan pesawat tempur itu sengaja menembak jatuh pesawat penumpang itu," katanya.

Beberapa hari selepas tragedi MH17, Kementerian Pertahanan Rusia menunjukkan bukti bahawa sebuah jet tempur Ukraine jenis Sukhoi SU-25 dikesan terbang menghampiri kapal terbang penumpang itu sebelum ditembak jatuh.

Kiev menafikan dakwaan itu dengan alasan tidak mengerahkan mana-mana jet tempur melakukan penerbangan, tetapi pihak tentera secara rutin melancarkan serangan untuk menggempur kedudukan puak pemberontak pro-Rusia di timur Ukraine.













(sumber: Agenda Daily)

Penang Wasabi..

Thursday, November 6, 2014

Polis cawangan khas rakam ceramah Mat Sabu?


Rakaman ceramah yang turut disertai Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu tiga tahun lalu dibuat oleh seorang anggota polis cawangan khas dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara (SPU).

Perkara itu dimaklumkan oleh Asisten Supritendan (ASP) Jafri Md. Zain yang merupakan pegawai penyiasat dalam kes fitnah melibatkan Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu dalam perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Menurut Jafri, rakaman itu dibuat oleh Koperal Shanizam Abdul Ghani pada pukul 9.30 malam hingga 12 tengah malam, 21 Ogos 2011 yang dimuatkan ke dalam tiga keping cakera video digital (DVD).

“Rakaman itu diserahkan kepada saya sehari selepas saya mendapat laporan polis yang dibuat seorang pengadu, M. Visvanathan di Balai Polis Raub berkaitan ucapan Mohamad yang didakwa menghina anggota polis (Bukit Kepong) dan keluarga mereka seperti yang tersiar dalam akhbar Utusan Malaysia pada 27 Ogos 2011.

“Saya juga mendapatkan maklumat berkaitan artikel yang tersiar dalam akhbar itu menerusi penulisnya, Mohd. Asron Mustapha yang turut menyerahkan salinan DVD yang diterimanya berkaitan isu itu kepada saya pada 3 September 2011,” katanya selaku saksi pendakwaan.

Beliau berkata demikian dalam perbicaraan terhadap Mat Sabu, 59, yang didakwa memfitnah anggota polis dan keluarga mereka yang mempertahankan diri dalam serangan pengganas komunis di Balai Polis Bukit Kepong, Muar pada 23 Februari 1950 dengan membuat tohmahan yang boleh merosakkan nama baik mereka.

Penang Wasabi..

Monday, November 3, 2014

DNA 'LELAKI Y' DALAM REKTRUM MOHD SAIFUL MILIK ANWAR?


Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pasukan pendakwaan, berhujah bahawa profil DNA 'Lelaki Y' yang dijumpai di dalam rektum Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah milik bekas ketuanya, Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

"Lelaki Y adalah perayu," kata Muhammad Shafee ketika berhujah dalam rayuan akhir Anwar untuk mengetepikan hukuman penjara lima tahun atas kesalahan meliwat Mohd Saiful.

Muhammad Shafee berkata, ini berdasarkan analisis DNA yang dijalankan oleh ahli kimia, Dr Nor Aidora Saedon terhadap tiga barang kes iaitu berus gigi, tuala Good Morning dan botol air mineral yang diambil dari sel lokap, tempat Anwar ditahan semalaman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dari 16 Julai hingga 17 Julai 2008.

"Bacaan profil DNA Lelaki Y yang peroleh ahli kimia sepadan tepat dengan penyumbang sampel DNA tidak diketahui yang dijumpai pada ketiga-tiga barang itu," kata beliau ketika berhujah di hadapan barisan panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.

Empat orang lagi hakim ialah Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif dan hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar serta Datuk Ramly Ali.

Muhammad Shafee berkata, berdasarkan catatan pada diari lokap, dinyatakan bahawa sel itu kosong dan bersih sebelum ketua pembangkang tiba dan Anwar juga ialah satu-satunya penghuni sel itu.

"Apabila perayu meninggalkan lokap, berus gigi dan tuala Good Morning dijumpai di atas lantai sel. Ini menunjukkan bahawa perayu memang menggunakan barang-barang itu dan membuka paket plastik mengandungi barang-barang itu yang diberi kepadanya," kata beliau dan menambah botol air mineral dijumpai di atas tembok penghadang sel.


Berhubung penangkapan Anwar bersabit dengan siasatan kes liwat, Muhammad Shafee berkata, ia sah mengikut undang-undang kerana polis telah memaklumkan kepada tertuduh mengenai alasan penangkapannya dan menunjukkan waran tangkap.

"Dia (Anwar) dimaklumkan tentang alasan penahanannya dan kertas pertuduhan juga ditunjukkan kepadanya," katanya.

Muhammad Shafee juga menarik perhatian bahawa pihak pembela hanya membangkitkan isu perolehan ketiga-tiga barang itu semasa prosiding di Mahkamah Persekutuan.

Beliau berkata, pihak pembela juga tidak mencabar keterangan pegawai polis yang mendengar bunyi Anwar memberus gigi di dalam bilik air lokap.

"Pihak pembela tidak mencabarnya di Mahkamah Rayuan, tetapi di peringkat mahkamah ini (Mahkamah Persekutuan), mereka membangkitkan isu itu," kata beliau.

Muhammad Shafee berkata, ketiga-tiga barang itu tidak diperoleh secara sah kerana penahanan Anwar atas pertuduhan liwat dijalankan mengikut undang-undang. Beliau berhujah bahawa sekalipun barang-barang itu diperoleh secara tidak sah, apa-apa yang relevan dengan pertuduhan masih boleh diterima mengikut Akta Keterangan 1950.

Mahkamah Rayuan mendapati Anwar, 67, bersalah atas pertuduhan meliwat Mohd Saiful, 27, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, 2008.

Tuduhan itu, mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Perbicaraan bersambung esok. - Bernama

Penang Wasabi..

Saturday, November 1, 2014

Najib beri teguran keras kepada UMNO Selangor?


Datuk Seri Najib Tun Razak memberi teguran keras kepada kepimpinan Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor agar bersikap jujur dan bukan mementingkan kem tertentu dalam usaha menawan kembali negeri itu pada pilihan raya umum akan datang.

Presiden UMNO itu tanpa berselindung mengakui bahawa beliau malu, letih, perit dan serik dengan kemelut politik UMNO Selangor sebelum ini dan berharap perkara sedemikian tidak berlaku lagi pada masa hadapan kerana merampas Selangor mesti menjadi kemestian utama.

“Minta maaf saya terpaksa bercakap dalam nada sedemikian tetapi saya perlu berterus terang,” katanya sambil disambut dengan laungan ‘betul’ dan ‘hidup Najib’ berulang kali oleh ahli UMNO sempena perasmian Konvensyen UMNO Selangor di sini semalam.

Penang Wasabi..