~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Wednesday, April 25, 2012

SPRM mula siasat Air Kelantan Sdn. Bhd.!


Selepas lima bulan Utusan Malaysia menyiarkan laporan khas mengenai bekalan air di Kelantan yang tercemar, pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir di pejabat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) di Kota Bharu semalam untuk memulakan siasatan mengenai dakwaan berlaku penyelewengan dalam syarikat pengurusan air berkenaan.

Difahamkan, pegawai dari Ibu Pejabat SPRM Putrajaya itu tiba pada pukul 10 pagi semasa mesyuarat Lembaga Pengarah AKSB yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sedang berlangsung.

Mereka berada di pejabat AKSB sehingga petang dan mengambil keterangan beberapa pegawai kanan syarikat berkenaan sebelum pulang dengan membawa beberapa fail penting untuk membantu siasatan.

Menurut sumber, SPRM bertindak menyiasat syarikat pengurusan air tersebut setelah menerima laporan yang dibuat oleh Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK) berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam urus tadbir AKSB melibatkan kerugian berjumlah jutaan ringgit pada Mei lalu.

Beliau berkata, AKSB didakwa melakukan penyelewengan apabila terdapat beberapa keputusan yang dibuat oleh syarikat tersebut bakal mendatangkan kerugian besar.

“Antara dakwaan penyelewengan yang disiasat SPRM adalah AKSB akan mengalami kerugian kira-kira RM130 juta dalam projek air tidak berhasil (NRW).

“Turut disiasat adalah penggunaan bahan kimia PAC3 yang kosnya meningkat berkali ganda dan keputusan menukar 80,000 meter pintar di seluruh Kelantan yang membabitkan kos sebanyak RM11 juta," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Utusan Malaysia menyiarkan laporan khas empat siri mengenai bekalan air di Kelantan yang tercemar dengan logam berat dan bakteria bermula edisi Mingguan Malaysia pada 20 November tahun lalu sehingga menarik perhatian ramai di negeri itu dan perbualan di seluruh negara.

Selain itu, sumber berkata, SPRM juga akan menyiasat dakwaan berlaku penyelewengan dalam pembinaan loji air di Kampung Sireh, Kota Bharu yang dikatakan menelan kos puluhan juta ringgit.

Beliau berkata, siasatan semalam masih di peringkat awal dan pegawai terbabit difahamkan akan kembali ke pejabat AKSB pada Khamis ini.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Mustafar Ali ketika dihubungi Utusan Malaysia mengesahkan kehadiran sekumpulan pegawainya ke pejabat AKSB semalam tetapi enggan mengulas lanjut.

Manakala, SPRM siasat AKSB: Nik Aziz sedia beri kerjasama


Kerajaan Negeri Kelantan bersedia disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan berlaku penyelewengan dalam pentadbiran kerajaan negeri itu, termasuk berkaitan urus tadbir syarikat Air Kelantan Sdn Berhad (AKSB).

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, komitmen tersebut bagi menentukan ketelusan pentadbiran kerajaan negeri itu.

"Saya sedia buka pintu 24jam untuk pihak berkenaan membuat siasatan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pelancaran Tabung Pembinaan Masjid Maahad Pengajian Islam (MPI) di sini, hari ini.

Nik Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar hari ini, mengenai berapa pegawai dari SPRM hadir di pejabat AKSB di sini, Isnin lepas, untuk memulakan siasatan mengenai dakwaan berlaku penyelewengan dalam syarikat pengurusan air tersebut.

Sebelum itu, Kelantan akui tidak mampu siapkan projek bekalan air

Kerajaan Pas Kelantan mengakui tidak mampu menyiapkan sepenuhnya projek bekalan air bersih dalam tempoh singkat, walaupun kerajaan pusat memberi pinjaman tanpa faedah kira-kira RM618 juta, termasuk untuk projek bekalan air itu.


Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerjaraya, Utiliti dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Md Anizam Ab Rahman, berkata ini kerana peruntukan itu diluluskan secara berperingkat mengikut keperluan dan pelaksanaan projek.

"Kita tidak mampu menyiapkan semua projek yang dilaksanakan dalam masa singkat walaupun peruntukan diluluskan melalui pinjaman kerajaan pusat," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Anggota Pengarah Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) yang dipengerusikan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di sini.

Md Anizam mengulas kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyatakan kerajaan pusat telah menyalurkan peruntukan RM1.058 bilion, termasuk pinjaman tanpa faedah RM597.8 juta untuk Kelantan bagi menyelesaikan masalah bekalan air bersih dalam tempoh 12 tahun.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu berkata peruntukan itu membuktikan kerajaan pusat yang diterajui Barisan Nasional (BN) tidak pernah “menganaktirikan" Kelantan biarpun ia diperintah oleh PAS sejak 1990.

Katanya, peruntukan pinjaman yang sudah diterima AKSB setakat ini adalah RM540 juta daripada kelulusan pinjaman tanpa faedah sebanyak RM618 juta.

Penang Wasabi..

Thursday, April 19, 2012

Pemimpin pembangkang sokong usul larang LGBT!


Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim hari ini mendedahkan beliau mendapat sokongan padu daripada pemimpin pembangkang terutama Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk terus memperjuangkan usul melarang golongan pengamal seks bebas serta lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) menjadi ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Beliau tidak menyangka pemimpin parti pembangkang menyatakan secara tegas menyokong pendiriannya dan menolak sekeras-kerasnya pemimpin yang terlibat dalam masalah moral itu.

''Saya menerima banyak panggilan dan mesej khidmat pesanan ringkas (SMS) serta sokongan melalui laman sosial Facebook dan Twitter daripada pemimpin pembangkang selepas sahaja usul saya itu ditolak oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia pada 5 April lalu," katanya.

Menurut beliau, mereka melahirkan kebimbangan terhadap pemimpin yang terlibat dalam kelakuan LGBT dan tidak mahu terkongkong dengan individu terbabit.

''Mereka sedar orang yang terlibat dalam perkara ini tidak harus menjadi pemimpin dan mereka telah menyuarakan sokongan kepada saya untuk meneruskan perjuangan ini," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Zahrain berkata, berikutan sokongan yang diterima itu beliau akan berbincang dengan ahli-ahli Dewan Negara agar usul tersebut dapat dibentangkan dalam dewan berkenaan yang dijangka bersidang tidak lama lagi.

''Lepas ini, saya akan berbincang dengan ahli-ahli Dewan Negara untuk cuba membentangkan usul LGBT ini. Pada asasnya kita tidak setuju ada pemimpin yang mewakili rakyat terlibat dalam LGBT," ujar beliau.

Beliau juga akan terus memperjuangkan usul itu untuk dibentangkan dalam persidangan Dewan Rakyat akan datang dengan menggunakan peraturan mesyuarat yang bersesuaian.

''Saya berterima kasih terhadap sokongan yang diterima kerana sebelum ini saya fikir isu tersebut tidak mendapat perhatian rakyat kerana Ketua Pembangkang yang terlibat tidak ditegur atau dikenakan tindakan.

''Namun, hari ini saya sedar apa yang saya fikir itu silap, ramai orang yang tidak mahu pemimpin negara ini dan wakil mereka yang duduk dalam Parlimen terlibat dengan golongan berkenaan. Ini menunjukkan perkara tersebut adalah serius," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut merasa terkilan kerana pemimpin-pemimpin parti pembangkang berkenaan tidak berani mendedahkan secara terbuka pendirian mereka terhadap isu LGBT itu.

''Mereka bisik dengan saya mereka tidak berani secara terbuka, namun mereka beri saya dorongan dan sokongan untuk terus bawa perkara ini... mereka tidak mahu lihat keadaan yang terpesong terus berlaku,"

''Saya tidak mahu sebut siapa dan orang tertentu yang bercakap dengan saya. Mereka meminta saya teruskan perjuangan ini sampai dibentang dan dibahas dalam dewan," katanya.

Bagaimanapun, beliau mahu supaya pemimpin pembangkang yang terlibat tampil dan berani untuk berdepan menyatakan apa yang benar dan bertanggungjawab terhadap pendirian masing-masing.

''Kita tidak mahu wakil rakyat dalam pakatan pembangkang berselindung di bawah tuduhan fitnah, mengatakan semua yang dibawa dan kritikan terhadap mereka adalah fitnah sedangkan kalau kita tolak kebenaran, kita juga munafik," katanya. Lihat sini.











Penang Wasabi..

Tuesday, April 10, 2012

Gerai diroboh MBSA: Pusat beri RM30,000 untuk 6 ibu tunggal!


Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan memperuntukkan RM30,000 bagi menggantikan peralatan perniagaan milik enam orang ibu tunggal yang rosak selepas gerai mereka dirobohkan oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) minggu lalu.

Ketua Setiausahanya, Datuk Dr. Noorul Ainur Mohd. Nur berkata, bantuan peralatan itu diberikan agar kesemua ibu tunggal itu dapat kembali memulakan perniagaan.

Beliau berkata, ibu-ibu tunggal terlibat sememangnya telah dibantu oleh pihak kementerian melalui program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) yang mana kit atau peralatan untuk memulakan perniagaan telah diberikan kepada mereka.

"Oleh kerana peralatan-peralatan daripada 1Azam tersebut telah musnah, pihak kementerian akan menggantikannya dengan kos keseluruhan bernilai RM30,000.

"Selain bantuan peralatan, pihak Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) akan memberi bantuan sebanyak RM300 untuk sekali sahaja, kepada keenam-enam ibu tunggal terlibat," katanya kepada pemberita di pejabat JPW Selangor, di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah JPW, Muhammad Firdaus Azizan dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri, Nik Omar Nik Ab. Rahman.

Noorul Ainur menjelaskan, pihaknya juga akan meminta kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) agar memanjangkan tempoh pembayaran balik hutang bagi empat daripada enam ibu tunggal terlibat bagi meringankan beban mereka yang kerugian akibat gerai dirobohkan.

"Sebagai salah sebuah agensi di bawah kementerian, saya berharap AIM tidak menuntut pembayaran daripada kesemua ibu tunggal yang terlibat. Selama ini pun mereka merupakan pembayar yang setia, harap beri penangguhan," katanya.

Tambahnya, beliau juga akan mengarahkan Pengarah JPW negeri untuk berurusan dengan MBSA bagi memastikan ibu-ibu tunggal yang kehilangan gerai dapat berniaga semula di mana-mana tapak yang sesuai.

Sementara itu, wakil ibu tunggal, Horyatuani Abdullah, 50, melahirkan rasa gembira dan lega kerana kerajaan Barisan Nasional di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kini memangku jawatan Menteri di kementerian sentiasa prihatin dengan nasib rakyat yang memerlukan bantuan.

Penang Wasabi..