~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Saturday, May 29, 2010

GAS : Vell Paari mohon maaf!

Anggota Jawatankuasa Pusat MIC (CWC), S. Vell Paari hari ini memohon maaf atas dakwaan beliau bahawa UMNO mengupah 'pembunuhan politik' dan di belakang Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) untuk menyingkirkan Datuk Seri S. Samy Vellu sebagai presiden parti itu.

Vell Paari berkata, adalah jelas bahawa UMNO tidak terbabit dalam mana-mana cara dengan pergerakan GAS memandangkan perkembangan yang berlaku, baru-baru ini. "Dan ramai pemimpin UMNO telah menyatakan dengan jelas bahawa mereka tidak menggalakkan atau bekerja dengan V. Mugilan (bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC) dalam sebarang cara pun.

"Dengan itu, saya ingin memohon maaf kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan UMNO mengenai kenyataan awal saya," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Dalam kenyataan ringkas itu, Vell Paari menyifatkan kenyataan kontroversinya yang diutarakan kerana beliau merasakan adalah tugas beliau untuk membela ayahnya, Samy Vellu.

"Malahan, saya juga bertindak kerana Mugilan dan bekas anggota CWC, G. Kumar Aamaan telah mengulangi secara terbuka mengaitkan nama UMNO ke dalam kenyataan dan tindakan mereka baru-baru ini," kata beliau.

Vell Paari telah mendakwa bahawa UMNO menggunakan 'pembunuhan politik' untuk mengasingkan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam temu bual dengan laman web Free Malaysia Today pada Isnin lepas.

"Saya juga telah menjelaskan kedudukan saya kepada Perdana Menteri awal hari ini. "Maju ke hadapan, saya harap kita boleh melupakan ini semua dan bekerjasama seperti yang kita sering ada dalam keluarga Barisan Nasional," kata beliau.

Sementara itu : Murugesan tegur Samy

Setiausaha Agung MIC, S. Murugesan menyifatkan tindakan Datuk Seri S. Samy Vellu menggunakan kuasa sebagai Presiden dengan memecat sesiapa juga yang menentang beliau boleh menggoncang demokrasi parti itu.

Katanya, tindakan sedemikian adalah tidak wajar memandangkan kesemua mereka yang dipecat tidak diberi peluang untuk mempertahankan diri dan mengemukakan pandangan masing-masing.

“Saya menentang tindakan menggunakan kuasa Presiden untuk memecat anggota CWC (Jawatankuasa Kerja Pusat) yang meminta Samy Vellu bersara lebih awal kerana itu bukan fungsi sebenar Artikel 61.2 dalam Perlembagaan MIC. Kuasa Presiden sepatutnya menjadi pilihan terakhir.

“Jika dilihat kembali, Samy Vellu sendiri menjadi individu pertama secara terbuka menggesa bekas Presiden MIC, Tun VT Sambanthan meletakkan jawatan kira-kira 40 tahun lalu. “Situasi kini menunjukkan sejarah telah berulang atau anda boleh katakan ia adalah ‘karma’ untuk Samy Vellu,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Samy Vellu sebelum ini menggunakan kuasa Presiden untuk memecat bekas Timbalan Ketua Pemuda MIC, V. Mugilan dan beberapa anggota CWC parti tersebut yang menuntut beliau bersara sebelum Julai ini. Antara anggota CWC yang dipecat ialah G. Kumar Aaman, KP. Samy dan V. Subramaniam.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment