~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Friday, January 24, 2014

Khalid mula hadapi tekanan?


Tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menukar serta-merta dua pegawai kanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), kelmarin mula mencetuskan kontroversi baharu.

Ini berikutan beliau berhadapan dengan tekanan daripada dalam parti sendiri yang menentang keputusannya menukar Pengurus Besar PKNS, Othman Omar dan Setiausaha PKNS, Norita Mohd. Sidek ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri berikutan isu pengguguran Azmin Ali sebagai ahli lembaga pengarah anak syarikat milik kerajaan negeri Selangor tersebut.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang Ahli Parlimen Kuala Langat dari PKR, Abdullah Sani Abdul Hamid menegaskan, Othman dan Norita boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan Selangor kerana melakukan pertukaran yang dianggap tidak mengikut prosedur.

Abdullah Sani berkata, apa yang dilakukan oleh Abdul Khalid ke atas kedua-dua penjawat awam tersebut adalah tidak wajar memandangkan isu yang dibangkitkan masih lagi dalam peringkat siasatan.

“Berdasarkan prosedur, mana-mana pekerja yang didakwa melakukan kesalahan tertentu dalam sesebuah organisasi, mereka perlu diberi peluang untuk mempertahankan diri menerusi surat tunjuk sebab terlebih dahulu.

“Pengurusan organisasi kemudiannya menjalankan siasatan dalaman yang mana sebarang tindakan boleh dikenakan ke atas pekerja terbabit sekiranya didapati bersalah oleh jawatankuasa panel yang diwujudkan khas untuk menjalankan siasatan dalaman.

“Dalam kes yang melibatkan dua pengawai kanan PKNS itu, mereka dikenakan tindakan terlebih dahulu (ditukarkan SUK) sedangkan siasatan masih lagi berjalan. Saya anggap tindakan kerajaan negeri ini mengkhianati keadilan ke atas mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Terdahulu, Abdullah Sani dan beberapa ahli PKR Selangor termasuk ADUN Batu Caves, Amiruddin Shari berhimpun di depan pejabat PKNS di Seksyen 13 di sini bagi menyerahkan nota sokongan kepada penjawat awam di PKNS.

Nota sokongan itu antara lain menyebut PKR Selangor memandang serius isu pertukaran Othman dan Norita ekoran percanggahan antara kerajaan negeri dan PKNS serta bertegas supaya mereka tidak dihukum sebelum dibicarakan dan membela diri.

Nota tersebut diserahkan kepada Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim.

Kelmarin ketika mengumumkan pertukaran tersebut, Abdul Khalid berkata, satu surat kuasa telah diberikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi untuk melaksanakan tindakan pentadbiran terhadap Othman dan Norita.

Kemelut antara Abdul Khalid dan dua pegawai kanan PKNS tersebut tercetus berikutan isu pengguguran Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR sebagai ahli lembaga pengarah PKNS.

Abdul Khalid yang diasak dengan dakwaan tindakan tersebut bermotif politik menafikan kerajaan negeri mempunyai kaitan dalam isu pengguguran Azmin sebaliknya menyatakan keputusan itu dibuat oleh Othman.

Bagaimanapun kenyataan Abdul Khalid itu bercanggah dengan kenyataan dikeluarkan PKNS menerusi Norita yang memaklumkan penamatan Azmin dibuat selaras dengan keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada 13 November lalu yang disahkan pada 4 Disember.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment