~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Friday, July 5, 2013

'Doa naikkan imej Guan Eng'?


Seorang ahli Pas memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau bersetuju yang tindakannya menyebut nama Ketua Menteri, Lim Guan Eng dalam doa khutbah solat Jumaat di Masjid Jamek Padang Menora, Bukit Mertajam pada 25 Jun 2010 adalah berkaitan dengan imej Setiausaha Agung DAP itu.

Zakaria Ahmad yang merupakan khatib jemputan di masjid berkenaan berkata, doa untuk Guan Eng bertujuan menaikkan imej pemimpin tersebut.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Azmer Mohd. Saad yang mewakili Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Shabudin Yahaya dalam perbicaraan kes saman fitnah yang dikemukakannya terhadap wakil rakyat berkenaan.

Zakaria menyaman Shabudin pada November 2010 berhubung artikel Doa dibacakan dalam Bahasa Melayu - Shabudin bertarikh 22 Ogos tahun sama yang disiarkan Utusan Malaysia kerana mendakwa artikel tersebut menjatuhkan reputasinya.


Selain Shabudin, Zakaria selaku plaintif turut menamakan Utusan Melayu (M) Bhd.; wartawan Utusan Malaysia, Azeli Ali dan Pengarang Mingguan Malaysia, Mohd. Zin Mahmud sebagai pihak defendan.

Tuntutan tersebut turut dibicarakan bersama saman plaintif terhadap New Straits Times Press (M) Bhd. (NSTP) beserta dua yang lain iaitu Ketua Pengarangnya ketika itu, Datuk Mior Kamarul Shahid dan wartawan, Amin Ridzuan Ishak berhubung artikel Khatib terus doakan Guan Eng yang disiarkan akhbar Berita Harian pada 22 Ogos 2010.

Dalam prosiding hari ini, Zakaria yang juga adik kepada Mufti negeri, Datuk Seri Hassan Ahmad turut bersetuju ketika disoal oleh Azmer bahawa semasa zaman pentadbiran Barisan Nasional (BN) di bawah Ketua Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, beliau tidak pernah mendoakan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu.

"Saya setuju tidak pernah mendoakan Tsu Koon supaya diberikan hidayah oleh Allah untuk memeluk Islam dan saya juga setuju bahawa dalam artikel yang disiarkan tidak langsung menyebut plaintif melanggari rukun khutbah," katanya.


Zakaria yang diwakili peguam, Azhar Ahmad turut memberitahu, tiada sebarang kebenaran yang diperoleh daripada Pegawai Agama Daerah atau Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang untuknya membaca khutbah di masjid berkenaan.

"Saya tidak mengisi apa-apa borang permohonan bagi menyampaikan khutbah Jumaat dan saya juga telah mula mendoakan Guan Eng semasa khutbah Jumaat sejak kira-kira dua tahun sebelum peristiwa di Masjid Jamek Padang Menora pada 2010," ujarnya.

Dalam kes berkenaan Utusan Melayu diwakili peguam, TKB Mohana Kumar manakala NSTP diwakili peguam, Rueben Mathiavaranam.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Zamani A. Rahim bersambung esok.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment