~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Friday, July 19, 2013

Bangkai Babi Dibuang Di Perkuburan Islam?


Perth – Polis Australia semalam berkata, mereka sedang menyiasat insiden kepala dan usus babi dibuang ke sebuah kawasan tanah perkuburan Islam di negara itu.

Bangkai haiwan itu ditemui sebuah keluarga yang melawat tanah perkuburan seorang saudara mara yang meninggal dunia baru-baru ini di Rockingham Regional Memorial Park di Baldivis, selatan ibu kota Barat Australia di sini, Isnin lalu.

“Ia sengaja diletakkan di kawasan itu demi mencetuskan kebencian. Ia satu penghinaan kepada kami,” kata seorang daripada pengunjung, dikenali sebagai Mira kepada stesen radio 6PR.

Insiden serius

Bangkai itu ditemui di bawah papan tanda tanah perkuburan Islam itu dan segera dibuang.

“Kami memandang insiden terpencil ini secara serius dan detektif Rockingham akan menjalankan siasatan terperinci terhadap insiden terbabit,” kata seorang jurucakap polis Barat Australia kepada AFP semalam.

Pihak pengurusan tanah perkuburan berkata, kejadian itu adalah yang pertama berlaku ke atas kawasan itu. Insiden itu berlaku ketika umat Islam berpuasa sempena Ramadan.

Pengerusi Persatuan Sukan dan Sosial Islam Perth Iqbal Samnakay, berkata pencemaran ke atas mana-mana kawasan tanah perkuburan tidak kira milik umat Islam atau tidak, adalah satu penghinaan.

“Kami mahu tanah perkuburan dijaga dengan baik dan tidak dicemari,” katanya kepada laman web WA Today.

Maafkan pelaku

“Sebagai penganut Islam, kami dilarang sama sekali memakan daging babi, namun itu tidak bermakna kami membenci haiwan itu,” tambahnya.

Samnakay berkata, sesiapa saja yang meninggalkan bangkai haiwan terbabit di kawasan tanah perkuburan Islam itu dimaafkan, oleh kerana ini adalah ‘bulan kemaafan’ ketika Ramadan. – AFP

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment