~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Monday, September 26, 2011

Nik Aziz - Apa hubungan DAP dengan Islam?

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mempersoalkan apa hubungan DAP dengan Islam sehingga pemimpin parti tersebut sanggup bertindak ‘mengugut’ akan meletakkan jawatan beramai-ramai jika Pas meneruskan hasrat melaksanakan hukum hudud.

Menurut Nik Abdul Aziz (gambar), tindakan pemimpin DAP itu amat menghairankan kerana hukum hudud yang hendak dilaksanakan oleh Pas adalah untuk orang Islam dan melibatkan mahkamah syariah yang hanya mengendalikan kes-kes membabitkan orang Islam.

Beliau juga secara sinis mengulangi kenyataannya sebelum ini bahawa, mana-mana pihak termasuk DAP yang menentang hasrat Pas itu ibarat “orang takut melihat hantu.”

“Nak keluar kerana apa? Hudud untuk orang Islam, apa hubungan dia dengan Islam? Macam saya kata kelmarinlah, orang takut hudud macam takut hantulah. Tanya dia hantu benda apa, dia tak tahu tapi orang dah takut dia takut sama. Budak kecil takut hantu tapi tanya dia apa hantu, dia tak tahu tapi mengaku takut,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng semalam yang menegaskan, pemimpin-pemimpin kanan parti itu akan meletakkan jawatan beramai-ramai sekiranya terdapat usaha meletakkan matlamat atau melaksanakan hukum hudud di negara ini.

Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, mengulangi kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh sebelum ini bahawa parti itu tidak akan menerima hudud atau idea membentuk sebuah negara Islam sekiranya mereka memperoleh kuasa ke Putrajaya.

Ditanya kemungkinan Pas akan kehilangan sokongan pengundi bukan Islam sekiranya melaksanakan hudud, Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am Pas sebaliknya mempersoalkan kenapa masyarakat bukan Islam tidak menyokong parti tersebut.

“Tak sokong kerana apa, kerana hudud? Ini bukan untuk dia, untuk orang Islam,” katanya sinis.

Nik Abdul Aziz semalam memberitahu, kerajaan Pas Kelantan kini dalam usaha memasukkan enakmen hudud dalam senarai hukum di mahkamah syariahnya walaupun pelaksanaan hukum Islam itu ditentang keras oleh DAP.

Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan hakim-hakim menggunakan akta tersebut dalam perbicaraan sesuatu kes sekiranya wujud prima facie.

Ditanya sama ada kerajaan negeri perlu meminta kebenaran daripada Kerajaan Pusat sekiranya hendak melaksanakan hukum tersebut, Nik Abdul Aziz berkata, ia tetap perlu meminta kebenaran walaupun bidang kuasa membabitkan mahkamah syariah terletak di bawah sultan.

“Tentu kena mintalah, jadi dia dah buat kenyataan semalam tak beri, Mahathir (Tun Dr. Mahathir Mohamad) dan Najib (Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak) serupa sahaja sama-sama tak beri belaka. Jadi kesimpulannya, hudud tak boleh buat bukan kerana apa, kerana UMNO tak bagi.”

Tetapi adakah Pok Nik sedar bahawa tidak semestinya hudud itu perlu dilaksanakan sekaligus atau secara terus. Perlu ada perancangan dan perencanaan yang teliti dan rapi dibuat sebelum kita mahu melaksanakannya secara total di negara kita. Tidak boleh kalau kita perintah hari ni, terus laksana hudud sedangkan masih ramai lagi yang jahil dan belum memahami sepenuhnya mengenai hukum Allah yang maha adil ini.

Pelaksanaannya bukan boleh main-main atau untuk dijadikan modal politik. Ia berkaitan dengan pandangan masyarakat terhadap Islam itu sendiri. Jika pelaksanaannya gagal, maka tidak dapat tidak akan timbul salah faham di kalangan masyarakat bukan Islam dan Islam sendiri. Mereka mungkin beranggapan bahawa undang-undang Islam itu tidak adil dan kacau. Padahal hukum Islam itu memang perfect tetapi disebabkan implementasinya lemah dan tidak bijaksana maka ia akan mencacatkan matlamat perundangannya.

Pelaksanaan hudud bukan soal kewajipan seperti solat dan puasa. Ia berkenaan istitho‘ah, kemampuan pemerintah melaksanakannya mengikut kesesuaian zaman dan tempat, sama seperti kewajipan ibadat haji. Suasana persekitaran yang tidak sesuai tidak memungkinkan pelaksanaan sesuatu undang-undang hudud.

Dan Pok Nik jangan lupa dalam tempoh yang singkat, secara tiba-tiba pada 24 dan 25hb November 1993, maka bergemalah suara-suara yang lantang dan bersemangat di Dewan Undangan Negeri Kelantan, menandakan lahirnya hukum Hudud untuk dilaksanakan di negeri itu. Oleh kerana hudud itu sudah dan diluluskan berdasarkan kepentingan politik dan bukan berdasarkan kebenaran serta perancangan yang rapi dan menyeluruh, maka banyaklah kelemahan dan kelonggaran yang tidak mencerminkan Hudud Islam tetapi lebih mencerminkan Hudud PAS.

Antara kelemahan-kelemahan dan kelonggaran yang terdapat dalam Hudud PAS itu menurut mantan Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad, di mana hukum tersebut tidak dibuat melalui proses mengikut kehendak dan amalan dalam Islam, iaitu berdasarkan akidah feqah yang syaamil.

Kajiannya amat terhad tidak boleh ditafsirkan sebagai selari dengan kaedah feqah untuk mencapai muslihat ummah. Undang-undang itu juga hanya dikenakan kepada orang-orang Islam sahaja, sementara orang bukan Islam dikenakan mengikut Undang-undang Jenayah Biasa, perbezaan antara kedua-duanya amat ketara, tidak mencerminkan keadilan dalam apa jua sistem nilai dan agama. Justeru itu maka Hukum Hudud yang ditaja oleh PAS itu terpaksa ditolak dan dikaji semula.

Walaupun hukum itu ditolak, tetapi bagi pemimpin dan ahli-ahli PAS bukanlah merupakan masalah pokok yang perlu dikesali, yang penting mereka dapat melepaskan diri daripada ikatan janjinya terhadap rakyat Kelantan, kalau tidak janji itu akan mengancam kedudukan mereka dalam pilihanraya yang akan datang, sekarang mereka telah terselamat dari ancaman itu bahkan mereka juga telah mendapat modal baru untuk memancing undi dan modal itu sekarang telahpun kedengaran di sana-sini terkeluar dari lidah-lidah PAS yang panas dan membakar, kononnya UMNO menentang Hukum Hudud, UMNO membuat tipu helah untuk melaksanakan hukum hudud, UMNO menggunakan ulamak ala Amerika untuk menolak Hukum Hudud dan bermacam-macam tuduhan lagi dibuat.

Walau apa pun diperkatakan, UMNO tetap berpegang kepada aqidah dan kepercayaan bahawa Hukum Hudud itu adalah Hukum Allah yang jelas termaktub dalam Al-Quran dan Sunnah, ianya tidak boleh ditolak dan diingkari kebenaran dan kesempurnaannya, sesiapa yang menolak dan mengingkarinya boleh membawa kepada kekufuran dan kepada sesiapa yang menuduh orang lain menolak dan mengingkari Hukum Hudud itu seperti juga ia menuduh orang lain kafir, sekiranya tuduhan itu tidak benar maka tuduhan itu kembali kepada orang yang menuduh itu sendiri.

Ini berdasarkan Hadis Sahih yang diriwayatkan oleh Abu Zar dalam Kitab Sahih Imam Bukhari dan Sahih Imam Muslim yang bermaksud;

"Barangsiapa yang menuduh fasik dan kafir, terhadap seseorang yang lain, maka ia sendiri akan menjadi fasik atau kafir, jika tuduhan itu tidak benar".

Tidak melaksanakan Hukum Hudud itu bukanlah beerti menolak atau tidak mempercayai hukum tersebut, kerana soal perlaksanaan adalah berbeza dengan soal kewajipan mempercayainya. Mempercayainya tidak ada syarat, tetapi melaksanakan hukum itu perlu kepada banyak syarat.

UMNO tetap berpegang kepada prinsip perjuangannya dalam menegak dan mengembangkan Islam sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaannya. Dan undang-undang Hudud itu sebahagian kecil dari undang-undang Jenayah Islam yang sangat luas. Seperti apa yang telah dikatakan oleh Ustaz Abdul Hadi, “ Hukum Hudud itu adalah satu aspek daripada 0.0001 daripada hukum Islam”.

UMNO juga tidak akan mencemarkan Hukum Hudud yang lebih sempurna dan agung itu di mata orang-orang bukan Islam lantaran kepentingan politik, sedangkan kekuatan dan kemampuan untuk melaksanakannya belum lagi mengizinkan. Wallahuallam.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment