~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Monday, September 5, 2011

BN janji selesai masalah air!

Barisan Nasional (BN) Kelantan berjanji akan menyelesaikan masalah bekalan air di seluruh negeri ini dalam tempoh lima tahun sekiranya menang pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, malah janji tersebut telah dimasukkan ke dalam manifesto BN negeri ini kerana pihaknya mahu membantu rakyat keluar daripada belenggu masalah yang terpaksa mereka tempuhi lebih 20 tahun.

Beliau berkata, Kerajaan Pas Kelantan tidak serius untuk menyelesaikan masalah air di negeri ini biarpun telah diberi peluang oleh rakyat berkali-kali dan turut mendapat peruntukan daripada Kerajaan Pusat sebelum ini.

“Salah satu perkara dalam manifesto pilihan raya umum akan datang ialah kita berjanji akan menyelesaikan masalah bekalan air di seluruh negeri ini dalam tempoh sepenggal,” katanya kepada pemberita selepas Jamuan Hari Raya UMNO Kelantan dan Penyampaian Watikah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) di Bangunan UMNO Negeri di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin dan semua pemimpin parti komponen BN.

Perkhidmatan bekalan air bersih menjadi masalah utama di negeri ini sejak Pas mengambil alih pemerintahan Kelantan pada 1990. Gangguan bekalan air sering berlaku dan ia akan memuncak setiap kali menjelang musim perayaan.

Oleh kerana itu, rata-rata penduduk di negeri ini menggunakan telaga tiub kerana tidak mahu bergantung kepada Kerajaan Pas Kelantan yang tidak boleh diharap untuk menguruskan sistem bekalan air.

Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, antara perkara lain yang akan dimasukkan dalam manifesto BN Kelantan ialah menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di seluruh negeri ini dan Ladang Rakyat.

“Kita akan berjuang untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas, ini perjuangan UMNO sejak dahulu lagi.

“Sebagai contoh, atas desakan kita, Kerajaan Pusat telah meluluskan pembinaan jalan Kuala Krai-Kota Bharu pada 2006 di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) malah tender telah diberikan kepada sebuah syarikat untuk melaksanakannya dengan peruntukan kira-kira RM500 juta ketika itu.

“Saya tahu kerana pada ketika itu saya Menteri di Jabatan Perdana Menteri bagaimanapun kontraktor itu menghadapi masalah, maka projek tersebut tidak dapat diteruskan. Ketika itu perjuangan kita sudah hampir berjaya dan kini ia diteruskan demi membela nasib rakyat,” katanya.

Katanya, dalam isu Ladang Rakyat, BN masih menuntut penjelasan daripada Kerajaan Pas Kelantan mengenai sistem yang dilaksanakan dalam program tersebut.

“Kita nak tahu rakyat mana yang mendapat untung dalam program ini, adakah rakyat yang mendapat wang RM200 sebulan atau wakil rakyat Pas yang makin buncit dengan wang hasil Ladang Rakyat,” katanya.

Tambahnya, BN juga mencabar Pas mengarahkan semua wakil rakyatnya mengisytiharkan harta dan status perkahwinan masing-masing kerana rakyat mahu tahu selepas melihat gaya hidup mereka yang kian berubah.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment