~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Wednesday, February 16, 2011

'Roboh gerai ada agenda tersembunyi'!

SEBAHAGIAN daripada anggota Perkasa Pulau Pinang mengadakan demonstrasi membantah tindakan kerajaan negeri merobohkan premis perniagaan Melayu di Bukit Mertajam, semalam.

Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mendakwa wujud agenda tersembunyi di sebalik tindakan agresif agensi penguat kuasa kerajaan DAP Pulau Pinang meroboh gerai milik orang Melayu sejak kebelakangan ini.

Yang Dipertua Perkasa negeri, Datuk Mohd. Yussoff Hamid berkata, sikap berat sebelah kerajaan negeri dalam menguat kuasa peraturan gerai-gerai haram menimbulkan pelbagai tanda tanya berhubung motif sebenar tindakan itu dilakukan secara membabi buta.

''Kalau kita tengok, anggota penguat kuasa yang rata-ratanya orang Melayu diarahkan meroboh gerai orang Melayu dan akhirnya mereka bergaduh dan bertelagah sesama sendiri.

''Di sebalik tindakan meroboh gerai peniaga kecil Melayu, gerai-gerai kaum lain pula dibiarkan terus beroperasi tanpa gangguan. Kita tidak mahu bersikap rasis, tapi kita minta supaya penguatkuasaan dilakukan secara adil dan saksama tanpa mengira kaum," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan kira-kira 50 peniaga yang terjejas teruk akibat operasi meroboh gerai oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), di sini hari ini.

MPSP memulakan operasi besar-besaran untuk merobohkan kira-kira 1,000 gerai haram di sekitar taman itu pada 7 Februari lalu kerana mendakwa peniaga terbabit membuat penyambungan haram selain menyewakan premis kepada warga asing.

Bagaimanapun, MPSP menangguhkan seketika operasi itu ekoran mendapat bantahan hebat daripada peniaga yang mendakwa operasi itu dijalankan secara tidak adil.

Mohd. Yussoff menegaskan, sebagai kerajaan negeri yang sering melaung-laungkan prinsip keadilan, ia tidak sepatutnya hanya bersikap adil kepada satu pihak tetapi zalim kepada pihak yang lain.

Beliau menarik perhatian, gerai-gerai di sekitar Taman Chai Leng, Jalan Raja Uda, Bukit Mertajam dan banyak tempat di sekitar pulau yang melanggar peraturan tetapi tidak diambil tindakan.

''Kalau hendak roboh, biar roboh semua. Jangan hanya mahu bersikap adil kepada satu pihak tetapi zalim kepada pihak yang lain kerana itu akan membangkitkan kemarahan pihak terbabit," katanya.

Menurut beliau, Perkasa negeri bersedia 'membantu' menjalankan pemantauan gerai-gerai haram di sekitar Pulau Pinang dan mencabar kerajaan negeri supaya bertindak merobohkan kawasan terbabit.

Sementara itu, beliau mendesak, MPSP supaya menghentikan terus operasi berkenaan sehingga kerajaan negeri mencari jalan mencari tapak perniagaan baru kepada peniaga.

''Kerajaan negeri sepatutnya faham, mereka (peniaga) mencari sumber rezeki dengan berniaga. Kalau harta benda mereka dirampas dan tapak gerai pula diroboh, bagaimana mereka mahu mencari rezeki?" katanya.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment