~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, February 27, 2011

Melayu P. Pinang tewas dengan maklumat, teknologi?

Satu lagi episod membabitkan sejarah dan imej penduduk Melayu di Pulau Pinang telah bermula. Kali ini, paparan di Balik Pulau yang sebelum ini dilihat sebagai ruang geografi budaya Melayu yang belum dicemari. Bagaimana Melayu Pulau Pinang dipaparkan dalam risalah, media massa dan penerbitan buku, bukanlah satu perkara baru.

Apakah Melayu Pulau Pinang tewas dengan maklumat? Apakah Melayu Pulau Pinang tidak boleh bersaing dalam usaha paparan sejarah, warisan dan identiti sendiri? Apa yang kita perhatikan dalam isu penerbitan risalah My Balik Pulau menimbulkan satu lagi episod yang nampaknya tidak pernah selesai.

Namun, apakah dengan membakar, mengharam, membetulkan maklumat, atau membuat laporan polis berkaitan My Balik Pulau akan menyelesaikan masalah? Mengapa mesti Melayu Pulau Pinang sentiasa bertindak reaktif, dan bukan proaktif dalam konteks paparan sejarah serta kehidupan di tempat sendiri.

Paparan sejarah Pulau Pinang berkait dengan politik identiti warisan yang telah bertapak bertahun-tahun lamanya di negeri itu. Umumnya, badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya inklusif dalam pendekatan mereka prihatin tentang hal-hal yang berkaitan dengan warisan dan sejarah setempat. Ini termasuklah Persatuan Pendidikan Seni Pulau Pinang (Arts-Ed) yang ditubuhkan pada 1999, penerbit My Balik Pulau.

Melayari laman sawang Arts-ed, kita dapati antara aktiviti mereka ialah Seni dalam Pendidikan Warisan, Artis di Sekolah dan Pemetaan Budaya. Terdapat juga ikon warisan Pulau Pinang. Mereka juga menjalankan penyelidikan dan dokumentasi.

Jika kita tinjau persatuan-persatuan seumpama itu yang bergiat atas landasan masyarakat sivil, yang mementingkan warisan dan identiti, kita dapati gerakan mereka dijalankan melalui pelbagai mekanisme. Ia termasuk penganjuran acara, penyelidikan, dokumentasi, penerbitan, aktiviti seranta, pengedaran risalah, majalah, buku, dan pendidikan. Ini dijalankan dalam satu jaringan yang luas merentasi sempadan politik dan geografi.

Kita perhatikan semua aktiviti dan program yang dianjurkan itu agak sepi dari konteks Melayu. Elemen dan sentimen identiti Melayu tidak wujud, dan jika adapun tidak sempurna dan bersungguh-sungguh. Melayu di Pulau Pinang dengan sewenang-wenangnnya dianggap sebagai kaum kacukan (jika kita menggunakan bahasa kasar). Apa yang menonjol adalah paparan budaya dan identiti Cina, serta lontaran elemen di bawah nama pluralisme dan kosmopolitanisme budaya serta identiti. Ini dijalin dengan pengaruh kolonialisme dan Eropah.

Di mana penglibatan badan-badan berkepentingan warisan dan sejarah Melayu Pulau Pinang dalam acara-acara warisan negeri? Di mana suara Persatuan Sejarah Malaysia (Cawangan Pulau Pinang) jika wujud (atau masih aktif) atau mana-mana badan bukan kerajaan Melayu yang prihatin akan sejarah dan warisan Melayu Pulau Pinang?

Memang wujud Persatuan Melayu Pulau Pinang. Sebuah muzium Sejarah Melayu di Hutton Lane bukanlah jawapannya. Saya tidak nampak muzium itu menjadi sebahagian daripada rangkaian dan jaringan warisan negeri. Malah, mengapa Melayu Pulau Pinang perlu di 'muzium' kan? Apakah identiti dan warisan Melayu di pulau itu akan pupus tidak lama lagi?

Di kalangan kumpulan-kumpulan bukan Melayu yang terlibat dan berpengaruh dalam warisan dan sejarah Pulau Pinang ialah Nanyang Folk Culture Society, sebuah persatuan berasaskan Bahasa Mandarin yang menumpu kepada warisan dan kesenian. Persatuan ini berpengaruh dan mempunyai sekumpulan sukarelawan. Ahlinya ialah profesional muda yang dilatih di Taiwan. Mereka aktif menganjurkan aktiviti yang menonjol dan memaparkan kesedaran warisan budaya Cina dan persekitarannya.

Badan utama yang menerajui dan dirujuk oleh pihak berkuasa negeri ialah Persatuan Warisan Pulau Pinang (Penang Heritage Trust - PHT) yang ditubuhkan pada 1986. Seperti yang tercatat dalam dokumen perlembagaannya, PHT bertujuan menggalakkan pemuliharaan untuk kebaikan dan pendidikan rakyat Pulau Pinang melalui bangunan, pokok, buku, manuskrip, lukisan, skrol, dokumen, antik, lukisan, penerbitan semula atau objek-objek artistik atas sebab nilai sejarah, ciri-ciri seni bina, nilai estetika yang dianggap oleh majlis persatuan sebagai sebahagian daripada warisan Pulau Pinang.

Sejurus selepas penubuhan PHT, Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) Northern Chapter, Jabatan Perancangan MPPP dan sekumpulan diskusi profesional, yang digalakkan oleh penubuhan PHT itu menganjurkan Persidangan Antarabangsa Pemuliharaan dan Perancangan Bandar pada Jun 1986. Ia bertujuan membentuk kesedaran awam tentang konservasi dan membuka ruang wahana kepada warisan dan pemuliharaan.

Satu lagi contoh usaha pemuliharaan ialah penganjuran Seminar Pemuliharaan Bandar dan Penyertaan Awam Pulau Pinang pada 1991. Ia melibatkan Kajian Kes Kawasan Lebuh Acheh, Lebuh Armenian untuk pembangunan serantau bersama dengan MPPP. Ini kemudian menjurus kepada Projek Pembangunan Warisan Lebuh Acheh, Lebuh Armenian.

Kemudian, tahun 1998 menyaksikan penganjuran Simposium Antarabangsa tentang Kehidupan dengan Warisan. Ia membincangkan proses pembaharuan bandar. Penubuhan Pusat Warisan Pulau Pinang pada 1996 juga merupakan satu usaha ke arah memulihara warisan di pulau mutiara itu. Pada awal penubuhannya, ia bertindak sebagai pusat latihan untuk kemahiran tradisional serta penganjuran program-program kesedaran bagi menggalakkan apresiasi ciri-ciri sejarah Georgetown.

Usaha dan inisiatif kesedaran dan pemuliharaan warisan di Pulau Pinang boleh dilihat sebagai sebahagian daripada menangani proses urbanisasi yang berlaku di bandar-bandar dunia bukan Barat, serta semangat penonjolan identiti dalam konteks multikulturalisme. Salah satu isu penting dalam hal ini ialah memulihara warisan dalam paradigma pembangunan. Bermula dari tahun-tahun menjelang 1990-an, jalinan makin terserlah antara pihak berkuasa dan NGO.

Bermula tahun 2000, PHT mengadakan lawatan dan acara pelancongan tempat-tempat bersejarah di kawasan-kawasan tertentu di Georgetown. Audiens dan pengguna PHT lebih cenderung kepada masyarakat antarabangsa, ahli akademik, profesional, dan masyarakat kelas menengah yang bertutur dalam bahasa Inggeris.

Masyarakat Melayu jangan mengharapkan PHT akan mempertahankan hak identiti dan warisan Melayu walaupun beberapa usaha dalam bentuk cadangan, perancangan, perbincangan dan dialog diadakan pada 2008 bagi memulihara Kampung Tanjong Tokong sebagai Kampung Warisan.

Kemudian pada 2002, Persidangan Antarabangsa Penang Story dianjurkan. Ia berjaya melakar beberapa perspektif baru tentang sejarah dan warisan Pulau Pinang, serta penilaian semula peranan sejarah pulau itu sebagai pusat serantau. Pelbagai aktiviti diadakan antara Ogos 2001 hingga Februari 2002. Ia termasuk Bengkel Sejarah Lisan, Pengkisahan Melayu Pulau Pinang, kolokium orang-orang India, masyarakat Cina dan kaum minoriti lain di Pulau Pinang.

Penulis ialah anak kelahiran Pulau Pinang yang kini bermastautin di Bandar Seri Iskandar, Perak

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment