~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Tuesday, December 14, 2010

Pas, DAP digesa nyatakan pendirian rasmi masing-masing!






















Pas perlu menyatakan pendirian rasmi parti itu berhubung pendedahan laman web WikiLeaks mengenai penglibatan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes liwat.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, parti yang lantang melaungkan cita-cita mendirikan negara Islam itu perlu bersifat telus dan objektif terhadap Anwar.

“Benda ini (keterlibatan Anwar dalam liwat) ternyata berlaku, apakah Pas boleh sokong seseorang yang buat kerja-kerja ini.

“Kita tunggu bagaimana Pas nak tangani perkara ini, jika Pas boleh terima bermakna Pas boleh terima kerja macam ni. Anwar kaki pembohong, jika terperangkap dia akan tuduh orang,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Zahrain mengulas pendedahan WikiLeaks mengenai penglibatan Anwar dalam aktiviti seks sejenis yang mana kesnya sedang dibicarakan di mahkamah.

Pendedahan itu dibuat WikiLeaks berdasarkan maklumat daripada kabel Jabatan Negara Amerika Syarikat bertarikh November 2008, iaitu kira-kira lima bulan selepas dakwaan Anwar meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan terbongkar.

Maklumat risikan itu diperkukuhkan lagi apabila WikiLeaks turut mendedahkan bahawa Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, sendiri pernah memberitahu agensi Risikan Kebangsaan Australia (ONA) sewaktu mereka bertukar-tukar pandangan bahawa Anwar memang terlibat dalam aktiviti liwat.

Anwar bagaimanapun menafikan pendedahan itu dengan mendakwa sumber perisikan Singapura yang dipetik WikiLeaks tersebut merupakan maklumat daripada Unit Cawangan Khas (SB) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong pula menggesa Penasihat DAP, Lim Kit Siang supaya tampil menyatakan pendiriannya terhadap Anwar.

Katanya, ini kerana Kit Siang sering memandang tinggi setiap kenyataan yang dikeluarkan oleh Kuan Yew kerana Kit Siang dan Kuan Yew berkongsi ideologi yang sama.

Selain itu katanya, DAP sering merujuk setiap kenyataan atau pendirian Singapura dalam pelbagai hal seolah-olah negara jiran itu merupakan yang terbaik dalam benua Asia Tenggara.

“Ini menunjukkan kalau sebuah kerajaan seperti Singapura dan tokoh politik seperti Kuan Yew mengesahkan perkara itu, jadi sudah jelas fakta itu benar.

“Kuan Yew juga merupakan seorang tokoh PAP yang dihormati DAP dan Kit Siang sering mendewa-dewakannya (Kuan Yew) jadi Anwar tidak layak memegang jawatan Ketua Pembangkang kerana terlibat dengan banyak masalah peribadi,” tegasnya.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin pula menyifatkan pendedahan WikiLeaks itu sebagai satu perkara berat buat Anwar kerana ia berdasarkan maklumat risikan luar.

Justeru, sekiranya laporan itu benar, katanya, Anwar tidak layak untuk menjadi pemimpin negara kerana maklumat tersebut boleh digunakan oleh ajen asing untuk melemahkan kepimpinan Malaysia.

“Ia bukan soal moral semata-mata tetapi kedudukannya Anwar sebagai pemimpin pembangkang. Rakyat tidak boleh terima pemimpin yang maklumat kesilapannya berada dalam maklumat kerajaan asing,” tegasnya.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment