~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Monday, December 20, 2010

Kampung Teluk Kumbar tidak jadi roboh esok!

Pemaju Kampung Teluk Kumbar, KL Metro Land Development Sdn. Bhd. (KL Metro) menafikan khabar angin bahawa kerja-kerja merobohkan rumah-rumah di kampung tersebut akan dijalankan esok.

Pengarah Projek KL Metro, Wong Fok Ten berkata, pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mahupun tarikh tertentu kepada penduduk untuk melaksanakan kerja-kerja berkenaan.

Jelas beliau, tindakan untuk merobohkan rumah-rumah di kampung yang berusia lebih 100 tahun itu hanya akan dilaksanakan selepas keputusan mengenainya dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi pada tempoh terdekat.

''Selagi tiada keputusan dan arahan dikeluarkan daripada pihak mahkamah, selagi itulah kami tidak akan bertindak.

''Yang menjadi persoalannya, siapa yang pandai-pandai memaklumkan kepada penduduk di situ mengenai operasi meroboh yang akan dijalankan esok sedangkan kami tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan," katanya di sini hari ini.

Hari ini, timbul keluh kesah di kalangan penduduk yang mendengar khabar angin rumah mereka akan dirobohkan esok.

Dakwa mereka, perkara itu diketahui dua minggu lalu daripada salah seorang anggota pihak berkuasa tempatan (PBT) selepas pemaju membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Fok Ten enggan mengulas mengenai pampasan seunit rumah ganti yang diminta penduduk dan meminta mereka merujuk perkara tersebut terus kepada Ahli Parlimen Balik Pulau, Yusmadi Yusoff.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Teluk Kumbar, Mahathir Abd. Rahman, 36, memberitahu, pihaknya tetap akan membuat persiapan rapi walaupun pihak pemaju menafikan akan merobohkan rumah-rumah tersebut.

Ini kerana, katanya, pemaju hanya mahu menyembunyikan perkara sebenar sedangkan sebelum ini mereka mengeluarkan kenyataan yang sama tetapi kerja merobohkan rumah tetap diteruskan.

''Sehingga hari ini, pemaju masih tidak mengendah permintaan penduduk kampung berhubung permohonan pampasan seunit rumah ganti.

''Mereka tetap dengan keputusan memberi wang ganti rugi sebanyak RM30,000 ke bawah kepada setiap penduduk," katanya.

Pada 29 November lalu, lebih 60 penduduk kampung berkenaan berhimpun di pekarangan rumah masing-masing bagi membantah tindakan pemaju meroboh kediaman mereka bagi memberi laluan kepada projek pembinaan hotel.

Tindakan yang sama turut dibuat sebelum itu iaitu pada 12 November lalu, apabila kesemua penduduk telah mengadakan demonstrasi secara aman bagi membantah keputusan pemaju setelah Mahkamah Tinggi mengeluarkan notis pengosongan kediaman tersebut berkuat kuasa 1 November.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment