~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Friday, April 2, 2010

'Kit Siang berniat jahat'



















Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Penasihat DAP, Lim Kit Siang berniat jahat apabila mencabarnya meletakkan jawatan selaku Timbalan Perdana Menteri sekiranya gagal membuktikan bahawa beliau berpendirian 'Malaysia pertama dan Melayu kedua'.

Sambil menyelar tindakan tersebut, Timbalan Perdana Menteri mencabar Kit Siang supaya terlebih dahulu membuktikan bahawa konsep Middle Malaysian yang diperjuangkan oleh DAP diterima dan disokong oleh rakannya dalam pakatan pembangkang iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas.

"Kit Siang ada niat jahat. Dia hendak menyaksikan keadaan pecah-belah dan porak-peranda kerana pembangkang cukup takut dengan pengaruh gagasan 1Malaysia," katanya pada sidang media selepas mengadakan mesyuarat dengan Kesatuan Kebangsaan Profesion Perguruan (NUTP), di bangunan Parlimen di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri diminta mengulas mengenai desakan Kit Siang yang memintanya meletakkan jawatan jika gagal mengesahkan pendirian beliau bahawa 'Malaysia pertama dan Melayu kedua' atas atasan ketulenan 1Malaysia di hati Muhyiddin boleh dipersoalkan.

Kit Siang semasa membuat tuntutan itu di lobi Parlimen hari ini berkata, desakan tersebut selaras dengan tuntutan gagasan 1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Muhyiddin, beliau tidak akan terpengaruh dengan mainan politik tokoh veteran pembangkang itu walaupun Kit Siang beribu-ribu kali mempersoalkan tentang komitmennya terhadap gagasan 1Malaysia.

"Saya tetap Melayu dahulu, tapi ini tak bermaksud kita rasis dan mempertikaikan semua hak kaum lain. Takkan ia sesuatu yang salah apabila saya sebagai pemimpin Melayu berkata nak tolong masyarakat Melayu. Itu pun tak boleh?

"Ini bukan bermakna kita nak tolong Melayu sahaja dan abaikan masyarakat Cina dan India. Perjuangan Barisan Nasional (BN) untuk kepentingan semua kaum kerana itulah intipati gagasan 1Malaysia," katanya.

Mengulas lanjut, Timbalan Perdana Menteri berkata, Kit Siang sebenarnya ketandusan isu kerana hasratnya sebelum ini untuk merosakkan hubungan beliau dengan Najib tidak berjaya.

Tambah beliau, melalui 1Malaysia, tiada salah untuk setiap pemimpin kerajaan mempertahan serta memperjuangkan hak kaum masing-masing kerana gagasan itu dicipta berlandaskan perlembagaan negara.

Ditanya mengenai kenyataan Kit Siang yang mendabik dada mendakwa kononnya dirinya sebagai 'Malaysia pertama dan Cina kedua', Muhyiddin berkata, ia hanya sekadar dakwaan bagi meraih sokongan politik.

Jelasnya, dakwaan Kit Siang itu hanya sekadar di bibir sahaja dan tidak dibuktikan melalui semangat serta implimentasi kerana dakwanya DAP merupakan sebuah parti yang cauvinis. "Saya pun boleh mendakwa sebegitu, tetapi kita di BN lain kerana parti ini sebuah parti kebangsaan yang menghimpunkan pelbagai latar belakang kaum hasil gabungan 13 buah parti komponen," katanya.

Penang Wasabi

No comments:

Post a Comment