~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Thursday, April 15, 2010

Penangan Buat Anwar di P94 : Wei Shu keluar PKR!

Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima tamparan hebat menjelang Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini apabila seorang lagi wakil rakyatnya mengisytiharkan keluar daripada parti itu.

Selepas lapan pemimpinnya mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas sebelum ini, hari ini giliran Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Arang, Kedah Tan Wei Shu (gambar) pula mengumumkan keluar daripada parti itu berkuat kuasa serta-merta.

Wei Shu berkata, keputusan keluar parti itu diambil disebabkan rasa tidak puas hati kerana mendakwa dipermainkan oleh pemimpin parti yang beliau sifatkan sebagai ‘kacang lupakan kulit’ yang mempergunakannya untuk kepentingan tertentu.

Tambahnya, beliau telah mengadakan perbincangan dengan para pengikutnya untuk menjadi wakil rakyat Bebas selepas tiada permohonan maaf dibuat oleh pemimpin parti ekoran pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

‘Saya dituduh tidak layak dan tidak boleh bekerja, pada hal saya sudah membuktikan rekod kerja saya dalam dua tahun ini,’’ katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Beliau juga meminta kepimpinan tertinggi parti menunjukkan rekod kerja mereka sebelum menuduhnya tidak layak dan tidak menjalankan tugas untuk parti itu.

“Saya minta mereka tunjukkan rekod kerja mereka. Jika gagal, jangan tuduh saya tidak layak dan tidak bekerja sedangkan saya telah membuktikan bahawa saya telah menunaikan janji-janji sebagai wakil rakyat. “Maka dengan itu saya mengambil keputusan keluar daripada parti kerana tidak boleh lagi bekerja dengan pemimpin yang enggan mengaku kesalahan sendiri,” katanya.

Keputusan Wei Shu itu menjadikan beliau pemimpin PKR kesembilan mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat Bebas. Selain beliau, pemimpin PKR lain yang mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas sebelum ini ialah Jamaluddin Mohd. Radzi (Behrang), Kapten (B) Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering), Mohamad Radzhi Salleh ( Lunas) dan Badrul Hisham Abdullah ( Pelabuhan Klang).

Tiga Ahli Parlimen PKR turut berbuat demikian iaitu Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim (Balik Pulau), Tan Tee Beng (Nibong Tebal) dan Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai). Sementara itu, Zulkilfi Noordin (Kulim-Bandar Baharu) pula dipecat daripada parti itu.
Ekoran tindakan Wei Shu itu, Dewan Undangan Negeri Kedah kini terdiri daripada 16 wakil Pas, 14 wakil Barisan Nasional (BN), tiga (PKR), satu DAP dan dua Bebas.

Dalam pada itu, Wei Shu menegaskan, pengundurannya tidak ada kena mengena dengan pelucutan jawatannya sebagi Exco kerajaan negeri Kedah. “Saya tidak ada pilihan selain keluar daripada PKR. Jika saya masih membiarkan diri dipermainkan, bermakna saya turut bersubahat mempermainkan kepercayaan rakyat.

“Saya tidak mementingkan apa-apa keistimewaan sebaliknya hanya berhasrat membantu rakyat. Lagi pula saya cuma tahu bercakap benar, tidak seperti orang lain yang bermuka dua dan lidah bercabang. “Saya tidak pandai bercakap bohong, mengampu dan berjanji manis tetapi apa yang saya pandai adalah menyatakan boleh buat atau tidak dan mahu buat atau tidak,” katanya.

Ditanya sama ada beliau akan menyertai mana-mana parti politik selepas ini, katanya, setakat ini dia belum memikirkan perkara itu. Menurutnya, beliau kagum dengan usaha dan teladan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang kerap turun padang untuk berbakti kepada rakyat.

“Dulu kerajaan lain, sekarang punya kerajaan Perdana Menteri pun turun padang. “Saya mahukan pemimpin yang betul-betul untuk rakyat, itu yang penting sekali, bukan soal suka sesiapa. Pemimpin yang boleh jaga rakyat, itu yang saya sokong,” katanya.

'Jika mahu cerita tiga hari pun tidak habis'

Mengapa baru sekarang buat keputusan keluar daripada PKR?

WEI SHU: Saya tunggu dan terus tunggu tetapi mereka masih degil. Jadi jika pemimpin begini, bagaimana kita mahu bekerja bersama? Kita tidak boleh ikut sesuka hati kerana kita datang daripada rakyat dan kita bukan nak rebut kuasa atau pangkat.

Kedudukan sekarang?

WEI SHU: Bebas. Saya bergerak sebagai ADUN Bebas. Akan menyertai atau ditawarkan menyertai mana-mana parti?

WEI SHU: Itu saya tidak fikir lagi. Saya masih tidak bersedia. Belum ada keputusan tentang perkara itu. Saya berharap rakyat akan memahami perkara ini.

Menyokong BN?

WEI SHU: Bebas, saya ADUN Bebas. Tapi saya harap kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat boleh membantu. Ini perlu kerana rakyat adalah hasil kerajaan, mereka membayar cukai dan mereka tidak boleh (apabila) melihat saya beralih kepada Bebas dan mereka (kerajaan negeri) buat diam sahaja. Tengoklah, saya akan buat sesuatu.

Sokong parti mana?

WEI SHU: Yang mana betul saya akan sokong, yang tidak betul saya tidak sokong. Saya seorang yang berpegang kepada janji.

Pandangan pengundi?

WEI SHU: Itu bukan masalah. Saya sudah berbincang. Jika menjatuhkan maruah saya, ia juga menjatuhkan maruah mereka. Ini menganiaya saya. Parti apa ini?

Tuduhan-tuduhan dilemparkan kepada YB? Adakah ada tujuan tertentu?

WEI SHU: Ada setengah yang tidak mengaku. Ada yang minta maaf dan ada yang tidak. Kita tidak boleh beri 'monyet-monyet' dalam parti untuk rosakkan parti. Ini tidak betul. Kita datang daripada rakyat bukan pemimpin. Saya tidak suka. Saya tidak suka kena kawal dan hanya perkara yang adil untuk rakyat sahaja akan saya suarakan. Tidak kiralah Melayu, Cina dan India, saya sokong jika betul.

Siapa monyet dimaksudkan?

WEI SHU: Kalau saya sebut monyet memang mereka tahu. Yang pandai main-main, yang pandai mainkan orang.

Di peringkat negeri atau di pusat?

WEI SHU: Di mana-mana. Kalau nak marah orang pun tak elok sebab saya tidak suka marah tapi apabila sudah marah kita gelarkan monyet pun orang mungkin tidak kisah.

Sebab utama keluar parti?

WEI SHU: Saya memang tidak terfikir untuk keluar parti tetapi ia sudah melibatkan maruah saya di kawasan saya.

Maksud dipergunakan?

WEI SHU: Macam-macam dipergunakan. Dulu tidak berpelajaran pun boleh asalkan ada orang. Kini mahu orang yang berkualiti dan ada standard namun orang yang sebegini bukan tahu buat kerja. Walaupun saya tidak berpelajaran tinggi tapi saya rasa profesor dan doktor pun tak mampu buat seperti apa saya lakukan selama dua tahun ini. Sebab setiap janji kepada rakyat perlu saya tunaikan.

Sebelum buat keputusan, sudah berbincang dengan pihak atasan?

WEI SHU: Saya sudah beritahu mereka, jika mereka minta maaf saya akan maafkan tetapi hal begini sukar untuk berbincang dengan pemimpin atasan. Oleh itu saya akan beritahu mereka terus terang melalui surat saya.

Sudah serahkan surat?

WEI SHU: Surat telah siap dan saya akan serahkan kepada mereka.

Akan letak jawatan ADUN?

WEI SHU: Tanggungjawab kepada rakyat penting sekali. Jika saya meletakkan jawatan sebagai ADUN, saya samalah seperti seorang yang tidak bertanggungjawab.

Bagaimana dengan kepimpinan PKR?

WEI SHU: Apabila melihat Datuk Seri Najib Tun Razak sibuk bekerja, saya juga sayang Najib. Kerajaan dahulu lain, sekarang pemimpin turun padang dan saya mahu pemimpin yang benar-benar untuk rakyat dan menjaga rakyat. Kita jarang lihat Perdana Menteri yang selalu turun padang. Bagi saya, apa yang penting rakyat boleh terima beliau, maka saya juga akan terima.

Sepanjang bersama PKR, apakah yang paling tidak berpuas hati?

WEI SHU: Banyak. Jika mahu cerita tiga malam tiga hari pun tidak habis. Saya mahu lihat apa yang akan dibangkitkan. Macam sarang tebuan, kita tengok macam mana ia dijolok.

Apa yang dapat dikatakan sekarang buat Anwar adalah : Yang dikejar bakal tak dapat dan yang tengah dikendong jatuh berciciran!

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment