~ PENANG WASABI ~
FEEL THE HEAT
Saturday, August 16, 2014
Peluang Abdul Khalid kekal MB tetap ada?
Pengosongan kedudukan Exco dalam kalangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam kerajaan negeri Selangor kecuali Pas memberi dua isyarat.
Satu, pengukuhan kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar (MB) Selangor manakala kedua, pendirian Pas semakin jelas untuk tidak bersama DAP dan PKR dan sanggup bersendiri menyokong Abdul Khalid.
Ternyata arahan Anwar Ibrahim supaya Exco Pas tidak menyertai Mesyuarat Exco dengan Abdul Khalid kelmarin tidak diendahkan oleh mereka. Ini adalah suatu tamparan hebat kepada Anwar yang mengetuai Pakatan Rakyat.
Ada beberapa petanda jelas Pas bakal membuat suatu keputusan merintis jalan ke arah politik baru di Selangor dan bukan mustahil bagi Malaysia.
Pertama, wakil kepimpinan Pas tidak hadir dalam mesyuarat kepimpinan utama Pakatan Rakyat Isnin lalu. Ia tidak berlaku sebelum ini.
Kedua, pertemuan Anwar dengan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang atas isu berbangkit tidak berhasil menyelesaikan kemelut.
Abdul Hadi tetap teguh dengan pendirian Abdul Khalid tidak boleh digantikan dan Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail tidak boleh menjadi MB yang baru.
Perkembangan lain dalam kemelut politik MB Selangor adalah sokongan istana terhadap Abdul Khalid sebagai MB setelah mendengar penjelasan Abdul Khalid bahawa ia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan keengganan Tuanku Sultan berjumpa Wan Azizah.
Untuk Abdul Khalid tidak terjebak dengan undi tidak percaya November nanti, Abdul Khalid memerlukan sokongan majoriti mudah di DUN Selangor. Sekiranya Pas bertekad untuk mewujudkan politik baru di Selangor dan Malaysia peranan wakil Barisan Nasional (BN) harus disantuni.
Sekiranya Pas memandang sepi peranan BN Selangor, Abdul Khalid bakal jatuh dengan undi tidak percaya kerana tidak cukup kuorum untuk mempertahankan kedudukannya dan Pas dilihat sebagai tidak strategik.
Oleh itu, beberapa sikap dan pendirian yang diambil oleh Pas memberi isyarat bahawa Pas tidak boleh mengelak daripada menyantuni BN walaupun ia ditanggapi sebagai sesuatu yang pahit untuk ditelan kerana itulah realiti politik Selangor yang mampu mempertahankan maruah Abdul Abdul Khalid dan Pas juga.
Pertemuan kepimpinan tertinggi Pas pada Ahad ini adalah titik-tolak yang penting. Kritikan sesetengah akar umbi Pas yang tersiar dalam media terhadap Anwar agak keras dan kritikan khalayak media siber terhadap Anwar begitu tajam dan sinis.
Ia tidak berlaku secara terbuka dan meluas sebelum ini. Pertemuan Ahad ini bakal menentukan keputusan Majlis Syura Pas diterima atau sebaliknya kerana terdapat dua kumpulan yang mempunyai pendirian yang berbeza.
Meleraikan kemelut politik Selangor memerlukan beberapa strategi yang dirancang dengan berhemah dan bijaksana. Pertama, Abdul Khalid mesti segera menyertai Pas. Menteri Besar Kelantan yang juga Pemangku Ketua Dewan Ulama Pas mengalu-alukan langkah ini.
Dengan Abdul Khalid menyertai Pas, ia tidak lagi menjadi MB yang Bebas sekali gus menjadikan Pas peneraju kepimpinan baru Selangor.
Kerajaan baru yang ada memerlukan majoriti yang cukup dan penyertaan seorang dua ADUN PKR boleh membantu. Tempoh masa sehingga November apa-apa boleh berlaku. Abdul Khalid dan Pas harus membuat percaturan bijak dan strategik kerana yang harus diutamakan ialah dukungan majoriti.
Untuk itu menyantuni BN menjadi sesuatu yang tidak boleh dielakkan. ADUN BN boleh saja tidak menyokong tetapi kerajaan pimpinan Abdul Khalid dan Pas bakal tumbang. Penulis tidak fikir demi kelangsungan kedudukan Abdul Khalid dan peranan yang dimainkan oleh Pas, ADUN BN tidak diajak serta.
Meneliti tahalluf siasi yang berjalan beberapa tahun lalu isu pokok yang membawa suasana tidak selari Pas, PKR dan DAP adalah masalah ideologi yang didukung. Pas cuba memperjuangkan konsep negara Islam sedangkan PKR memperjuangkan fahaman liberal dan pluralis. Manakala DAP dengan fahaman sosialis demokratiknya.
Pas janganlah lagi menghabiskan hayat perjuangannya dengan mengambil pendekatan kontra seolah-olah Islam itu sesuatu yang sifatnya pasang-siap. Islam itu harus diperjuangkan dengan bijaksana dengan mengakui bahawa setiap pihak ada sahamnya dalam perjuangan ini.
Pendekatan yang terbaik adalah melalui dakwah dan tarbiyyah dan mendidik manusia dengan penuh kasih sayang dan kesabaran seperti yang dilakukan oleh Rasulullah SAW (watawa saubil haq watawa saubis sabr) dan ternyata membawa kejayaan.
Penang Wasabi..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment