~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Thursday, May 22, 2014

Mohamed Nabi minta perjelas status ahli Pas?


Calon Bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Bukit Gelugor, Mohamed Nabi Bux Mohd. Nabi Abdul Sathar menggesa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hasbullah Mohd. Ridzwan mengesahkan status beliau sebagai ahli Pas kawasan berkenaan.

Mohamed Nabi Bux mendakwa, beliau mengenali Hasbullah yang juga Ketua Pemuda Pas Gombak dengan rapat sejak wakil rakyat itu memegang jawatan Setiausaha Pas Cawangan Kampung Banjar, Gombak antara 1998 hingga 2003.

“Sekarang ini pun kami masih berhubung antara satu sama lain, jadi saya percaya beliau adalah orang penting untuk menjawab sama ada saya adalah ahli Pas atau sebaliknya," katanya kepada pemberita selepas bertemu ketua-ketua masyarakat di Kampung Melayu, Air Hitam di sini hari ini.

Sebelum ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menafikan Mohamed Nabi Bux yang bertanding dalam PRK berkenaan menentang calon DAP, Ramkarpal Singh Deo serta dua calon lain adalah ahli Pas.


Walau bagaimanapun, Mohamed Nabi Bux bersumpah beliau merupakan ahli Pas Cawangan Kampung Banjar, Gombak dan mengemukakan sijil keah­lian parti itu sebagai bukti.

Dalam pada itu, Mohamed Nabi Bux berkata, beliau akan terus memberi penjelasan tentang hukum hudud kepada orang bukan Islam dalam kempennya sehingga hari pengundian 25 Mei ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng memberi penjelasan kepada rakyat mengenai hukum itu supaya masyarakat terutama bukan Islam memahaminya.

“Hukum hudud itu hanya untuk orang Islam tetapi penerangan mengenainya perlu diberikan kepada semua orang," katanya.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment