~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Saturday, October 12, 2013

Bukan masa bereksperimen bertemu Chelsea malam ini?

Jose Morinho (tengah) mengendalikan sesi latihan pasukannya di Stadium Shah Alam semalam menjelang aksi persahabatan menentang Malaysia, hari ini.

Tiada lagi istilah eksperimen buat skuad Harimau Malaya apabila menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea sebaliknya skuad kebangsaan perlu membuktikan keupayaan dan memberi tentangan sengit dalam aksi persahabatan hari ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah turut berharap ketua jurulatih negara, Datuk K. Rajagopal mengisi kesebelasan utama yang terbaik dalam aksi di Stadium Shah Alam, malam ini.

Menurut beliau, perlawanan itu menjadi antara pentas terakhir pemain sebelum menghadapi Bahrain pada perlawanan ketiga Kumpulan D pusingan Kelayakan Piala Asia 2015 di Kuala Lumpur, 15 Oktober ini.

"Tiada lagi istilah cuba-cuba. Buktikan kemampuan yang skuad Harimau Malaya mampu memberi saingan dalam perlawanan tersebut.

"Kita akui Chelsea merupakan antara pasukan terbaik dalam EPL dan saya mahu Harimau Malaya cuba mendapatkan kemenangan walaupun ia dilihat agak mustahil," katanya kepada pemberita selepas Penyerahan Zakat Perniagaan oleh lapan syarikat korporat di Istana Sultan Abdul Aziz di sini kelmarin.

Tengku Abdullah berkata, sudah tiba masanya skuad bimbingan Rajagobal berhenti daripada meneruskan eksperimen dan menjadikan perlawanan malam ini sebagai persiapan rapi untuk menghadapi Piala Asia nanti.

Beliau juga mahu setiap pemain mempamerkan corak permainan yang baik apabila menentang Chelsea nanti.

"Kalau boleh kita mahu kemenangan dan harap pemain membuat percubaan lebih. Memang diakui perlawanan ini sukar tetapi cuba pertahan kedudukan dan tunjuk corak permainan terbaik," ujarnya.

Mengenai desakan sebilangan peminat bola sepak tanah air yang mahukan khidmat Rajagobal ditamatkan, Tengku Abdullah menyatakan perkara tersebut akan difikirkan kemudian.

Menurut beliau, buat masa ini ketua jurulatih itu tahu apa harapannya terhadap skuad negara dan berharap dia mampu menunaikannya.

"Sekarang ini kita tidak mahu jejaskan konsentrasi dia kerana kelayakan Piala Asia adalah Indeks Prestasi Utama (KPI) dia," katanya.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment