~ PENANG WASABI ~
FEEL THE HEAT
Friday, February 22, 2013
Surat terbuka pelajar - Oh Kuin! Oh Kedah?
Saya berasa terkilan dengan pengurusan Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kedah yang telah mengabaikan masalah yang telah berlarutan dan juga dengan sikap kerajaan negeri Kedah yang membisu dengan masalah yang dihadapi oleh kakitangan Kuin dan pelajarnya.
Persoalan selalu dijawab dengan menyalahkan orang lain iaitu, "ini ialah mainan politik untuk memperoleh Kedah kembali".
Namun realitinya kerana sikap diri sendiri, sikap politik, ketamakan dan kuasa telah menyebabkan masalah ini.
Selain itu, sikap kerajaan negeri yang telah mempolitikkan masa depan pelajar telah menyebabkan para pelajar sengsara dan tertekan dengan sikap Majlis Tertinggi Kuin.
Saya selaku pelajar Kuin ingin berkongsi beberapa permasalahan yang dihadapi oleh para pelajar Kuin yang selama ini terpendam:
* Isu pembayaran untuk perpindahan kredit Bahasa Malaysia SPM untuk subjek National Language di Kuin sebanyak RM50, walhal kebanyakan penuntut semestinya telah lulus Bahasa Malaysia semasa SPM dan subjek National Language hanya untuk mereka yang gagal dalam subjek Bahasa Malaysia SPM, namun semua pelajar dipaksa membayarnya.
* Pelajar terpaksa membayar kadar yang tinggi untuk perpindahan kredit matapelajaran dari Diploma ke Ijazah yakni (pelajar diploma dari Kuin>RM50 satu subjek, pelajar diploma selain dari Kuin>RM100 satu subjek) walhal majoriti kolej universiti dan universiti swasta tidak melaksanakan polisi tersebut.
* Sikap gopoh pihak pengurusan tertinggi ingin memindahkan pelajar ke kampus baru di Kuala Ketil walaupun kemudahan seperti asrama kediaman, pengangkutan, masjid belum disiapkan dan disempurnakan.
* Isu Kolej Kediaman yang masih tidak siap dan cuti pertengahan semester telah dipanjangkan dari 27 Januari - 17 Mac 2013 sehingga pelajaran para pelajar terabai.
* Keadaan bilik kediaman yang menempatkan seramai 12 orang dalam satu bilik (di Kolej Universiti Insaniah Kuala Ketil).
* Permasalahan kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan kesalahan kakitangan Kuin melibatkan pendaftaran kod pengajian ke Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga mengakibatkan kelewatan memperoleh pinjaman.
Perkara di atas, bukanlah penamat kepada isu yang timbul di Kuin. Tidak perlulah saya mengungkit segala permasalahan semasa kami ditempatkan di Alor Setar, dengan keadaan penempatan yang dahsyat (satu bilik 15-20 orang), kelas yang tidak menepati standard institusi pengajian tinggi (IPT), rujukan dan sistem perpustakaan yang mundur dan juga berpuluh-puluh lagi masalah lain.
Segala permasalahan tersebut harap tidak lagi timbul semasa kami berpindah ke lokasi baru di Kuala Ketil. Namun perkara pokoknya, bilakah isu mempolitikkan masa depan pelajar, campur tangan politik yang ketara dapat diselesaikan?
Kami pelajar berasa amat tertekan dengan perkara ini. Walaupun pelbagai cara dilakukan, namun jawapan dan tindakan yang diperoleh amatlah tidak menyelesaikan masalah.
Kami bertuah kerana mempunyai pensyarah yang berkualiti dan sentiasa menyokong dan membantu kami menangani tekanan di Kuin.
Nasihat saya kepada pihak pengurusan, berasa malulah dengan tindakan anda dan kepada yang bertanggunggjawab dengan permasalahan yang timbul maka turunlah dengan cara terhormat, amalkan Islam dalam perbuatan bukan hanya pada luaran.
Tidak perlu menegakkan benang yang basah dan tidak perlu menafikan perkara yang terjadi kerana pokok tidak akan bergoyang sekiranya angin tidak bertiup. Bantulah kami.
Penang Wasabi..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment