~ PENANG WASABI ~
FEEL THE HEAT
Monday, February 11, 2013
DAP sebijik macam PAP?
Tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang memberi tekanan kepada program dan aktiviti anjuran Barisan Nasional (BN) dilihat tidak ubah seperti Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Singapura yang tidak memberi cukup ruang kepada pembangkang.
Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Kelab Setia 1Malaysia, Lim Boo Chang berkata, Ketua Menteri, Lim Guan Eng seolah-olah mahu mencontohi polisi parti diasaskan oleh bekas Perdana Menteri republik itu, Lee Kuan Yew yang mahukan PAP memerintah selama-lamanya.
Bagi Guan Eng, katanya, tindakan sedemikian mungkin boleh menyekat suara rakyat yang tidak berpuas hati atau menghalang pandangan pihak lain daripada didengari.
"Polisi DAP sama dengan PAP yang tidak memberi cukup ruang kepada pembangkang berbuat apa-apa.
"PAP nak jaga Singapura selama-lamanya tanpa ada suara berbeza atau pandangan lain atau aktiviti yang boleh menjejaskan sokongan terhadapnya," katanya di sini hari ini.
Beliau yang juga bekas Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bukit Gelugor diminta mengulas tindakan penguat kuasa Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menurunkan kain rentang dan poster ucapan Selamat Tahun Baharu Cina oleh Perdana Menteri baru-baru ini.
Selain itu, Guan Eng turut menyeru orang ramai yang mahu hadir ke majlis rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran BN negeri pada 11 Februari ini memakai baju kuning sebagai tanda sokongan kepada himpunan Bersih anjuran pembangkang, hijau untuk alam sekitar dan merah bagi Pulau Pinang.
Boo Chang memberitahu, semasa pentadbiran BN dahulu, parti-parti pembangkang tidak dihalang untuk menggantung kain rentang atau bendera bagi jangka masa pendek.
Berbeza sekarang, jelasnya, garis panduan baharu diperkenalkan memerlukan setiap pemohon yang mahu menggunakan kemudahan awam seperti dewan dan padang perlu mendapat kelulusan pejabat pentadbiran kerajaan negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan bukan hanya pejabat wakil tempatan.
"Tujuannya adalah untuk menapis jika terdapat program atau aktiviti yang bersangkut-paut dengan BN.
"Jika ada, mereka akan menangguhkan kelulusan hingga hampir ke tarikh majlis bagi menyusahkan penganjur," ujarnya.
Katanya, DAP yang kononnya memperjuangkan demokrasi kini dilihat seperti sebuah kerajaan yang zalim dan mengamalkan budaya kuku besi.
"Tidak hairanlah jika Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Mansor Othman pernah menggelar Guan Eng sebagai angkuh, sombong dan tokong," tegasnya.
Penang Wasabi..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment