~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Thursday, May 10, 2012

Tunku Aziz sahkan DAP tidak sambung keanggotaannya di Dewan Negara!


Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim (gambar) mengesahkan parti itu tidak akan menyambung tempoh keanggotaannya sebagai Ahli Dewan Negara yang bakal berakhir 31 Mei ini.

Menurut beliau, ini ekoran kenyataannya yang dilihat bertentangan dengan parti berhubung perhimpunan haram Bersih 3.0 ketika membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Negara baru-baru ini.

Bagaimanapun jelasnya, beliau akan tetap bersama parti walaupun tidak lagi diberikan tanggungjawab sebagai 'suara' DAP di dewan tertinggi tersebut.

"Ya, ia (tidak dilantik semula) benar. Saya buat kenyataan tentang Bersih, bukan saya tidak setuju dengan Bersih kerana kita nak pilihan raya yang adil. Siapa yang tidak setuju dengan itu. Cuma yang saya tak setuju kalau kita melanggar undang-undang.

"Tetapi, mungkin dalam fikiran parti, saya dah buat salah besar. Jadi mereka merasakan susah saya nak dilantik semula. Kalau begitu, saya katakan kepada Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng biar saya undur diri.

"Saya dengan parti tidak ada apa-apa masalah. Tetapi itu (perbaharui keanggotaan) terpulang. Kuasa bukan di tangan saya. Kalau was-was, baik saya undur diri. Itu yang saya katakan," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.

Baru-baru ini, beliau secara terbuka menentang penganjuran perhimpunan haram Bersih 3.0 berdasarkan pengalaman serta pemerhatian terhadap penganjuran beberapa perhimpunan jalanan di luar negara yang kononnya aman tetapi berakhir dengan keganasan.

Tunku Abdul Aziz berkata, walaupun keanggotaan dalam Dewan Negara tidak disambung semula, beliau akan tetap berkhidmat untuk rakyat dan matlamat utamanya adalah untuk mengintegrasikan rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Negara ini berbeza dengan negara lain. Kita negara berbilang bangsa, berbilang budaya. Kita harus mencari jalan untuk menyatukan semua bangsa. Saya berharap parti (DAP) juga melakukan perkara yang sama," ujarnya.

Ditanya sama ada beliau bersedia menarik balik atau meminta maaf berhubung kenyataan menentang perhimpunan haram Bersih 3.0, katanya, beliau berpegang kepada pendiriannya.

"Saya belum sampai nak keluar parti. Setiap daripada kita pasti memiliki pandangan berbeza. Saya seorang yang terbuka. Walaupun saya bersama parti kalau saya tidak bersetuju dengan sesuatu perkara tak akan saya mahu berdiam. Saya ada pandangan sendiri," tambahnya

Wasabi Oyabun...

No comments:

Post a Comment