~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Friday, January 20, 2012

Peguam Negara fail rayuan!


Pejabat Peguam Negara hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang melepas dan membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Perkara tersebut disahkan oleh Timbalan Pendaftar, Halilah Suboh ketika dihubungi pihak media, yang turut menyatakan notis tersebut difailkan di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi, Bahagian Jenayah kira-kira pukul 4.30 petang ini.

Notis rayuan tersebut difailkan oleh Ketua Unit Rayuan, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Manoj Kurup.

Difahamkan notis tersebut ditandatangani oleh Peguam Cara Negara, Datuk Idrus Harun yang pernah mengetuai pasukan pendakwaan kes liwat tersebut semasa Anwar pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008.

Akta Mahkamah Kehakiman 1964 menetapkan bahawa notis rayuan perlu difailkan dalam tempoh 14 hari dari tarikh keputusan, dan dalam kes ini keputusan dibuat pada 9 Januari lalu.

Mengikut Seksyen 52(1) akta tersebut, apabila notis rayuan difailkan, hakim yang membuat keputusan itu hendaklah, jika belum menulis penghakimannya, merekodkan secara bertulis alasan keputusannya, dan penghakiman bertulis atau alasan keputusan itu hendaklah menjadi sebahagian daripada rekod prosiding itu.

Pada 9 Januari lalu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan untuk melepas dan membebaskan Anwar daripada pertuduhan yang dihadapinya selepas mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Mohd. Saiful Bukhari.

Beliau menetapkan demikian setelah berpendapat bahawa adalah tidak selamat untuk mahkamah bergantung kepada bukti asid deoksiribonukleik (DNA).

Ketika membaca penghakimannya, hakim itu menyatakan, selepas meneliti bahan bukti, mahkamah tidak boleh seratus peratus pasti bahawa integriti sampel DNA yang diambil daripada saksi pendakwa pertama, iaitu Mohd. Saiful Bukhari tidak terjejas.

Ini, menurut Hakim Mohamad Zabidin, menyebabkan mahkamah hanya mempunyai keterangan Mohd. Saiful Bukhari.

Namun beliau berkata, di peringkat pembelaan bagi kesalahan seksual, mahkamah keberatan untuk mensabitkan tertuduh hanya berdasarkan keterangan Mohd. Saiful Bukhari tanpa bukti sokongan lain.

Anwar, 64, dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan sekiranya disabitkan bersalah mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan.

Beliau pernah dihukum penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 2000 setelah didapati bersalah meliwat bekas pemandu isterinya, Azizan Abu Bakar tetapi empat tahun kemudian, hukuman dan sabitan tersebut berjaya diketepikan di Mahkamah Persekutuan pada 5 September 2004.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment