~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Monday, March 28, 2011

Kecoh di Kelantan : Syor Pemuda Pas ditolak!

Isu berkaitan pemindahan para peniaga di Pasar Lama MPKB ke Bazar Tok Guru belum selesai.

Semalam, kerajaan Pas Kelantan menolak cadangan Dewan Pemuda Pas negeri supaya membeli balik Pasar Lama MPKB demi kebajikan peniaga kecil di kawasan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, tindakan itu bertentangan dengan dasar kerajaan Pas Kelantan yang berpegang kepada janji.

“Pasar ini telah dijual kepada sebuah syarikat pemaju sebagai sebahagian usaha sama dalam membangunkan Bazar Tengku Anis, di bazar MPKB (Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam) mendapat keuntungan.

“Dasar kerajaan negeri kita jelas, apabila perjanjian dibuat, kita berpegang teguh kecuali orang itu hendak bagi balik.

“Itu adalah dasar Islam. Kalau hendak ambil balik benda yang telah dijual, itu bukan dasar kerajaan negeri,” katanya selepas mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Dewan Pemuda Pas Kelantan sebelum ini yang meminta kerajaan negeri membeli balik pasar lama tersebut dan membaik pulihnya demi kepentingan peniaga kecil di situ.

Cadangan itu dibuat selepas sayap Pas melihat isu itu semakin memuncak apabila 300 peniaga di Pasar Lama MPKB enggan berpindah ke Bazar Tok Guru. Ekoran itu, para peniaga terbabit mendakwa kerajaan Pas Kelantan tidak berpegang kepada janji.

Semalam, seorang ahli perniagaan menyatakan hasrat untuk membeli Pasar Lama MPKB dengan nilai RM5 juta daripada pemilik bangunan itu, Sensa Timur Sdn. Bhd.

Sementara itu : Peniaga Pasar Lama MPKB solat hajat!

Para peniaga Pasar Lama MPKB hari ini mengadakan solat hajat sebagai ikhtiar bagi mencari penyelesaian berhubung kemelut perpindahan mereka ke Bazar Tok Guru yang sehingga kini masih gagal diselesaikan oleh kerajaan Pas Kelantan.

Solat hajat yang bermula pukul 8.45 pagi itu turut disertai Pengerusi Persatuan Peniaga Pasar Lama MPKB, Ab. Salim Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, Datuk Mohd. Fatmi Che Salleh yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri.

Ab. Salim berkata, ia merupakan salah satu ikhtiar yang dibuat oleh peniaga kecil di pasar berkenaan bagi menyelesaikan masalah yang dilihat tiada jalan penyelesaian.

"Solat hajat ini diadakan selepas kami ditimpa musibah dan harap Allah buka pintu hati pemimpin terbabit untuk mengadakan perbincangan.

"Kita bukan keras kepala untuk tidak berpindah tetapi mahu dapatkan keadilan. Kami juga telah menghantar surat kepada Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk mengadakan perbincangan tetapi sehingga hari ini tidak dapat jawapan," katanya ketika ditemui selepas solat tersebut di aras bawah pasar itu hari ini.

Isu perpindahan 415 peniaga Pasar Lama MPKB dan Arked Lambak UDA menjadi kemelut berpanjangan apabila mereka mendakwa Kerajaan Pas Kelantan tidak memenuhi janji yang dibuat sebelum Pilihan Raya Umum 2008, iaitu menyediakan ruang niaga yang selesa sebagaimana dipersetujui.

Sementara itu, Mohd. Fatmi berkata, soal punca rezeki bukan satu perkara yang main-main kerana ia melibatkan masa depan keluarga dan anak cucu peniaga.

"Ini usaha atau ikhtiar mereka supaya isu ini dapat diselesaikan dengan segera. Mereka bertindak dengan cara ini menunjukkan seriusnya perkara ini dan (berharap) ia dapat diselesaikan (segera) dan mereka dapat meneruskan perniagaan seperti biasa," katanya.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment