~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Sunday, June 29, 2014

Nabila Huda Rayu Amy Search Tidak Musnahkan Hidupnya Sekali Lagi?


Setelah ramai yang terkejut dengan respon daripada Amy Search kepada salah satu entri yang dimuatnaik anaknya pelakon Nabila Huda di Instagram, aktres tersebut dilihat tidak bersetuju dengan tindakan bapanya itu.

Melalui kenyataan Nabila atau juga dikenali sebagai Abil itu, dia telah berkomunikasi dengan bapa kandunganya itu melalui Twitter sebaik sahaja cerita mengenai dia dimaki bapanya di Instagram mula menjadi bualan umum.

Antara luahan Abil di Twitter “Pa,Pls explain and fix the things that you’ve created.Im beggin you pls.Fix it.You’re ruin my life once again. @AkuAmySearch”. Jika dilihat kepada pernyataan tersebut Abil merasakan dia dianiaya dan merayu kepada bapanya untuk memperjelaskan segala yang berlaku.

Dalam waktu yang sama status tersebut turut menjelaskan bahawa Abil memohon agar tindakan bapanya itu tidak memusnahkan kehidupannya sekali lagi.

Dia yang kini sedang bercuti dengan jejaka yang dipercayai teman lelaki barunya itu turut memohon umum agar menghormati dirinya yang ingin bercuti setelah penat bekerja. “Please la respect sikit. Penat aku keje. I need a break. Tolongla respect”.

Dia juga berharap umum tidak menggembar gemburkan lagi cerita ini dan berhenti berbicara mengenainya. Aku tengah holiday ni.Dah berapa tahun ni aku keje simpan duit baru ada masa nak pergi holiday.Apa yang korang merepek ni kt blog semua ni? antara status Twitter yang menyusul selepas itu.

Ramai yang terkejut apabila membaca komen Amy Search di laman sosial Instagram milik anaknya tempoh hari. Dilihat seperti diluar kawalan, komen Amy itu terpampang perkataan yang kesat seperti p*k****. Dia dilihat amat berang dengan foto percutian mesra Nabila dan kekasihnya di luar negara itu.

Penang Wasabi..

Sunday, June 22, 2014

Pemilihan semula PKR cabang Kota Raja bertukar ganas, dua cedera?



Proses pemilihan semula jawatan PKR Kota Raja di sini hari ini bertukar ganas sehingga mengakibatkan dua lelaki cedera dalam pergaduhan semasa sesi pengundian.

Wartawan Bernama di pusat pengundian iaitu Dewan Klang Jaya di Taman Desawan mendapati pergaduhan yang tercetus pada kira-kira 4.15 petang itu bermula dari dalam dewan menyebabkan penyokong calon yang berada di luar berang.

Seorang saksi yang enggan dikenali mendakwa pergaduhan itu bermula apabila seorang pengundi dipercayai cuba memecahkan peti undi selepas membuang undinya sehingga menimbulkan kekecohan.

Penyokong calon yang mengetahui insiden itu merempuh pagar pusat mengundi namun dihalang Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) yang mengawal ketat pintu masuk utama ke dewan berkenaan.

Situasi tegang itu bertambah `panas' apabila ada penyokong calon di luar dewan mula membaling kerusi antara satu sama lain.

Kedua-dua mangsa, yang dipercayai penyokong dan pengundi, cedera di bahagian kepala menyebabkan proses pengundian semula cabang berkenaan terpaksa dihentikan setengah jam lebih awal.

Difahamkan pengumuman penutupan pusat mengundi itu dibuat wakil JPP atas faktor keselamatan namun beliau menyatakan peti undi tidak dirosakkan dan dihantar ke ibu pejabat PKR dengan diiringi polis untuk proses pengiraan pada kira-kira 5.30 petang.

Terdahulu, beberapa penyokong melahirkan rasa tidak puas hati dengan tindakan seorang calon yang juga penyandang Ketua Cabang Kota Raja Dr Xavier Jayakumar kerana mengarahkan sekumpulan pengundi keluar dari dewan pengundian.

K. Krishnan, 55, mendakwa Xavier yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seri Andalas cuba menyalahgunakan kuasanya sebagai wakil rakyat.

``Apa kuasa dia mahu panggil mereka? Dia hanya wakil rakyat, jadi mengapa mahu gaduh-gaduh. Dia panggil suruh periksa nama guna senarai dia sebab takut kalah sedangkan kita sudah periksa di pihak kita, memang nama ada,'' katanya.

Pemilihan PKR di Selangor dilakukan semula selepas berlaku kekecohan pada 11 Mei lepas, yang menyaksikan 11 daripada 22 cabang terpaksa menjalani proses itu sekali lagi.

Sementara itu, di NIBONG TEBAL, pemilihan semula jawatan PKR sedikit kecoh apabila penyokong calon bertanding bertikam lidah ketika proses pengundian di Dewan Serbaguna Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung Seri Ampangan.

Proses pengundian yang bermula pukul 10.30 pagi itu tegang apabila penyokong penyandang Ketua Cabang Nibong Tebal Datuk Maktar Shapee dan seorang calon Datuk Mansor Othman, yang juga Anggota Parlimen Nibong Tebal, cuba meraih undi anggota PKR yang hadir untuk mengundi.

Penyokong Maktar, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Sungai Bakap, dan Mansor dilihat saling melakukan provokasi sehingga menyebabkan mereka hampir bertumbuk, bagaimanapun, urus setia pemilihan berjaya meleraikan keadaan itu.

Dalam pada itu, difahamkan pemilihan semula Cabang Nibong Tebal diboikot penyokong Maktar selepas mendakwa tidak berpuas hati dengan tarikh pemilihan semula yang diputuskan PKR pusat.

Penyandang Timbalan Ketua Cabang Nibong Tebal Mohd Kamil Abu Bakar berkata pihaknya memboikot pemilihan semula itu kerana mendakwa mereka hanya dimaklum mengenai perkara berkenaan empat hari sebelum pengundian berlangsung berbanding penyokong Mansor yang dimaklum tiga minggu lebih awal.

``Kami ada menghantar surat kepada JPP minta ia diadakan pada 28 Jun namun tidak mendapat maklum balas. Justeru, kami memutuskan untuk boikot pemilihan ini kerana kekurangan masa untuk berkempen dan bertemu penyokong berbanding pengikut Mansor yang sudah membuat persediaan awal,'' katanya ketika dihubungi.

Proses pengundian yang berakhir pada 5.30 petang itu menyaksikan sebanyak 412 daripada 3,758 anggota PKR cabang Nibong Tebal yang layak mengundi, hadir membuang undi.

Proses pemilihan PKR Cabang Nibong Tebal dilakukan semula selepas berlaku kekecohan pada 4 Mei lepas apabila keputusan pengundian dibatalkan gara-gara terlebih undi.

Difahamkan jumlah kertas undi yang diterima ialah 838 keping berbanding senarai daftar sebanyak 672 orang. - BERNAMA

Penang Wasabi..

Wednesday, June 18, 2014

Preity Zinta buat laporan polis dicabul teman lelaki?


Pelakon jelita Bollywood, Preity Zinta membuat laporan polis mendakwa diri beliau telah dicabul, didera dan diugut oleh bekas teman lelakinya pada satu perlawanan kriket Liga Perdana India (IPL)

Preity menuduh ahli perniagaan Ness Wadia, pemilik bersama pasukan IPL Kings XI Punjab, mendera dan mencabulnya selepas pasangan itu bergaduh ketika menyaksikan pasukan mereka menentang Chennai Super Kings pada 30 Mei.

"Kami menerima aduan Preity pada hari Jumaat," kata pegawai polis Mumbai Vijay Mane kepada pemberita.

Preity turut mengeluarkan kenyataan pada hari Sabtu menyifatkannya insiden itu sebagai "satu tempoh yang sukar buatnya".

"Niat saya bukan untuk melukakan hati sesiapa, tetapi hanya untuk melindungi diri saya sendiri," kata kenyataan itu, menurut agensi berita Press Trust of India.

Ness juga mengeluarkan kenyataan media menyatakan beliau "terkejut" dengan dakwaan terhadapnya itu dan berkata "dakwaan terhadap saya adalah tidak benar sama sekali dan tidak berasas".

Pesuruhjaya Polis Mumbai Rakesh Maria berkata siasatan sedang dijalankan.

Penang Wasabi..

Saturday, June 14, 2014

Kilang mee sanggul di Bukit Mertajam guna logo halal tidak diiktiraf - KPDNKK?


Sebuah kilang mee sanggul di Kampung Sama Gagah, di sini didapati menggunakan logo halal tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Md. Nasir Mohamad berkata perkara itu terdedah selepas kilang itu diserbu pihaknya pada 5 petang semalam hasil maklumat awam dan risikan.

``Sebanyak 1,800 bungkus mi sanggul menggunakan logo halal tidak diiktiraf dirampas...kita turut menyita 400 bungkus mee teow dan 352 bungkus mee suah mengunakan logo halal tidak diiktiraf serta 780 unit kotak kosong tertera logo halal tidak diiktiraf. Nilai rampasan semalam adalah sebanyak RM4,184.

``Berdasarkan siasatan kita, kilang berkenaan yang beroperasi sejak 15 tahun lepas pernah diserbu pada 2010 atas kesalahan sama dan pemiliknya menyalahi Akta Perihal Dagangan (Pengakuan dan Penandaan Halal) 2011,'' katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya pihaknya telah merekodkan keterangan pemilik kilang berkenaan dan menjalankan siasatan menurut Seksyen Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menyalahgunakan logo halal dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun.

Sementara itu, pemilik kilang yang enggan namanya disiarkan berkata beliau akan memohon sijil halal daripada Jakim secepat mungkin.

Wanita itu mendakwa pernah ditipu dalam usaha mendapatkan sijil halal Jakim dan kerugian lebih RM3,000.

Menurutnya hampir 95 peratus pekerja di kilangnya terdiri daripada wanita Islam.

Penang Wasabi..

Wednesday, June 11, 2014

Cakar Harimau : Bekas Suami Dedah Gambar Dicederakan Abby Abadi?


Bekas suami Abby Abadi, Muhammad Noor Farhan Che Bakar hari ini mendedahkan yang dia didera secara fizikal dan emosi semasa mereka bergelar suami-isteri.

Muhammad Farhan, 24, berkata, pertama kali Abby mencederakannya sekitar Januari lalu dengan membaling kunci motosikal ke wajahnya sehingga mengakibatkan kesan lebam selepas Abby mendapat tahu dia memberitahu seorang kenalan mereka sudah tidak mempunyai hubungan.

Dedah Farhan lagi, Abby sekali lagi bertindak agresif mencakar muka dan lengan kirinya pada 17 Mei lalu selepas dia enggan berbincang mengenai kes perceraian mereka yang dilafazkan menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang sedang berjalan di mahkamah.

“Kecederaan fizikal dan emosi menjadi antara sebab utama mengapa saya menceraikan dia (Abby) dan sudah tawar hati untuk meneruskan perkahwinan ini yang memberi tekanan kepada saya sepanjang beberapa bulan ini,” dedahnya kepada mStar Online ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini, hari ini.

Terdahulu, Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin memutuskan lafaz cerai menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dibuat Farhan pada 9 Mei lalu terhadap Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abd Manan, 37, adalah sah mengikut rukun dan syarak yang ditetapkan.

Dalam pada itu, Muhammad Noor Farhan turut mendedahkan bukti gambar kesan kecederaannya pada bahagian muka dan lengan kiri akibat dicakar oleh bekas isterinya itu kepada pihak media.

Malah dia berkenaan memberitahu telah pun membuat satu laporan di Balai Polis Ampang dekat sini pada hari sama dia dicederakan sebagai salah satu langkah keselamatan.

“Saya tidak ingin memanjangkan perkara ini dalam mahkamah tetapi sekadar membuat laporan polis untuk melindungi diri saya sekiranya apa-apa berlaku.

“Abby juga tahu saya buat laporan polis mengenai kejadian tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Muhammad Noor Farhan turut mendedahkan, pergaduhan di antara mereka sering tercetus apabila Abby tidak mempunyai wang dan sering mendesaknya sehingga membuatkan dia tertekan dan tidak pulang ke rumah.

Jelas Farhan, dia kecewa apabila Abby tidak memberi peluang kepadanya untuk membuktikan diri untuk menjadi seorang suami bertanggungjawab dan Abby sering mengeluarkan kata-kata menguris perasaan kepadanya dan menambah tekanan dalam rumah tangga mereka.

“Setiap kali dia tidak mempunyai wang dia akan menyerang dan mendesak saya sehingga pergaduhan akan tercetus di antara kami malah dia sering mengatakan saya tidak mendatangkan apa-apa faedah kepadanya.

“Saya tidak pulang ke rumah kerana ingin ruang untuk memperbetulkan keadaan tetapi sikapnya yang sering memaksa dan mendesak membuatkan saya tertekan,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Noor Farhan enggan mengulas dakwaan kejadian berlaku akibat sikap Abby yang mengawal hidupnya sepanjang hampir setahun perkahwinan mereka.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Noor Farhan berkata, dia sudah tidak mempunyai perasaan sayang terhadap bekas isterinya itu dan tidak melihat sebarang peluang untuk mereka kembali berbaik.

Malah dia lega apabila kes perceraian tersebut selesai dengan baik apabila pihak mahkamah mengesahkan lafaz cerai yang dibuatnya menerusi SMS terhadap Abby.

“Cukuplah… Saya tidak akan rujuk kembali dengan dia kerana dia telah mencederakan saya dan perasaan sayang sudah tidak ada dalam diri saya,” jelasnya.

Abby dan Farhan bernikah pada 9 Julai tahun lepas di Selatan Thailand dan mendapat pengesahan di Kelantan.

Pelakon siri Gerak Khas itu sebelum ini pernah melangsungkan perkahwinan dengan pelakon Norman Hakim dan dikurniakan dengan tiga orang cahaya mata.

Penang Wasabi..

Monday, June 9, 2014

JANGAN KOMEN KALAU JAHIL - PROF. DATUK DR. RAMLAH ADAM [PAKAR SEJARAH]!


Dipetik dari : The Rakyat Post

Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam meminta mereka yang kurang arif mengenai undang-undang negeri dan institusi beraja menghentikan komen kerana ia akan menimbulkan kontroversi.

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berhak menentukan Rang Undang-undang Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ).

Menurut Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia (PKIRM) Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam, kuasa berkenaan diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor (UUTKJ) 1895.

“Apabila ia merujuk kepada negeri Johor pula, tindakan Sultan Ibrahim mengikut peruntukan UUTKJ. Sebagai Ketua Negeri Johor, baginda mempunyai kuasa mutlak untuk menasihati, melantik dan menentukan lembaga pengarah kerajaan Johor. Sultan juga ada kuasa melantik pengurusan tanah dan memberi pandangan bukan mentabdir, kerana tugas itu dilakukan menteri besar bukannya Sultan,” katanya kepada The Rakyat Post.

Jelasnya, dengan bidang kuasa yang diperuntukkan kepada baginda, Sultan Ibrahim mempunyai alasan untuk bertindak bagi melindungi kepentingan rakyat dan negeri.

Ramlah turut memaklumkan, dalam pentadbiran negeri, menteri besar boleh menasihati sultan, tetapi sultan sebagai pemerintah, berkuasa mutlak dalam menentukan apa juga rang undang-undang yang bakal digubal.
“Semua undang-undang yang ditubuhkan perlulah dirujuk kepada sultan terlebih dahulu, contohnya isu pemberian tanah hak milik kekal selama 999 tahun di negeri Perak, dilakukan tanpa pengetahuan Almarhum Sultan Perak, Sultan Azlan Shah dan tanpa menunggu keputusan Majlis Tanah Negara (MTN) dan masalah ini tidak pernah berlaku dalam sejarah kita.

“Tanah terletak di bawah hak negeri, bukannya persekutuan, dan kini Sultan Ibrahim sedar, selepas Pulau Batu Puteh diberikan kepada Singapura. Itu salah siapa?” katanya.

Menurutnya, selaku pelindung rakyat, Sultan Ibrahim berhak mencampuri urusan pentadbiran negeri.
“Saya rasa bukan niat Sultan Ibrahim nak campur tangan dalam urusan pentadbiran negeri, tetapi baginda nak mengawal harga perumahan, sekaligus membantu rakyat di negerinya berpeluang membeli rumah, kerana rata-rata rakyat Johor berpendapatan rendah dan tidak mampu membeli rumah,” katanya.

Jelasnya, sebagai Sultan Johor, baginda sendiri melihat tanah di negerinya dibeli rakyat Singapura dan menyebabkan rakyat tempatan terpinggir.

“Bila ada kuasa sultan, perkara itu boleh dilakukan. Sultan memang tidak mentadbir, tetapi baginda berkuasa untuk menentukan lembaga pengarah sebagai penyelaras negeri dan pelindung rakyat. Buat apa baginda nak mentadbir, kerana baginda merupakan ketua negeri Johor,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai komen pelbagai pihak berhubung isu berkenaan, Ramlah khuatir ia akan menimbulkan kontroversi.

“Kebanyakan tokoh politik, tokoh akademik, penganalisis perundangan, politikus hinggalah negarawan, tidak mempunyai kepakaran untuk menyentuh isu ini, kerana walaupun mereka pakar dalam bidang masing-masing, mereka bukanlah pakar dalam bidang Perlembagaan Negeri.

“Sultan memerintah mengikut peruntukan perlembagaan negeri masing-masing, tetapi kenapa isu ini masih lagi timbul? Apakah akta yang ingin diusulkan Isnin hadapan dalam sidang DUN bertentangan dengan akta Persekutuan dan Negeri? Saya rasa ia tidak bertentangan sama sekali.

“Apa yang Sultan Ibrahim cuba lakukan adalah untuk memberi penjelasan lebih tepat dalam pelantikan lembaga pengarah dan LPHJ bukanlah pejabat tanah, tetapi lembaga ini berada di atas pejabat tanah bagi memantau Majlis Mesyuarat Negeri,” katanya.

Sehubungan itu, Ramlah menasihati orang Melayu di Johor supaya tidak bergaduh dengan sultan sendiri, kerana akibatnya orang lain yang bakal bertepuk tangan.

Penang Wasabi..

Friday, June 6, 2014

Penglibatan sultan adalah 'luar biasa'?


Sultan atau raja tidak boleh terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri melainkan hanya bertanggungjawab menjaga hal ehwal agama Islam di samping tugas-tugas lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sistem kerajaan di Malaysia.

Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, pemberian kuasa kepada baginda untuk menyelia akaun Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor (LPHJ) jika rang undang-undang bagi menubuhkan lembaga itu diluluskan, juga sesuatu yang di luar kebiasaan.

Namun demikian, katanya, keputusan kerajaan negeri Johor untuk melibatkan sultan dalam lembaga tersebut adalah sebagai satu jalan penyelesaian terbaik dalam isu perumahan mampu milik untuk rakyat agar ia dapat ditangani dengan lebih baik, tegas dan sistematik.

"Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar amat prihatin masalah perumahan rakyat, jadi baginda mahu mengawal selia bukan atas dasar seorang sultan tetapi sebagai ketua negeri dan keputusan yang dibuat oleh lembaga itu nanti bukan keputusan sultan tetapi dipersetujui dan dinasihati oleh menteri besar dan exco kerajaan negeri kerana sultan bukan dilantik sebagai pengerusi lembaga tersebut.

"Perlu juga diberi perhatian perkara ini bukan sesuatu yang baharu, kerajaan negeri juga sebelum ini pernah memasukkan fasal yang sama semasa enakmen penubuhan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ) yang kini dikenali sebagai Johor Corporation (JCorp), namun perkara yang baru ialah apabila sultan diberi mandat dan ambil bahagian berkaitan pentadbiran," katanya k di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas langkah kerajaan negeri Johor untuk membentang satu rang undang-undang baharu dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), Isnin ini yang akan memberi kuasa kepada Sultan Johor untuk terlibat dalam pentadbiran kerajaan negeri.

Melalui Rang Undang-undang bagi menubuhkan LPHJ itu, jika diluluskan, memberi kuasa kepada baginda untuk menyelia akaun lembaga itu selain baginda mempunyai kuasa untuk membubar dan melantik ahli lembaga pengarah baharu, menentukan jumlah elaun dan saraan mereka serta berhak melantik seorang pengarah yang boleh dipilih sebagai Ketua Eksekutif LPHJ.

Dalam pada itu, Felo Penyelidik Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata Sultan Johor mempunyai hak untuk mengetahui segala urusan tadbir kerajaan Johor bagi memastikan pembangunan sosial, politik dan ekonomi di negeri itu berjalan lancar.

Katanya, penglibatan Sultan Ibrahim dalam urusan tadbir Johor menunjukkan beliau merupakan seorang ketua negeri yang sentiasa prihatin terhadap pembangunan dan kebajikan rakyatnya.

"Sultan Ibrahim sudahpun berada dalam pentadbiran kerajaan negeri sejak baginda menaiki takhta sebagai Sultan Johor pada 2010.

"Maka baginda mempunyai hak untuk mengetahui segala perkara yang berkaitan dengan Johor dan pentadbirannya. Hal ini dilihat tidak bertentangan dengan konsep Raja Berperlembagaan yang negara amalkan," katanya.

Dalam pada itu, Kok Seong berkata, sekiranya Sultan Ibrahim terlibat dalam urusan pentadbiran negeri, baginda akan dinasihati oleh satu panel khas yang terdiri daripada ramai pakar dalam pelbagai bidang.

Sehubungan itu, setiap keputusan yang dibuat akan melalui fasa perbincangan terlebih dahulu sebelum diperkenankan oleh Sultan Johor.

Penang Wasabi..

Pas minta DAP 'cermin diri'?


Kerajaan Pas Kelantan menyelar DAP kerana mengaitkan isu pelaksanaan hudud di negeri ini sebagai penyebab kekalahan parti itu dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Sabtu lalu.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, DAP tidak perlu menuding jari kepada Pas dan hudud, sebaliknya mengakui kelemahan sendiri kerana calon yang dikemukakan iaitu Dyana Sofya Mohd. Daud bukan pilihan terbaik.

Katanya, pemilihan Dyana Sofya yang merupakan orang Melayu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pengundi Cina sehingga menyebabkan mereka melakukan protes dengan cara tidak mengundi DAP.

“Pada pandangan saya tidak ada sangkut paut dengan hudud, sebab kalau betul boleh menjejaskan sokongan macam mana DAP boleh menang di Bukit Gelugor. Jika Teluk Intan terjejas, Bukit Gelugor patut terjejas sama.

“Saya melihat punca kekalahan adalah undi protes daripada pengundi Cina yang tidak berpuas hati dengan calon yang dikemukakan oleh DAP. Mereka mahu orang Cina, tiba-tiba letak calon Melayu. Sudahlah muda, bukan berasal dari situ pula," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama dan merasmikan Seminar Perdagangan Kelantan di Dewan Konvensyen, Kelantan Trade Center di sini hari ini.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pusat DAP, Gobind Singh Deo dilaporkan berkata, pendirian Pas yang mahu melaksanakan hudud di negeri ini menyebabkan berlaku protes secara senyap terhadap pembangkang sehingga membawa kepada kekalahan Dyana Sofya.

Menurut Gobind, kebanyakan pengundi di Teluk Intan tidak menyokong hudud kerana mereka berpandangan Malaysia merupakan sebuah negara sekular.

Mengulas lanjut, Mohd. Amar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Hudud Kelantan meminta DAP mencermin diri dan tidak terus menerus menyalahkan pihak lain terutama Pas atas kegagalan parti itu mempertahankan kerusi Parlimen Teluk Intan.

“Kita pun kalau kalah, tidak salahkan siapa-siapa, kita salahkan UMNO sahaja," katanya.

Penang Wasabi..

Tuesday, June 3, 2014

Abby Abadi diceraikan suami menerusi SMS?


Pelakon yang juga aktivis PAS, Abby Abadi, memberitahu Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di sini semalam, yang dia diceraikan suaminya menerusi Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) pada 9 Mei lalu.

Abby atau nama sebenarnya, Arbaiyah Abdul Manan, 37, turut mendedahkan, suaminya, Muhammad Noor Farhan Che Bakar, 24, pada Januari lalu ada memberitahu rakan bahawa mereka sudah bercerai, tetapi pasangan itu tidak memfailkan kes untuk pengesahan mahkamah kerana berbaik kembali.

“Dia (suami) beritahu kawannya yang kami sudah cerai. Saya kemudian rujuk kepada ulama (bapa saudara suami yang juga imam masjid) sebelum diberitahu sah jatuh talak tetapi kami kemudian berbaik semula selepas itu. Sebab itu tak fail ke mahkamah,” katanya.


Sejurus mendengar keterangan itu, Hakim Syarie, Shaiful Azli Jamaludin, menangguhkan kes terbabit sehingga 11 Jun ini sebelum memerintahkan Abby memfailkan satu lagi permohonan bagi mengesahkan terlebih dahulu status lafaz yang dibuat Noor Farhan pada Januari lalu.

Shaiful Azli berhujah, mahkamah tidak boleh meneruskan prosiding semalam, sebaliknya perlu mendengar terlebih dahulu kes lafaz pertama, sebelum membuat keputusan sama ada lafaz terbabit sah atau tidak.

“Kamu perlu sahkan dahulu lafaz yang terdahulu (Januari).

Jika lafaz kedua (9 Mei) difailkan, mahkamah khuatir akan bertambah jumlah talak, jika kedua-duanya disabitkan jatuh talak,” katanya.

Penang Wasabi..