~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Friday, April 4, 2014

Gerakan anggap Guan Eng ibarat 'menjilat ludah sendiri'?


Ketua Menteri, Lim Guan Eng dilabel ibarat 'menjilat ludah sendiri' serta bersikap berat sebelah berhubung keputusan cadangan menaikkan tarif air di negeri ini seperti diumumkan semalam.

Setiausaha Gerakan negeri, Oh Tong Keong berkata, pengumuman itu jelas bercanggah dengan janji Kerajaan DAP Pulau Pinang sebelum ini yang kononnya tidak akan menaikkan kadar sewa, tarif air dan lesen perniagaan sepanjang tahun ini dan tahun depan.

Malah menurut beliau, keputusan mengkaji cadangan menaikkan tarif air itu juga sesuatu yang memalukan ketika kerajaan negeri sering mengkritik usaha kerajaan Pusat merasionalisasikan subsidi.

“Tetapi apabila Kerajaan DAP Pulau Pinang mahu menaikkan tarif air terutama dalam keadaan ekonomi rakyat yang tidak menentu, keputusan itu dianggap rasional dan mempunyai asas.

“Ini jelas satu keputusan yang berat sebelah dan tidak boleh diterima," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas pengumuman Guan Eng semalam berhubung kenaikan tarif air di negeri ini yang bakal dikenakan selepas mengambil kira permintaan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) untuk berbuat demikian.

Guan Eng dalam keputusan itu turut menyalahkan penduduk negeri ini kononnya tidak bijak menguruskan penggunaan air sehingga menyebabkan negeri ini menjadi yang tertinggi menggunakan air.

Menurut Guan Eng, langkah menaikkan tarif air itu juga merupakan jalan terakhir dalam mendidik pengguna di negeri ini supaya lebih berjimat cermat dalam menggunakan sumber tersebut.

Dalam pada itu, Tong Keong turut menyelar Guan Eng yang cuba berselindung di sebalik hakikat negeri ini mengenakan tarif air paling rendah dalam mewajarkan kenaikan tersebut.

Menurut beliau, kemampuan negeri ini mengenakan tarif air paling rendah itu adalah hasil kebijaksanaan pengurusan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini dan Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak sepatutnya berbangga dengan keadaan tersebut.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment