~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Monday, November 11, 2013

Pembunuhan bermotif dendam?

Balu Allahyarham Ahmad Raffli Abdul Malik, Rosmahwani Abd. Wahab (duduk, empat dari kanan) dan anaknya berdoa ketika bacaan talkin di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bukit Ubi, Kuantan, semalam.

KUANTAN - Polis tidak menolak kemungkinan kes pembunuhan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama, Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abdul Malik semalam bermotifkan dendam dan rasa tidak puas hati terhadap penguatkuasaan yang dijalankan oleh mangsa.

Ketua Polis negeri, Datuk Sharifuddin Ab. Ghani bagaimanapun berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan daripada semua sudut termasuk ancaman yang diterima Allahyarham sama ada berkaitan penguatkuasaan atau ancaman peribadi.

"Polis Pahang telah menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diketuai oleh saya sendiri bagi menjalankan siasatan rapi terhadap kes pembunuhan yang tidak berperikemanusiaan ini.

"Setakat ini siasatan masih berjalan dan maklumat telah kami peroleh sedikit sebanyak. Saya harap kepada mereka yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini boleh salurkan kepada kami dengan segera," katanya ketika ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Jalan Bukit Ubi hari ini.

Ahmad Raffli maut ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali di hadapan rumahnya di Indera Mahkota 2 di sini semalam.


Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 1.55 petang itu mengakibatkan mangsa berusia 49 tahun mati di tempat kejadian akibat terkena dua das tembakan di dada kanan dan kerongkong.

Menurut Sharifuddin, siasatan lanjut mendapati suspek tidak memakai jubah seperti dilaporkan sebaliknya salah seorang daripada mereka memakai pakaian biasa berwarna putih manakala seorang lagi memakai baju dan seluar berwarna hitam serta berkopiah.

"Sebenarnya apa yang saya dapat maklumat semalam suspek bukannya berjubah. Justeru siasatan kita tidak akan menjurus kepada pakaian sahaja. Kita kena siasat dengan lebih mendalam.

"Sehubungan itu kita telah melancarkan Ops Tutup di semua jalan di negeri ini bagi memburu suspek terlibat dalam pembunuhan tersebut," katanya.

Dalam pada itu, pihaknya juga akan memberi perlindungan kepada keluarga mangsa supaya keselamatan mereka tidak diganggu oleh suspek terlibat.

"Saya harap keluarga arwah dapat bersabar dengan kejadian yang menimpa mereka ini. Insya-Allah polis tidak akan memberi peluang kepada mereka yang terlibat dan kami akan cari mereka sehingga ke lubang cacing," tegas beliau.

Sementara itu, beliau juga mencadangkan supaya semua anggota penguatkuasaan tidak termasuk polis dan tentera ditempatkan dalam satu kuarters supaya keselamatan mereka lebih terjamin.

"Kalau duduk rumah sendiri itu maklumlah banyak perkara boleh berlaku. Kita tidak tahu siapa musuh mereka. Sebab kadang-kadang ada musuh dalam selimut," katanya.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment