~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Saturday, November 9, 2013

Kanak-kanak culik ditemui di Tasik Titiwangsa!

Pemandu lori, Hamid Md Isa (kanan), orang awam yang pertama menemui mangsa culik Freddie Joseph, 20 bulan, menenangkan bayi berkenaan ketika ditemui di Taman Tasik Titiwangsa di Kuala Lumpur, hari ini.

Freddie Joseph, kanak-kanak berusia setahun lapan bulan yang diculik dari rumah ibunya di Bangsar di sini semalam, dijumpai beberapa orang awam di Taman Tasik Titiwangsa di sini, tengah hari tadi.

Ketika ditemui kira-kira 12.20 tengah hari, dia dalam keadaan keletihan dan kelaparan.

Kanak-kanak itu yang memakai baju berwarna hijau dan seluar putih telah diselamatkan oleh seorang pemandu lori dan seorang pemandu teksi yang kebetulan melalui laluan di Taman Tasik Titiwangsa.

Pemandu lori Hamid Md Isa, 57, yang juga pesara Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), berkata, beliau melihat kanak-kanak itu berjalan berseorangan dan kelihatan keletihan.

Beliau kemudian segera mendapatkan kanak-kanak itu dan memimpinnya ke tepi padang untuk berehat.

Pemandu teksi Haris Mohd Nor, 48, pula segera membeli keropok dan minuman untuk kanak-kanak itu apabila melihatnya keletihan.

"Pagi tadi saya membaca akhbar dan ada berita mengenai kanak-kanak diculik...tapi tak sangka budak inilah yang diculik itu. Semasa saya mendekatinya, dia diam dan tidak berapa takut tetapi memang nampak dia lesu sangat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di lokasi kejadian.

Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zakaria Abdul Wahab yang kebetulan berada di lokasi sama, telah memaklumkan kepada Meja Berita Am agensi itu mengenai penemuan anak lelaki guru bahasa warga Britain itu.


Menurutnya ketika itu beliau dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bersenam di taman itu.

"Dan saya lihat sekumpulan orang awam berkumpul bersama seorang kanak-kanak. Saya dapat merasakan yang dia adalah budak yang diculik semalam berdasarkan wajahnya yang bukan seperti kanak-kanak tempatan.

"Selepas itu saya terus menelefon wartawan Bernama dan menghantar gambarnya yang saya ambil menerusi telefon untuk memastikan sama ada dia budak yang diculik itu," katanya.

Wartawan Bernama kemudian menghantar gambar itu kepada rakan ibu kanak-kanak itu yang dikenali sebagai Robert dan beliau mengesahkannya.

Polis yang tiba di Taman Tasik Titiwangsa kemudian membawa Freddie ke Balai Polis Jalan Tun Razak di sini.

Bernama difahamkan ibu kanak-kanak itu Sarah Joseph dalam perjalanan ke balai polis berkenaan.

Dalam kejadian 6.10 petang semalam, kanak-kanak itu dilarikan seorang lelaki dan seorang wanita dipercayai warga asing menggunakan kereta Toyota Camry berwarna putih.

Pada masa kejadian, Sarah, 38, masuk sebentar ke dalam rumah selepas memberi anaknya makan di halaman rumah, sebelum beliau terdengar bunyi bising di luar rumahnya.

Ketika itu, beliau nampak seorang lelaki cuba melarikan Freddie lalu menerpa ke arahnya untuk menyelamatkan anaknya sambil menjerit meminta pertolongan sehingga berlaku pergelutan.

Akibat pergelutan itu, Sarah cedera di pergelangan tangan kanannya.

Sementara itu, Sarah tiba di Balai Polis Jalan Tun Razak kira-kira 1.30 tengah hari dengan ditemani beberapa rakannya.

Memakai baju berwarna coklat dan berseluar kelabu, beliau kelihatan amat gembira apabila dipertemukan dengan anak lelakinya itu selepas 18 jam terpisah.

Sambil memeluk erat anakya, beliau dibawa masuk ke dalam balai untuk diambil keterangan. Polis mengambil masa kira-kira satu jam untuk mengambil keterangan daripada mangsa. Di luar balai, wakil-wakil media yang menunggu Sarah gagal menemu bualnya kerana beliau belum bersedia berbuat demikian.

Gambar Suspek Penculik Bayi Warga Britain Untuk Disebarkan!!!

Polis telah mengedarkan gambar seorang lelaki yang dipercayai suspek dalam kes penculikan seorang bayi warga Britain berusia 20 bulan, Freddie Joseph di Bangsar, Jumaat lalu.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata, suspek dipercayai berusia lingkungan 30-an berkulit cerah dan mempunyai ketinggian 168cm.

Beliau mengesahkan Freddie ditemui selamat di Taman Tasik Titiwangsa pada Sabtu dan diserahkan kepada ibunya.

Ku berkata, bayi tersebut ditemui kira-kira pukul 1.20 petang oleh seorang pesara.

"Lelaki itu kemudiannya menghubungi polis. Kami membawa bayi itu ke balai polis Jalan Tun Razak dan menghubungi ibunya," kata Ku pada sidang media, petang Sabtu.

Ku berkata bayi lelaki itu tidak kelihatan takut atau menangis kerana lapar ketika ditemui.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment