~ PENANG WASABI ~

FEEL THE HEAT

Saturday, August 31, 2013

Lamb of God: Jakim bantah penganjur?



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membantah kumpulan heavy metal, Lamb of God daripada membuat persembahan di negara ini berdasarkan latar belakang kumpulan itu serta genre muzik yang dibawa mereka.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata, pihak bertanggungjawab diharapkan tidak meluluskan kemasukan kumpulan itu dengan mengambil kira sensitiviti umat Islam di negara ini.

Pada masa sama, beliau berkata, tindakan itu perlu diambil untuk menjaga kemaslahatan umat dengan tidak membenarkan terciptanya ruang kepada pelbagai krisis akidah, permasalahan moral serta keruntuhan akhlak.

Menurutnya, nama asal kumpulan itu ialah Burn The Priest dan pernah terpalit dengan kontroversi sehingga dituduh sebagai sebuah kumpulan yang memuatkan unsur spiritual jahat serta anti ketuhanan oleh penganut Kristian.


"Pelbagai istilah menunjukkan kumpulan ini sering mempermainkan unsur keagamaan dan ketuhanan dalam lagu dan imej mereka, malah nama kumpulan itu iaitu Lamb of God merujuk kepada Jesus yang difahami penganut Kristian sebagai 'anak Tuhan'.

"Malah, kumpulan itu pernah membuat persembahan di Amerika Syarikat dengan mencampur aduk lagu metal dengan bacaan ayat al-Quran dan menyentuh unsur keagamaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan majlis perasmian Program Kibar Jalur Gemilang dan Pelepasan Kenderaan Merdeka di pekarangan ibu pejabat Jakim.

Kumpulan berkenaan yang berasal dari Amerika Syarikat dijadualkan membuat persembahan di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur pada 28 September ini.

Othman berkata, antara lagu kumpulan itu ialah Walk With Me In Hell (Berjalan denganku dalam neraka); Sacrament (istilah majlis kerahmatan dalam agama Kristian); Resurrection (Kebangkitan) serta menerbitkan album New American Gospel yang jelas bertentangan dengan syariat Islam dan nilai moral.


"Penganjuran ini bukan saja boleh memberi ruang kepada penularan gejala keruntuhan moral, malah turut memberi kesan terhadap akidah.

"Persembahan kumpulan muzik yang keterlaluan biasanya akan menyebabkan penonton hilang kawalan. Kemasukan kumpulan ini dikhuatiri akan menyuburkan semula aliran black metal," katanya.

Pada masa sama, Othman berkata, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke-72 yang bersidang pada 23 Januari 2006 telah membincangkan tentang kumpulan black metal serta langkah untuk menanganinya.

"Muzakarah memutuskan amalan dan perbuatan kumpulan black metal adalah sesat dan bercanggah dengan ajaran Islam sebenar, jadi umat Islam diminta menjauhi kumpulan berkenaan kerana perbuatan serta amalan mereka boleh menyebabkan seseorang terkeluar daripada Islam.

"Selaras dengan keputusan itu, beberapa negeri termasuk Melaka, Johor, Pulau Pinang, Terengganu, Wilayah Persekutuan dan Selangor menfatwakan kumpulan black metal sebagai menyeleweng," katanya.

Penang Wasabi..

No comments:

Post a Comment